Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Sunday, November 8, 2009

Menganjak Sistem Pendidikan Tinggi; satu keperluan ummah

Sumber : http://pentaskajibuku.blogspot.com/2009/11/menganjak-sistem-pendidikan-tinggi-satu.html


Menganjak Sistem Pendidikan Tinggi; satu keperluan ummah[1]


Tajuk menganjak pendidikan tinggi adalah satu tajuk yang cukup kompleks. Ada penilai suka menilai melalui indikator falsafah dan pegangan yang mempengaruhi fungsi dan prestasi pendidikan tinggi negara. Ada juga yang suka melihat kemandirian mahasiswa sebagai satu kayu ukur. Ada pula yang menilai aspek kognitif, akademik dan prestasi melalui gred-gred tertentu. Dalam penulisan ini kita akan lebih mendalami isu penghasilan ‘pakar’ dan individu mahir serta tahu sebagai indikator pendidikan tinggi negara.


Pendidikan merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari tamadun. Tamadun itu sendiri adalah isi pendidikan dan konsekuensi logik aktiviti manusia. Melalui kemampuan berfikirnya, manusia bukan hanya membuat kehidupannya, tetapi juga menaruh perhatian kepada pelbagai cara memperoleh erti hidup. Proses inilah yang melahirkan upaya pendidikan dan tamadun. Daya olah fikiran manusia yang dibentuk oleh persekitaran, lama kelamaan akan membentuk suatu sistem. Kristalisasi sistem itulah yang membentuk kebudayaan.


Bagi Ibn Khaldun, kebudayaan (al-thaqafat) adalah suatu aspek kemanusian. Kebudayaan mengacu pada masyarakat. Dengan kata lain, kebudayaan terbentuk sebagai hasil kecenderungan semula jadi manusia untuk bekerja sama. Ia merupakan alat untuk keperluan manusia. Melalui penciptaan budaya, manusia dapat meningkatkan kondisi hidup sesuai dengan persekitarannya. Melalui aspek ini, pendidikan dituntut agar dapat memajukan kebudayaan dan tamadun umat. Pendidikan dapat mengarah kepada pencapaian tingkat hidup yang lebih baik dengan tingkat kebudayaan dan tamadun lebih maju.


Berkenaan dengan definasi yang disebut, terdapat pertikaian mengenai soalan universiti yang mana adalah yang tertua. Universiti Takshashila mungkin merupakan universiti tertua yang pernah tercatat dalam sejarah. Perkataan bahasa Latin asal universitas yang julung kali digunakan sewaktu kebangkitan minat terhadap tradisi Greek dan Rom Purba, cuba mencerminkan ciri-ciri Akademi Plato ini.


Istilah universiti dalam Islam ialah jaamiah yang bermaksud himpunan. Himpunan ini bererti menghimpunkan ilmuwan, pengkaji dan penuntut ilmu yang komited dengan pekerjaan ilmu sahaja. Fakulti pula disebut kulliyyah yang juga bermaksud satu kumpulan besar yang mengkaji sesuatu bidang secara spesifik.


Universiti al-Azhar al-Shareef, "Azhar yang Mulia", adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. Mula dibina pada 969M, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.


Universiti al-Azhar dibina oleh kerajaan Fatimiyyah (909-1171) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahannya. Universiti ini asalnya dibina sebagai Masjid al-Azhar. Pada masa dulu, masjid merupakan pusat pelbagai aktiviti orang Islam termasuklah pendidikan.


Universiti al-Azhar ini diasaskan oleh dinasti Fatimiyyah di Mesir, keturunan Fatimah, anak perempuan dari Rasulullah SAW. Fatimah dikenali sebagai Az-Zahra (yang pintar), dan universiti ini mengambil nama tersebut sebagai penghormatan kepada beliau.


Pengajian bermula di Al-Azhar pada bulan Ramadan, 975 AD. (Jami'ah) Universiti memiliki fakulti dalam Undang-undang Islam dan perundangan (jurisprudence), nahu Arab (Arabic grammar), Ilmu Falak (Islamic astronomy), falsafah awal Islam, dan logik.


Pada abad ke-12, dengan kejatuhan dinasti Syiah Fatimiyyah, Sultan Salahuddin Al Ayubi menukar Al-Azhar menjadi pusat pembelajaran Sunni Shafi'y. Kehadiran Muhammad Abduh juga telah menyebabkan pembelajaran antara mazhab, antara pemikiran dan kemasukan ilmu mantik secara besar-besaran berlaku.


Pada 1961, Al-Azhar dirombak kembali di bawah kerajaan Presiden Mesir ke-2, Presiden Gamal Abdel Nasser dan beberapa fakulti sekular di tambah ke universiti tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, dan pertanian. Fakulti wanita Islam turut ditambah pada tahun yang sama.


Menurut QS Top Universities, Universiti Malaya hanya berjaya menduduki tangga ke-39 manakala University Of Singapore berada pada tangga ke-10 Asia. Ini hanya melibatkan senarai rangking universiti Asia sahaja.

Ranking 10 universiti terbaik dunia pada tahun 2009 (www.topuniversities.com)


1 HARVARD University (USA)

2 University of CAMBRIDGE (United Kingdom)

3 YALE University (USA)

4 UCL (University College London) (UK)

5 IMPERIAL College London (UK)

6 University of OXFORD (UK)

7 University of CHICAGO (USA)

8 PRINCETON University (USA)

9 Massachusetts Institute of Technology (USA)

10 California Institute of Technology (USA)


Berdasarkan hierarki di atas, jelas 2 buah negara hegemoni dunia menguasai kemahsyuran daripada pelbagai aspek pembangunan pendidikan tinggi. Malah ini juga menunjukkan penguasaan politik, ekonomi dan keselamatan dkuasai oleh blok barat melalui penguasaan institusi pendidikan di peringkat dunia.


