Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Thursday, February 11, 2010

Jom belajar! Teknik 'slide culture'



Sepanjang saya melakukan kajian morfologi (pemerhatian pada struktur dan ciri-ciri yang boleh dilihat melalui mata kasar atau melalui mikroskop) ke atas pencilan kulat dari genus Aspergillus, terdapat satu teknik baru yang saya pelajari iaitu teknik kultur slaid atau ‘Slide culture technique‘.


Berbanding teknik penyediaan slaid umum yang pernah dipelajari di sekolah menengah, ‘slide culture‘ ini lebih fokus dan mengambil kira aspek-aspek khas sampel yang ingin dilihat. Bagi pelajar seangkatan saya yang mengambil subjek Biologi ketika di tingkatan 4, ingat lagi topik sel haiwan dan tumbuhan? Dalam kelas amali inilah kita diajar teknik penyediaan slaid dan penggunaan mikroskop cahaya. Sel tumbuhan diambil dari lapisan nipis kulit bawang manakala sel haiwan diambil dari calitan pada bahagian dalam pipi rakan sekelas.(suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan bila membayangkan kisah dahulu, terasa dekat sekali, belajar sains bersumberkan ciptaan Tuhan di sekeliling)

Berbalik pada teknik ‘slide culture‘, aplikasi kaedah ini amat disarankan jika sampel kulat yang dikaji mempunyai spora yang ringan, rapuh (fragile) dan mudah tersebar (easy-spread). Ciri-ciri spora ini boleh menjadi halangan utama untuk memperoleh pemerhatian yang baik serta gambar yang jelas sekiranya teknik penyediaan slaid yang biasa digunakan. Aspergillus dan Penicillium adalah antara genus kulat yang sangat dikenali dengan kaedah penyebaran sporanya melalui angin (airborne spore fungus). Daripada kaedah penyebaran ini kita sudah dapat mengenalpasti ciri sporanya mesti ringan dan halus.

Secara ringkasnya, saya terangkan kaedah penyediaan ‘slide culture’ bagi pengecaman morfologi kulat Aspergillus seperti di bawah :

1. Media pertumbuhan ‘Malt Extract Agar‘(MEA) yang telah dituang ke dalam piring petri dan dibiarkan semalaman dipotong dalam bentuk kiub yang kecil, kira-kira 5-8 mm2.

2. Kiub agar ini diletakkan di atas slaid mikroskop.

3. Kiub agar diinokulasikan dengan (inoculated with) spora kulat di beberapa bahagian sisi kiub.

4. Sisip kaca diletak di atas bahagian atas kiub agar dan menutupi permukaan kiub agar.

5. ‘Slide culture‘ ini kemudiannya diletakkan di dalam piring petri baru yang lain yang mengandungi media ‘Water Agar‘ (WA) yang telah dikeraskan. WA berfungsi sebagai sumber lembapan bagi spora kulat yang akan tumbuh.

6. Piring petri ditutup dan diperam (incubate) antara 2-3 hari.

7. Selepas tempoh tersebut, ‘slide culture’ sedia untuk dilihat di bawah mikroskop cahaya dan hasilnya? Lihat keputusan yang saya perolehi di bawah.

Spora kulat Aspergillus ini dilihat menerusi mikroskop cahaya.

Ini pula struktur kulat Aspergillus yang boleh dilihat melalui mata kasar atau menerusi mikroskop pembedahan.


Jurnal antarabangsa yang menjadi rujukan saya ialah Harris, J. L. (1986). Modified Method for Fungal Slide Culture. Journal of Clinical Microbiology. p. 460-461.

Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh melalui teknik ini. Kepada ahli mikrobiologi yang lain, semoga berjaya! jika teknik ini baru pertama kali dicuba.


Wardah bt Abdul Rahman
Makmal Patologi Tumbuhan, USM.

