Semalam, 15 Oktober, saya mengikuti bengkel penulisan artikel bagi tujuan penerbitan dalam jurnal antarabangsa. Seawal jam 8.15 pagi, saya bersama rakan-rakan lain yang turut melakukan penyelidikan di dalam makmal yang sama bergerak menuju ke Dewan Budaya USM. Bengkel ini sebenarnya saban tahun dianjurkan oleh Institut Pengajian Siswazah USM tetapi buat julung kalinya tahun ini, Pusat Pengajian Sains Kajihayat berjaya menjadi penganjur.
John F. Leslie bukanlah seorang yang asing dalam bidang patologi tumbuhan khususnya. Bagi mereka yang melakukan penyelidikan dalam bidang ini dan juga mengenai Fusarium pasti menjadikan salah satu artikelnya sebagai bahan rujukan. Profesor dan Ketua Jabatan Patologi Tumbuhan di Universiti Kansas State, AS ini telah menulis lebih 150 artikel dan telah diterbitkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau juga berpengalaman menjadi 'reviewer' di beberapa jurnal ISI. Oleh itu, sudah pastilah peluang sehari berbengkel dan menuntut ilmu penulisan bersama beliau tidak akan disia-siakan.
Satu demi satu langkah format penulisan saintifik diterangkan kepada kami semua. Selain itu, beliau turut menyelitkan kaedah pengurusan masa menulis, kepentingan penulisan saintifik dalam dunia penyelidikan serta 'do' dan 'don't' yang perlu diikuti. Pada sesi petang pula kami diminta menyemak abstrak seorang penyelidik dan menanda bahagian yang didapati salah. Hasilnya, walaupun abstrak yang sama telah digunakan dalam bengkel penulisan beliau sebelum ini, saya masih gagal menyenaraikan semua kesalahan yang terdapat pada penulisan tersebut. Ini baru abstrak, belum lagi keseluruhan artikel diberi untuk disemak.
Apabila melihat kesalahan orang lain, saya cuba membandingkannya dengan hasil penulisan yang terdahulu. Banyak benar aspek penulisan khususnya penulisan artikel saintifik yang perlu diperbaiki. Teringat pula pesan penyelia kajian saya, pastikan draf artikel yang ditulis telah disemak berkali-kali hingga muak!
Bengkel sebegini sangat memberi manfaat terutamanya bagi pelajar dan penyelidik. Selain penceramah yang bukan sembarangan orang, ilmu penulisan yang diajarkan juga sangat releven dengan keperluan sesebuah penyelidikan dilakukan iaitu untuk berkongsi hasilnya dengan orang lain. Banyak yang boleh dikongsi dari bengkel ini. InsyaAllah, saya akan cuba masukkan sedikit demi sedikit dalam 'posting' yang akan datang.
Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.
USM, Pulau Pinang.
3 comments:
2 cara nak kesan kesalahan menulis:
-bg org lain baca n review
-tinggal 1 minggu lps tu baca semula
Terima kasih, lelucon!
Tips yang amat berkesan.
Artikel yang bagus...nak semak sampai muak?
adeh, berapa lama tu ambil masa?
lambat sangat kan, nanti orang lain yang dah publish artikel di bawah tajuk yang sama.
Post a Comment