Jika di Amerika Syarikat, istilah University, Institute of Technology ataupun Polytechnic Institute tidaklah memberi apa-apa makna dari segi taraf. Semuanya sama. Cuma yang membezakan mereka adalah jumlah ‘schools/faculty’ dalam institusi tadi dan bidang pengkhususan pengajian dan penyelidikan. Dalam kedudukan tahunan yang dikeluarkan agensi bebas di sini, terdapat banyak juga institusi biasa yang kedudukannya lebih baik dari universiti-universiti.


Tetapi di Malaysia, persepsi pelajar dan masyarakat terhadap kolej universiti atau kolej politeknik dilihat sebagai institusi kelas dua berbanding universiti. Lantaran itu mahasiswa dan pensyarah berbangga apabila tahap kolej universiti mereka dinaikkan ke tahap universiti walaupun kemampuan kajian, nilai keperpustakaan dan penghasilan kajian ilmiah jauh terlalu rendah.


Universiti di Malaysia juga dijadikan gula-gula politik. Pernah sebuah universiti dijanjikan akan dibina sekiranya rakyat negeri itu menyokong kerajaan. Universiti umpama komoditi dan alat pasang siap di Malaysia, seperti membina keranda mayat!


Menjadi mahir; itu matlamat utama


Amerika Syarikat masih mendahului dunia dalam bidang sains dan teknologi akan tetapi terdapat sedikit kemunduran dalam hal ini.


Di Korea, R&D bertumbuh lebih 10% setahun, pecahan perbelanjaan R&D daripada KDNK melebihi Amerika pada 2004.

China pula perbelanjaan R&D telah tumbuh 20% pada 2004 dan 25% dalam 2005; kajian asas mereka masih kecil tetapi berkembang dengan amat pesat sekali.

India tidak terlalu banyak perbelanjaan R&D nya akan tetapi berhasrat untuk mencapai kapabiliti untuk bersaing dalam industri high-tech[2]


Di sebabkan ketidakmampuan lagi umat Islam merekacipta atau menjadi perintis kepada penemuan baru, umat Islam kini lebih jelas menjadi pengikut sistem sains berfikir, sains teknologi dan sains sosial warisan barat. Lantaran itu jatuh bangunnya tamadun umat Islam kini dipegang oleh mereka.


Adakah ini bermakna umat Islam perlu beruzlah (isolisasi) dari sistem peradaban barat? Atau kita hanya bersemuka (engagement) dalam hal dharurat sahaja?


Pandangan yang kerap diperdengarkan oleh Imam Jamaluddin Al Afghani serta Syed Qutb adalah melalui penguasaan umat Islam dalam aspek keilmuan yang dirintis barat. Kita perlu mahir apa yang mereka mahir sebelum kita mencapat kemuncak; menjadi perintis semula. Kita perlu tahu apa yang mereka tahu serta bersaing melalui gelanggang yang mereka pentaskan di hadapan kita. Menghindarkan diri dari gelanggang barat adalah langkah yang tidak bijak.


Lantaran itu umat Islam lebih gemar menyambung pengajian di institu pengajian tinggi Eropah. Persoalannya sejauhmana mereka mampu membawa pulang khazanah pengetahuan ke dalam kosmo umat Islam?


Di mana bermulanya kelemahan universiti Malaysia? Ruangan ini kita tidak ingin berbahas panjang berkenaan persoalan epistemologi serta falsafah pendidikan yang sewajarnya diikuti oleh sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Adalah suatu yang mengkhuatirkan kita apabila kelemahan penghasilan tenaga pakar dalam negara oleh barisan IPT yang telah bercambah bagaikan cendawan di negara ini. Antara parameter umum untuk dinilai tahap kapabiliti dan efesiensi pusat pendidikan tinggi Malaysia ialah menilai

  1. keefektifan kajian-kajian inovasi yang dilakukan,
  2. jumlah tenaga pakar yang dihasilkan berdasarkan bilangan pakar perseribu atau persejuta rakyat.
  3. pecahan (peratusan) wang dari KDNK yang digunakan untuk mengurus pengajian tinggi serta urusan R&D.
  4. jumlah artikel ilmiah/jurnal yang disiar di peringkat antarabangsa dan dalam negara.
  5. keampuhan jurnal yang dihasilkan untuk renovasi sistem negara dan teknologi.
  6. kadar pertumbuhan ekonomi negara berasaskan pengetahuan yang terjana akibat pengurusan penyelidikan yang mantap.


Bagaimana hal ini boleh terhasil jika korupsi dan salah laku masih berlaku?


Beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan Program Pembangunan Modal Insan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengakibatkan objektif program tidak dapat dicapai sepenuhnya.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi Tahun 2008, antara masalah lain termasuklah pembiayaan kepada penerima tidak mematuhi syarat kelayakan, kelemahan dalam kontrak perjanjian, kelewatan mengagihkan peruntukan, kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan program.


"Kementerian memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan bagi membiayai latihan serta penyelidikan seramai 6,230 pelajar dan pegawai sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 hingga 2010). "Bagaimanapun, semakan audit mendapati setakat 31 Dis 2008, seramai tidak kurang daripada 7,010 orang menerima pembiayaan daripada program ini melibatkan perbelanjaan RM153.73 juta iaitu 30.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan dan ini menyebabkan sasaran mengikut skim tidak dapat dicapai," menurut laporan itu[3].


Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010, untuk kekalkan prestasi Malaysia pada tangga ke-24 dunia ini, Malaysia perlu menyediakan prestasi produktiviti berasaskan ‘knowledge-based’ serta ekonomi berpandukan inovatif. Malaysia juga perlu meningkatkan prestasi pendidikan tinggi dalam bentuk kuantiti mahupun kualiti. Pendidikan tinggi Malaysia kini berada di tangga ke-41. Malaysia juga perlu mempertingkatkan tahap teknologi yang peka dengan perkembangan dunia di mana kini Malaysia berada pada tangga ke-37 disamping terus meningkatkan tahap ICT negara. Malaysia kini berada pada tangga ke 2 ranking dunia iaitu rangking negara membangun di bawah stage2-3 dan stage 3.. Dalam laporan yang sama, Singapura dilaporkan berada pada tangga pertama dunia dalam sub pillar pengurusan sistem pendidikan tinggi! Manakala kemudahan untuk kajian dan penyelidikan adalah pada tahap ke-14 dunia. Secara keseluruhan Singapura berada di tangga ke-5 pendidikan tingginya!


Antara punca kemunduran pendidikan tinggi: bajet penyelidikan yang rendah


Menurut Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Prof Rajah Rasiah, perbelanjaan untuk R&D dari pecahan KDNK Malaysia hanya 0.64% berbanding Korea Selatan dan Taiwan lebih dari 3% manakala China pula 1.3%[4]. Pada tahun 2002, sebanyak 0.69% perbelanjaan R7D malaysia daripada KDNK, namun lebih separuhnya (0.3+5) adalah diperuntukkan untuk sektor swasta. Bagaimana mungkin graduan dan saintis yang bertugas untuk pembangunan negara boleh diperluaskan potensi jika bajet untuk sektor swasta sama banyak dengan kerajaan, amalah bajet untuk sektor pendidikan awam lebih rendah daripada institut penyelidikan kerajaan. Sudahlah bajet pendidikan tinggi awam berkongsi dengan bajet penyelidikan kerajaan.


Pada 2002 juga Perbelanjaan bagi R&D bagi Korea Selatan adalah 2.53%, Taiwan 2.3%, Singapura 2.15, India 0.78%, Amerika Syarikat 2.72%, Finland 3.42%. sasaran dasar sains dan Teknologi II ialah mencapai 1.5% daripada KDNK menjelang 2010[5].


Dasar Sains dan Teknologi II bertujuan meningkatkan perbelanjaan P&P (penyelidikan dan Pembangunan/ R&D) negara mencapai sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2010 melalui tujuh teras strategik. Teras tersebut bertujuan untuk:


• Memperkukuhkan keupayaan dan kebolehan dalam penyelidikan dan teknologi;

• Mengutamakan pengkomersilan usaha-usaha penyelidikan;

• Membangunkan keupayaan dan kebolehan sumber manusia;

• Mempromosikan budaya sains, inovasi dan teknokeusahawanan;

• Mewujudkan rangka kerja institusi dan pengurusan S&T serta melaksanakan dasar S&T yang memenuhi permintaan pasaran;

• Mempercepatkan penyebaran dan aplikasi teknologi secara meluas yang akan menghasilkan aktiviti P&P yang didorong oleh faktor komersil; dan

• Membina kepakaran dalam teknologi utama yang baru muncul.


Bagi saintis dan jurutera, hanya 367 orang daripada 1 juta penduduk. Manakala Korea Selatan lebih 4000 per sejuta, Singapura dan China lebih daripada 1500 orang per sejuta.


Universiti umpama komoditi


Kini dalam pembentangan Bajet 2010, kerajaan berniat untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.


Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan. Universiti akan menjadi pusat trader, perlaburan sehingga mengasyikkan tenaga akadimik untuk mendapat ‘share’.


Jauh lebih awal sebelum diisytiharkan IPTA perlu jana ekonomi sendiri, mahasisaw telah telah terasa nilai komersial IPTA yag telah diterapkan. Yuran dan pinjaman yang tinggi perlu dilakukan oleh pelajar jika ingin belajar.


AUKU yang bermula sejak tahun 1960an lagi telah menjebak mahasiswa ke lembah malap hingga tidak lagi mampu berdikari belajar menganjur program mega atau bertaraf dunia. Yang ada hanya program skema yang ditetapkan oleh universiti.


Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan bajet 2010 mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan.


Kelemahan ekonomi negara jangan sehingga menjadikan kampus sebagai pintu keluar untuk selamatkan bajet negara, kerana pembinaan modal insan adalah antara syarat-syarat pillar utama di dala penilaian prestasi negara seperti mana di dalam laporan WEF dan IMD.


Hubungan erat antara ekonomi dan pengetahuan


Ekonomi Malaysia bukan berasaskan pengetahuan sepertimana yang dijadikan piawaian oleh badan-badan antarabangsa seperti IMD, WEF dan sebagainya. Ekonomi Malaysia masih kuat berpegang kepada bahan mentah atau dalam ertikata lain memanipulasikan bahan mentah untuk menonjolkan kekayaan. Singapura adalah contoh terbaik sebuah negara yang berasaskan pengetahuan dalam aspek ekonominya tanpa bergantung kepada sumber. CIA menyatakan Singapura memiliki ekonomi inovatif yang bergantung kepada eksport, penghasilan industri (terutama elektronik), IT, perubatan dan sektor servis seperti pengangkutan dan sebagainya. Peratusan sektor yang menyumbang kepada KDNK Singapura ialah Pertanian: 0%, Industri: 33.2%, Perkhidmatan: 66.8% (2008 est.) Manakala CIA menunjukkan Malaysia masih banyak bergantung dengan sumber alam untuk KDNK, Pertanian: 9.7%, Industri: 44.6%, Perkhidmatan.: 45.7% (2008 est.)[6]


Indeks Inovasi Global 2008-2009 menunjukkan malaysia berada pada tangga ke 25 dunia pada indeks 4.06. malaysia gagal bersaing dengan Singapura yang berada pada tangga ke-5 dengan indeks sebanyak 4.81. Di atas Malaysia adalah Qatar pada tangga ke-24 dan Israel pada tangga ke-23. Akan tetapi Israel boleh berbangga dengan inovasi mereka sendiri kerana teknologi Yahudi telah sekian lama menguasai dunia terutama Amerika Syarikat yang kekal pada tangga pertama .