(baru tiba dari Kamunting, suami menemani saya melakukan kerja makmal ketika ini =] )


Tuesday, February 2, 2010

Bila Mula Tulis, Mula Rasa Ketagih


Tercapai juga sasaran atau ‘target’ saya kali ini. Satu bahagian tesis telah saya serahkan pada penyelia petang tadi. Walaupun masih dalam bentuk draf pertama dan hanya satu bab yang telah disiapkan, saya berpuas hati.

Bukan mudah sebenarnya untuk mula menulis. Apabila sudah mula, barulah terasa asyik, semangat berkobar-kobar untuk menyambung bahagian yang seterusnya. Draf yang dihantar hari ini pasti akan diikuti dengan 2-3 kali pembetulan atau penambah baikan, barulah sedia untuk digabungkan bersama bab-bab yang lain. Hal ini juga menaikkan semangat saya untuk menulis dengan lebih baik.

‘Target‘ baru saya dalam 2 minggu yang akan datang-1 tulisan jurnal bertajuk “A Case Study : Incident and Remediation of Fungal in Sick Building in USM” dan 1 bahagian tesis yang lain akan siap.

Bak kata Prof Baharuddin‚‘Aim high!’. Jom, mulakan menulis dan buat sebaiknya. Tulis seolah-olah kita ingin memberitahu seluruh dunia tentang kajian kita. Kita perlu menulis kerana hanya kita yang faham apa yang kita buat. Pesan suami saya pula, “Dah siap, hantar terus. Jangan dok tangguh atau perap tulisan. Sampai bila asyik dok nak tambah. Tak hantar-hantar la jawabnya.” Betul kan?

Wardah bt Abdul Rahman

Kamunting, Perak.

Monday, February 1, 2010

Akademik saya untuk agama!!!

Pernah saya mengaduh penat dan letih kerana berulang kali melakukan penambaikan pada borang permohonan geran penyelidikan yang sedang saya usahakan ketika itu. Sungguhpun geran tersebut dipohon oleh penyelia saya dan turut melibatkan 2 orang pengkaji yang lain, saya diberi tugasan untuk melengkapkan borang tersebut sebelum menyerahkannya pada mereka untuk disemak. Saya gembira menerimanya atas niat untuk menambah pengetahuan berkenaan dunia penyelidikan serta geran yang terlibat. Namun, lama-kelamaan saya mula merasa rimas apabila berulang kali terpaksa membaiki permohonan tersebut. Doa saya, ’’Cepatlash siap, dah jemu mengadap benda ni.’’

Kini saya tahu, kesusahan tersebut bukanlah sebesar mana malah kebaikan yang diperoleh sebenarnya lebih lagi. Berpandukan pengalaman menyiapkan permohanan geran lah saya berjaya menyiapkan permohonan serta kertas cadangan untuk dibawa ke pihak UNHCR. Perincian bajet atau perbelanjaan kewangan banyak dirujuk pada geran penyelidikan tersebut. Tujuannya,memohon dana bagi projek pembangunan pendidikan anak-anak Rohingya di Pulau Pinang.

Alhamdulillah, geran kajian yang dipohon telah diluluskan oleh pihak universiti manakala kertas cadangan bagi projek Rohingya kini sedang dinilai oleh pihak UNHCR. Siang tadi, 3 orang wakil dari UNHCR datang melawat perkampungan dan tapak projek yang dicadangkan di Bagan Ajam. Berdasarkan maklum balas yang diterima dari ahli kumpulan yang mengiringi mereka, respon yang diberi oleh wakil UNHCR adalah positif.

Sekarang saya percaya, pasti ada kebaikan untuk saya perlu bersusah-payah suatu ketika dahulu. Malah, kini saya bersyukur kerana pengetahuan yang diperoleh dari bidang akademik saya kini mampu diaplikasikan semula untuk membantu umat Islam Rohingya.


Wardah bt Abdul Rahman

Balik Pulau, Pulau Pinang