Sepanjang saya melakukan kajian morfologi (pemerhatian pada struktur dan ciri-ciri yang boleh dilihat melalui mata kasar atau melalui mikroskop) ke atas pencilan kulat dari genus Aspergillus, terdapat satu teknik baru yang saya pelajari iaitu teknik kultur slaid atau ‘Slide culture technique‘.
Berbanding teknik penyediaan slaid umum yang pernah dipelajari di sekolah menengah, ‘slide culture‘ ini lebih fokus dan mengambil kira aspek-aspek khas sampel yang ingin dilihat. Bagi pelajar seangkatan saya yang mengambil subjek Biologi ketika di tingkatan 4, ingat lagi topik sel haiwan dan tumbuhan? Dalam kelas amali inilah kita diajar teknik penyediaan slaid dan penggunaan mikroskop cahaya. Sel tumbuhan diambil dari lapisan nipis kulit bawang manakala sel haiwan diambil dari calitan pada bahagian dalam pipi rakan sekelas.(suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan bila membayangkan kisah dahulu, terasa dekat sekali, belajar sains bersumberkan ciptaan Tuhan di sekeliling)
Berbalik pada teknik ‘slide culture‘, aplikasi kaedah ini amat disarankan jika sampel kulat yang dikaji mempunyai spora yang ringan, rapuh (fragile) dan mudah tersebar (easy-spread). Ciri-ciri spora ini boleh menjadi halangan utama untuk memperoleh pemerhatian yang baik serta gambar yang jelas sekiranya teknik penyediaan slaid yang biasa digunakan. Aspergillus dan Penicillium adalah antara genus kulat yang sangat dikenali dengan kaedah penyebaran sporanya melalui angin (airborne spore fungus). Daripada kaedah penyebaran ini kita sudah dapat mengenalpasti ciri sporanya mesti ringan dan halus.
Secara ringkasnya, saya terangkan kaedah penyediaan ‘slide culture’ bagi pengecaman morfologi kulat Aspergillus seperti di bawah :
1. Media pertumbuhan ‘Malt Extract Agar‘(MEA) yang telah dituang ke dalam piring petri dan dibiarkan semalaman dipotong dalam bentuk kiub yang kecil, kira-kira 5-8 mm2.
2. Kiub agar ini diletakkan di atas slaid mikroskop.
3. Kiub agar diinokulasikan dengan (inoculated with) spora kulat di beberapa bahagian sisi kiub.
4. Sisip kaca diletak di atas bahagian atas kiub agar dan menutupi permukaan kiub agar.
5. ‘Slide culture‘ ini kemudiannya diletakkan di dalam piring petri baru yang lain yang mengandungi media ‘Water Agar‘ (WA) yang telah dikeraskan. WA berfungsi sebagai sumber lembapan bagi spora kulat yang akan tumbuh.
6. Piring petri ditutup dan diperam (incubate) antara 2-3 hari.
7. Selepas tempoh tersebut, ‘slide culture’ sedia untuk dilihat di bawah mikroskop cahaya dan hasilnya? Lihat keputusan yang saya perolehi di bawah.
Spora kulat Aspergillus ini dilihat menerusi mikroskop cahaya.
Ini pula struktur kulat Aspergillus yang boleh dilihat melalui mata kasar atau menerusi mikroskop pembedahan.
Jurnal antarabangsa yang menjadi rujukan saya ialah Harris, J. L. (1986). Modified Method for Fungal Slide Culture. Journal of Clinical Microbiology. p. 460-461.
Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh melalui teknik ini. Kepada ahli mikrobiologi yang lain, semoga berjaya! jika teknik ini baru pertama kali dicuba.
Makmal Patologi Tumbuhan, USM.
(baru tiba dari Kamunting, suami menemani saya melakukan kerja makmal ketika ini =] )
No comments:
Post a Comment