Indeks yang sama juga menunjukkan dari segi ‘pengetahuan’ (knowledge), Malaysia berada pada tangga 17 dunia di mana Singapura pula berada pada tangga 11. Indeks ‘pengetahuan’ ini menilai tahap sesebuah negara dalam mencipta nilai tambah bagi sesuatu keluaran atau produk serta berpotensi meningkat hasil berdasarkan tahap ekonomi. Indeks ini menunjukkan Malaysia ketinggalan berbanding Singapura yang amat terhad sumber alamnya.

Human Capacity juga diukur oleh Indeks Inovasi Global 2008-2009 dan menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke-18 manakala Singapura pada tangga ke-7! Indeks Human Capacity mengukur peningkatan modal insan yang kompeten, berilmu serta mampu menjalankan kerja R&D secara tersusun untuk peningkatan negara.


Jurnal Malaysia terpinggir


Nilai jurnal Malaysia juga dinilai sebagai tidak mesra-pembaca. Pengamat jurnal antarabangsa menyatakan terlalu sukar mendapati jurnal ekonomi atau sains sosial yang dipapar melalui online-atau plugged dalam jaringan jurnal antarabangsa. Sebagai contoh, Malaysian Journal of Economic Studies, yang diterbit oleh UM hanya disiarkan abstraknya sahaja melalui online. Ini menunjukkan betapa elitnya jurnal malaysia sehingga sukar didapati intipatinya secara mudah apatahlagi jika ingin membaca tulisan yang dicetak. Adakah ini menunjukkan intelegensia malaysia risau nilai tulisan mereka turun apabila ia dibaca secara meluas seluruh dunia?


Jika kita menekan journal malaysia di dalam google, pertamanya kita akan menjumpai 'Electronic Journal of University of Malaya' (EJUM). Ia memiliki 5 jurnal yang isolisasi dari himpunan jurnal antarabangsa. Ia sukar dicari secara rawak di dalam internet[7].


Penyelidikan di Singapura: satu perbandingan dekat


Kajian dan penyelidikan (R&D) di Singapura sedang berkembang pesat. Bidang ini menjadi berkembang melalui peruntukan wang yang besar serta individu yang terlibat juga ramai. $6 billion telah dibelanjakan untuk R&D pada 2007. Ini melibatkan 2.61% daripada KDNK Singapura dan matlamat mereka adalah mencapai 3% pada 2010[8].


Jika dibanding keluasan negara, Singapura hanya seluas 697 km2, manakala malaysia ialah 329,847 km2. Malaysia seluas 400 kali ganda berbanding Singapura. Namun dalam hal kajian dan pembangunan, Singapura mempu berbelanja 2 kali ganda daripada peruntukan peratusan Malaysia.


Lihat rajah di bawah

http://www.aaas.org/spp/rd/world06se.pdf

http://www.aaas.org/spp/rd/world07.pdf


Teladan untuk Malaysia; umat Islam


Laporan kajian Bank Dunia 2007 menunjukkan sistem pendidikan tinggi universiti-universiti negara kita berada pada tahap memalukan dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran. Dalam buku laporan setebal 258 muka surat itu jelas membayangkan bahawa tanpa satu daya usaha yang besar untuk memulihkan kelemahan tersebut sistem pendidikan tinggi di Malaysia mungkin akan jauh ketinggalan berbanding negaranegara jiran yang giat membangunkan universiti masing-masing.


Menurut laporan Bank Dunia itu, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu mempunyai fokus dan strategi pembaharuan. Yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa.Saranan Bank Dunia dalam Laporan bertajuk Malaysia dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan: Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia, antara lain mengariskan beberapa perubahan yang perlu dibuat termasuk:-

* Memilih model tadbir urus dan kewangan yang lebih efektif.

* Meningkatkan keseluruhan kualiti universiti dengan memberi fokus kepada program akademi, pengurusan fakulti, dan pembelajaran.

* Melengkapkan graduan dengan ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.

* Mengukuhkan sistem inovasi kebangsaan dengan mewujudkan rangkaian kukuh antara firma-firma di Malaysia dan universiti-universiti.


Ibn Khaldun menjelaskan ;

Manusia sebagaimana makhluk haiwani lainnya juga mempunyai sifat hayawaniyat-nya seperti al-hiss (rasa), al-harakat (gerak), memerlukan alqiza (makanan) dan tempat tinggal (al-kanni). Manusia berbeza dengan makhluk lain kerana manusia berkeupayaan untuk berfikir. Dengan potensi itu manusia dapat mencari keperluan hidup. Dengan potensinya, manusia dapat berinteraksi dengan sesamanya untuk tujuan-tujuan kesejahteraan hidup bersama. Juga dengan potensinya, manusia dapat menerima ajaran-ajaran dari Allah yang disampaikan oleh para Nabi kepadanya[9].


Justeru pembinaan pakar dan tenaga mahir umat Islam perlu melalui teras-teras yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun antaranya.

Pendidikan tinggi perlu mengambilkira fungsi dan aspek berikut dalam pembinaan modal insan berteraskan rohani:-

  1. Rasa dan perasaan
  2. Pergerakan dan jasmani
  3. Aspek makanan dan sumber
  4. Prasarana dan tempat pembelajaran


Mari bersama meneliti faktor utama perkembangan ilmu pengetahuan pada zaman Abbasiyah;

a. Kreativiti para ulamak

b. Usaha dan galakan para khalifah

c. Aktiviti penterjemahan pelbagai ilmu

d. Kestabilan politik dan kewangan kerajaan Abbasaiyah

e. Dasar kerajaan abbasiyah yang memberi keutamaan kepada ilmu pengetahuan

f. Kewujudan prasarana pendidikan yang baik

g. Islam menggalakkan umatnya sepaya mengkaji alam sekitar

h. Hubungan diplomatik antara kerajaan Abbasiyah dengan negara luar

i. Kedudukan Baghdad yang menjadi pusat keilmuan dan perdagangan antara bangsa.



[1] Kertas kerja ini dibentang di Institut Perguruan Pulau Pinang 8 November 2009

[2] AAAS R&D Budget and Policy Program

[4] Konsep Era Pakatan 1-15 November 2009

[5] Ariffin Samsuri, Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2006 Johor Baharu

[6] http://www.theodora.com/wfb/

[7] http://educationmalaysia.blogspot.com/2006/11/knowledge-management-and-dissemination.html

[8]http://www.straitstimes.com/Breaking%2BNews/Singapore/Story/STIStory_291619.html

[9] Ibn Khaldun. (1930), Muqaddimah, m s : 34

Monday, November 2, 2009

Mikotoksin dalam keluaran DK terbaru


Tengah hari tadi saya baru membeli Dewan Kosmik edisi November di Kedai Buku USM. Antara tajuk utama dalam edisi kali ini ialah bahaya aflatoksin yang ditulis oleh seorang pegawai sains di Pusat Racun Negara, USM. Kebetulan pula 2 minggu lalu saya baru menulis e-mel memberi sedikit maklumbalas berkenaan artikel toksin yang dikeluarkan dalam keluaran September. Buat sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan mikotoksin dalam makanan, sila dapatkan Dewan Kosmik yang terbaru.

Berikut adalah surat pembaca yang saya hantar melalui e-mel kepada editor DK.

Surat Pembaca

Mikotoksin dalam Makanan

Toksin dalam makanan boleh juga berlaku dengan kehadiran kulat. Sebagaimana yang pernah dikupas dalam DK keluaran September 09, kehadiran toksin sememangnya sukar dikesan berdasarkan penglihatan mata kasar sahaja. Mikotoksin (miko=kulat) adalah metabolit sekunder yang berupaya dihasilkan oleh spesies kulat tertentu yang tumbuh atau berada dalam sesuatu jenis makanan.

Aflatoksin dan okratoksin misalnya, dihasilkan oleh kulat dari genus yang sama tetapi spesies yang berbeza iaitu Aspergillus flavus dan Aspergillus ochraceus. Makanan seperti bijirin, kekacang dan rempah ratus adalah beberapa jenis makanan yang sering dilaporkan tercemar dengan aflatoksin. Kerajaan Malaysia sendiri turut memperkenalkan akta makanan khas bagi tujuan mengawal kandungan toksin ini dalam makanan iaitu di bawah Peraturan 39, Peraturan-Peraturan Makanan 1983.

Genus kulat Fusarium pula berupaya menghasilkan mikotoksin seperti fumonisin, zearelenon dan deoksinivalenol. Fumonisin senang dijumpai pada makanan bijirin seperti jagung, gandum, barli dan soya. Buktinya, beberapa artikel yang dikeluarkan dalam jurnal antarabangsa banyak merekodkan penemuan berkaitan mikotoksin ini.

Sungguhpun langkah kawalan telah diambil oleh kerajaan, mungkin ramai yang belum menyedari bahawa masih terdapat beberapa produk makanan dikenalpasti mengandungi paras toksin melebihi paras yang dibenarkan. Contohnya makanan bersumberkan kekacang seperti mentega kacang dan kacang bungkus. Faktor kesukaran mengenalpasti kehadiran mikotoksin di peringkat awal turut menyumbang kepada kes keracunan makanan malah ada di antaranya yang boleh mencapai ke tahap penyakit berbahaya seperti penyakit barah hati dan barah paru-paru.

Di sinilah terletaknya kepentingan kajian-kajian semasa berkenaan teknologi terkini bagi mengesan serta mengawal kehadiran mikotoksin perlu dilakukan oleh penyelidik yang berkecimpung dalam bidang teknologi pemakanan. Kajian fundamental oleh penyelidik dalam bidang mikrobiologi juga tidak harus dipandang ringan kerana melalui pengenalpastian miktoksin secara terperincilah bakal memudahkan kajian lanjut berkenaan pengawalannya.


Wardah bt Abdul Rahman

USM, Pulau Pinang.


Saturday, October 31, 2009

Antikanser dalam Kari

Berita gembira untuk penggemar kari atau gulai. Jika sebelum ini kari seringkali dikaitkan dengan makanan berkategori kolesterol tinggi serta boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada kesihatan, kini persepsi tersebut besar kemungkinan bakal berubah.

(sumber:utusanonline)

Kari mungkin boleh sembuhkan kanser

LONDON 29 Okt. - Satu molekul yang dijumpai dalam kari didapati mampu membunuh sel kanser esofagus di dalam ujian makmal, sekali gus memberi pembayang yang ia mungkin berpotensi dibangunkan sebagai rawatan antikanser.

Penyelidik di Pusat Penyelidikan Kanser Cork di Ireland, berjaya merawat sel kanser esofaguscurcumin iaitu bahan kimia dalam kari yang memberikan warna kuning dan mendapati ia mula membunuh sel kanser dalam masa 24 jam. dengan menggunakan

Kajian yang disiarkan dalam British Journal of Cancer itu juga menyatakan, sel-sel kanser tersebut juga mula terhadam sendiri.

Penyelidikan saintifik sebelum ini mengakui curcumin mampu mengawal tumor dan mereka yang memakan banyak kari kurang berisiko terhadap penyakit itu, walaupun curcumin kehilangan ciri-ciri antikanser sebaik dimakan.

Namun Sharon McKenna yang mengetuai kajian itu berkata, terdapat potensi untuk menjadikan curcumin sebagai ubat antikanser bagi merawat kanser esofagus.

Kanser esofagus membunuh 500,000 orang di seluruh dunia setiap tahun. Tumor yang tumbuh adalah sangat mengancam nyawa dengan kadar kelangsungan hidup untuk lima tahun berada pada 12 hingga 31 peratus.

Menurut McKenna, kajian menunjukkan curcumin menyebabkan sel kanser mati 'dengan menggunakan sistem mesej sel yang tidak dijangka'.

Penyelidik Amerika Syarikat pada 2007 menyatakan penemuan mengenai curcumin yang mampu merangsang sistem imunisasi sel dalam penyakit angin ahmar. - REUTERS

Thursday, October 29, 2009

Pertama kali mencuba PCR-ITS



Inilah antara hasil yang sekian lama dinanti (bayangkan gambar asal tanpa suntingan). Permulaan hasil PCR-ITS yang baik untuk 5 sampel (1,2,3,4 dan 5). Alhamdulillah. Hari yang gembira buat saya.

Mudah-mudahan 85 sampel yang lain juga bakal beroleh hasil yang baik =]


Wardah bt Abdul Rahman
Makmal Patologi Tumbuhan, USM
2.17 pagi
menanti hari esok dengan sabar, semangat!



Thursday, October 22, 2009

Ibadah Qurban bersama Muslim Aid


Minggu ini sudah bermula bulan Hijrah yang baru-Zulkaedah. Bersempena bulan Zulhijjah yang akan menjelang tidak lama lagi, saya ingin mempromosikan ibadah qurban yang boleh dilakukan melalui Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Tidak seperti program qurban yang biasa dijalankan di masjid-masjid atau surau di sekitar tempat tinggal kita, pihak Muslim Aid menyediakan satu alternatif baru yang mungkin pertama kali kita ketahui. Uniknya ibadah qurban melalui Muslim Aid yang dilakukan di bawah program Qurban For Life (Q4L) ini ialah hasil qurban akan diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan sama ada di dalam atau di luar negara.

Berikut adalah beberapa kelebihan program Q4L (sumber : http://www.qurbanforlife.com/)

1. daging qurban ditinkan agar tahan lama dan dapat mengelak daripada pembaziran daging mentah

2. daging qurban yg ditinkan ini diagih-agihkan kepada saudara seagama kita yang memerlukan seperti anak2 yatim, fakir miskin, golongan OKU dan ibu tunggal di Malaysia, mangsa bencana dan mangsa perang di luar negara seperti Gaza, Pakistan, Somalia dan Sudan dan Yaman.

3. kambing biri-biri yang gemuk dan sihat dari Australia dipilih mengikut kualiti yang ditetapkan untuk ibadah qurban.

4. kos RM350 sudah termasuk harga bagi seekor kambing, penyembelihan, proses, masak, pengetinan dan pengagihan

5. setiap penyertaan qurban akan diberi resit pengecualian cukai serta sijil penyertaan (rujukan LHDN: 01/35/42/51/179-6.6487, tarikh kuatkuasa 15 Jan 2009)

6. mendapat pengiktirafan JAKIM dan Persekutuan Majlis Agama Islam Australia.


Bagi sesiapa yang ingin menyertai ibadah qurban ini, anda boleh menghubungi sukarelawan bertauliah Qurban For Life yang terdekat (layari http://www.qurbanforlife.com/2008/10/sukarelawan-bertauliah-qurban-4-life.html). Khusus kepada mereka yang tinggal di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perak, anda boleh menghubungi Muhammad Nuruddin bin Bashah-017 6291368 atau saya sendiri, Wardah bt Abdul Rahman-012 5296690 pada bila-bila masa.



Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.


Friday, October 16, 2009

Bengkel Penulisan Artikel Saintifik

Semalam, 15 Oktober, saya mengikuti bengkel penulisan artikel bagi tujuan penerbitan dalam jurnal antarabangsa. Seawal jam 8.15 pagi, saya bersama rakan-rakan lain yang turut melakukan penyelidikan di dalam makmal yang sama bergerak menuju ke Dewan Budaya USM. Bengkel ini sebenarnya saban tahun dianjurkan oleh Institut Pengajian Siswazah USM tetapi buat julung kalinya tahun ini, Pusat Pengajian Sains Kajihayat berjaya menjadi penganjur.

John F. Leslie bukanlah seorang yang asing dalam bidang patologi tumbuhan khususnya. Bagi mereka yang melakukan penyelidikan dalam bidang ini dan juga mengenai Fusarium pasti menjadikan salah satu artikelnya sebagai bahan rujukan. Profesor dan Ketua Jabatan Patologi Tumbuhan di Universiti Kansas State, AS ini telah menulis lebih 150 artikel dan telah diterbitkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau juga berpengalaman menjadi 'reviewer' di beberapa jurnal ISI. Oleh itu, sudah pastilah peluang sehari berbengkel dan menuntut ilmu penulisan bersama beliau tidak akan disia-siakan.

Satu demi satu langkah format penulisan saintifik diterangkan kepada kami semua. Selain itu, beliau turut menyelitkan kaedah pengurusan masa menulis, kepentingan penulisan saintifik dalam dunia penyelidikan serta 'do' dan 'don't' yang perlu diikuti. Pada sesi petang pula kami diminta menyemak abstrak seorang penyelidik dan menanda bahagian yang didapati salah. Hasilnya, walaupun abstrak yang sama telah digunakan dalam bengkel penulisan beliau sebelum ini, saya masih gagal menyenaraikan semua kesalahan yang terdapat pada penulisan tersebut. Ini baru abstrak, belum lagi keseluruhan artikel diberi untuk disemak.

Apabila melihat kesalahan orang lain, saya cuba membandingkannya dengan hasil penulisan yang terdahulu. Banyak benar aspek penulisan khususnya penulisan artikel saintifik yang perlu diperbaiki. Teringat pula pesan penyelia kajian saya, pastikan draf artikel yang ditulis telah disemak berkali-kali hingga muak!

Bengkel sebegini sangat memberi manfaat terutamanya bagi pelajar dan penyelidik. Selain penceramah yang bukan sembarangan orang, ilmu penulisan yang diajarkan juga sangat releven dengan keperluan sesebuah penyelidikan dilakukan iaitu untuk berkongsi hasilnya dengan orang lain. Banyak yang boleh dikongsi dari bengkel ini. InsyaAllah, saya akan cuba masukkan sedikit demi sedikit dalam 'posting' yang akan datang.



Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.



Thursday, October 8, 2009


Selama hampir 2 tahun terlibat dalam dunia penyelidikan, terus-terang saya katakan saya menyukainya dan jika berpeluang menyambung lagi pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), saya memilih untuk melakukan kajian terhadap mikotoksin. Sehari dua ini perkara ini yang berlegar-legar di fikiran saya. Mungkin impak 'posting' yang sebelum ini. Ditambah pula kadang-kadang saya leka melihat kawan-kawan di makmal melakukan proses pengektrakan mikotoksin daripada beras yang telah dieramkan (incubate) dengan Fusarium.


'Mycotoxin profile of Aspergillus isolated from beans in Malaysia'. Mungkinkah ini tajuk penyelidikan saya nanti? Objektif kajian? Keperluan kajian? Banyak perkara yang perlu difikir ldan dipertimbangkan.


Wardah bt Abdul Rahman
merancang di sudut makmal..


Monday, October 5, 2009

Mikotoksin, Pembunuh Senyap dalam Makanan


Aduh, baru sahaja saya buka penutup plastik roti/bun sosej ini, sejenis bau menerpa ke hidung. Ini bukan sesi berkongsi resepi ya. Roti ini memang sedap, baunya enak, dibeli di pasaraya Nobita (bukan nama pasaraya yang sebenar) pada malam Ahad yang lalu. Pada penutupnya tertulis tarikh luput 7 Oktober. “Boleh la ni, nampak sedap, macam baru dibakar. Boleh dibuat makanan sahur.” Ini fikiran pertama saya tatkala membelek bungkusan roti ini.

Tengah hari ini saya pulang untuk solat Zohor dan makan di bilik. Hajat di hati ingin menghabiskan roti yang baru diusik sedikit. Malang sekali, Aspergillus sudah menyerang lebih awal!

Mungkin tidak ramai di antara kita akan meneliti kembali makanan yang sudah tercemar atau rosak. Saya cuba mengambil pendekatan yang berbeza. Sambil menutup hidung (langkah berjaga-jaga). Saya membelek dan mencari sudut yang sesuai untuk melihat dengan lebih dekat kulat tersebut. Hidung perlu ditutup bagi mengelakkan spora kulat yang sangat ringan dan mudah tersebar melalui angin memasuki r
uang pernafasan. Ada akibat buruknya jika tidak ditutup.

Melalui pengamatan dan berbekalkan pengetahuan saya tentang morfologi beberapa jenis kulat terutamanya dari genus Aspergillus, dapatlah saya katakan kulat ini sudah merampas makanan saya. Tiada rezeki, kata orang.



Beberapa genus kulat seperti Aspergillus, Penicillium dan Fusarium berupaya menghasilkan toksin sebagai metabolit sekunder apabila tumbuh pada sesuatu jenis makanan. Toksin ini dikenali sebagai mikotoksin (miko=kulat). Selain makanan yang sudah dimasak, mikotoksin juga mudah dijumpai pada tumbuhan kekacang, jagung, tumbuhan berumbisi dan sebagainya.

Utusan Pengguna yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah menyiarkan hasil kajian mereka berkenaan jumlah aflatoksin(sejenis mikotoksin yang dihasilkan oleh Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus) yang terkandung dalam mentega kacang, kacang dan produk kacang dalam keluaran Mac-April 2007 yang lalu. Kajian menunjukkan bahawa paras aflatoksin yang berada dalam beberapa jenama mentega kacang terkenal di pasaran melebihi paras yang dibenarkan di bawah Peraturan Makanan Malaysia 1985. Begitu juga dengan produk berasaskan kacang yang lain.

Radang paru-paru (aspergillosis), kekurangan imun dan kanser hati adalah antara penyakit kronik yang boleh disabitkan dengan kehadiran toksin khususnya toksin yang dihasilkan oleh genus kulat Aspergillus di dalam organ manusia. Proses kemasukan spora kulat ini boleh melalui rongga pernafasan manusia secara langsung (sebab utama saya menutup hidung tadi) atau melalui makanan yang sudah tercemar dengan toksin yang dihasilkannya.

Bagaimana pula makanan yang telah dimasak? Bukankah semua mikroorganisma telah dimatikan melalui proses ini? Sebenarnya, tidak semua mikroorganisma berjaya dibunuh. Toksin misalnya stabil pada suhu yang tinggi dan tidak boleh dimusnahkan melalui masakan biasa. Jika tidak, masakan Peraturan Makanan Malaysia 1985: Jadual Kelima Belas (Peraturan 39) Jadual II menggariskan bahawa paras aflatoksin maksimum yang dibenarkan ialah 15 bahagian per bilion (bpb) bagi kacang mentah dan 5 bpb bagi produl makanan yang lain.

Di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, ramai saintis mereka bekerja dalam bidang kajian pertanian yang memerlukan pakar untuk mengenalpasti mikotoksin yang dihasilkan oleh kulat yang menjangkiti tanaman di negara mereka. Selain itu, mereka juga berpeluang mengkaji langkah kawalan dan racun kulat yang sesuai diaplikasikan di samping memastikan bekalan makanan seperti jagung, soya, bijiran tersebut tidak terjejas.

Bengkel (workshop) mahupun persidangan (conference) berkenaan kaedah pengenalpastian kulat dan mikotoksin pasti menjadi tumpuan pengkaji-pengkaji dalam bidang ini. 'International Fusarium Laboratoty Workshop' yang pernah saya hadiri penghujung bulan Jun tahun lalu telah menghimpunkan hampir separuh peserta yang latar belakang mereka adalah dari pusat penyelidikan dan pusat pengajian agrikultur negara masing-masing di Korea, Sudan, Australia, Indonesia dan Amerika Syarikat. Dijangka pada bulan November 2010 pula, USM akan menjadi tuan rumah yang kedua untuk 'International Mycotoxin Conference'. Prof Baharuddin Salleh, penyelia saya yang menjadi orang penting untuk persidangan ini menganggarkan lebih 300 peserta akan turut serta. Mudah-mudahan saya dapat menjadi salah seorang daripada mereka.


Permulaan tulisan saya ini hanya untuk menceritakan Aspergillus pada roti saya yang telah tercemar. Sekarang panjang pula jadinya. Ingatan dari saya, berhati-hatilah dengan makanan yang kita makan sehari-hari. Secara nyata atau tidak, mikotoksin dalam makanan mampu mengganggu kesihatan kita.


Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.


Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi di Padang

Belum pun reda bantuan yang dipohon dan dihulurkan untuk mangsa gempa bumi di Padang, berita yang terbaru, gempa bumi yang lebih kuat mungkin akan menyusul (lihat posting sebelum). Patutlah K. Darnetty masih risau, bisik hati saya. K.Darnetty ialah salah seorang pelajar PhD di makmal saya yang sering berulang alik dari Padang, Indonesia ke Malaysia bagi menyiapkan kajiannya berkenaan mikotoksin kulat Fusarium.

Minggu lepas saya bertanyakan berita tentang K. Darnetty selepas mengetahui kawasan tempat tinggalnya terlibat dengan bencana alam ini. Alhamdulillah, jawapan yang positif diterima melalui K. Bintra, seorang lagi kawan semakmal yang tinggal di Acheh. Menurut K.Bintra lagi, itupun selepas 3 hari dia bertanya baru beroleh jawapan kerana sistem komunikasi terganggu ketika itu.

Sebenarnya sukar juga membayangkan keadaan sebenar ketika gempa bumi berlaku. Bayangkan sebelum gempa bumi berlaku , beberapa talian komunikasi telah terganggu.
Kepulauan Indonesia khususnya Padang yang terletak di Sumatera sememangnya pernah dilanda gempa bumi yang kecil sebelum ini. Struktur bangunannya yang asalnya dibina kukuh semakin tidak terjamin kestabilannya. Sebab itulah banyak bangunan yang runtuh malah ada yang ranap sama sekali menyembah bumi sebaik sahaja gempa bumi Rabu lalu berlaku. Mungkin juga mangsa yang terperangkap sebenarnya dalam usaha untuk keluar dari bangunan tetapi disebabkan lewat beberapa saat, mereka terperangkap dan hingga kini belum tentu telah dijumpai atau belum.

Syukur, tanah kita berada kini tidak diancam dengan bencana alam sedemikian. Walau bagaimanapun, bantuan tetap diperlukan dan dihulur semampu mungkin. Klik pada gambar Tabung Gempa Padang di bawah untuk mengetahui cara menghulurkan bantuan melalui organisasi kemanusiaan, Muslim Aid Malaysia
.


Wardah bt Abdul Rahman
Makmal Patologi Tumbuhan, USM

Gempa bumi di Padang mungkin belum berakhir

Sumber : Berita Harian online, Selasa, 5 Oktober 2009

Gempa bumi dahsyat masih ancam Padang

JAKARTA: Ketika Sumatera Barat masih berduka dilanda gempa bumi 7.6 skala Richter yang mengorbankan lebih 600 orang dan ratusan lain hilang setakat tengah hari ini, Indonesia dikejutkan dengan kemungkinan gempa lebih besar melebihi 8.0 akan berlaku.

Sambil mengakui tiada siapa atau teknologi yang dapat meramalkan dengan tepat tarikh gempa bumi besar itu, pakar berpendapat gempa bumi itu akan lebih dahsyat seperti yang menyebabkan tsunami pada Disember 2004 serta mengorbankan lebih 200,000 orang di beberapa negara.

Pakar geologi Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Danny Hilman Natawidjaja, berkata tekanan telah membentuk garis tekanan di sekitar wilayah Padang sejak beberapa tahun lalu.

"Gempa berukuran 7.6 pada 5.16 petang Rabu lalu yang menggoncang Padang bukan termasuk "skala besar". Itu bukan gempa yang sering kita perbincangkan bakal terjadi, yakni gempa dahsyat lebih dari 8.0 yang memicu tsunami," katanya dalam satu kenyataan.

Danny, dalam penyelidikannya di luar pantai Sumatera selama 12 tahun bersama rakan penyelidik, Prof Kerry Sieh, dari Nanyang Technology University (NTU, Singapura) yakin akumulasi tekanan dapat mengakibatkan gempa 8.8 dan kekuatan gempa itu adalah kira-kira 30 kali lebih besar berbanding gempa Rabu lalu.

"Secara ilmiah, saya boleh katakan gempa yang dahsyat itu mungkin berlaku esok, lusa, bulan depan, atau mungkin tahun depan. Paling tidak, itu akan terjadi dalam 10 tahun akan datang.

"Secara pribadi, saya khuatir jika gempa tersebut terjadi dalam beberapa bulan atau tahun akan datang. Tapi, sebagai ilmuwan, kami sering terkejut oleh fenomena alam," katanya.

Pada 2004, gempa berkekuatan 9.15 pada skala Richter yang berpusat sekitar 600 kilometer ke utara Padang memicu gelombang tsunami mengakibat lebih 200,000 orang terkorban di Acheh serta beberapa negara pesisir Lautan Hindi .

Danny berkata, gempa berkekuatan 8.8 akan mengakibatkan gelombang tsunami setinggi empat hingga 10 meter melanda Padang yang didiami kira-kira 4.4 juta penduduk. - Bernama