Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Thursday, August 20, 2009

Men'saintifik'kan minda pekerja kilang

Artikel ini ditulis oleh seorang jurutera yang kini berkhidmat di Perak. Jadikan ia pembakar semangat, pencetus dunia sebaran ilmu para pengkaji/saintis Islam semua.
Men'saintifik'kan minda pekerja kilang

Sejak keluar dari alam kampus, saya bercita-cita membawa keluar gagasan fikir cara intelek mahasiswa ke dalam masyarakat melalui lapangan pekerjaan. Lantaran itu saya secuba mungkin mempromosi penekunan isu dan keilmuan secara mendalam dan absah, mengajak ramai membudayakan tabiat membaca, menghebahkan tulisan saya dan sebagainya di sekolah tempat saya mengajar dahulu.

Apabila berada dalam lapangan industri, saya melihat lapangan saya sebagai tempat belajar sambil mendapat duit. Lapangan ini membebaskan saya untuk mengkaji tanpa had. Dalam keadaan ekonomi 'perlombongan' dan perusahaan logam merosot, produksi kami juga jatuh. Tetapi masa lapang yang ada digunakan untuk terus mempelajari teori asas dalam setiap aplikasi di kilang tersebut.

Mempromosi budaya ilmu dan 'kebenaran' di lapangan kilang menghendaki kita mahir dalam aspek berkenaan. Misalnya di sini saya berusaha mensaintifikan pemikiran para jurutera lain serta para pekerja senior. Malah setiap laporan yang saya keluarkan (metallurgical report), pasti saya sebutkan sebab musabab, reaksi kimia yang terlibat, hukum-hukum tertentu seperti hukum peralihan haba termodinamik, konsep solid solution (larutan pepejal), sifat bahan dan sebagainya.

Sesetengah pengurus senior (kebanyakan berada di peringkat atasan bukan atas sebab pendidikan tetapi pengalaman luas) telah terbiasa mendapat report 'suggestion' (cadangan) terus tanpa ingin tahu sebab-musabab secara terperinci. Mereka ingin tahu sebab tetapi sebab yang umum yang kadangkala kesilapan dan kegagalan sesuatu tugasan dipersalahkan kepada sektor/jabatan/individu yang salah kerana akar umbi permasalahan hanya boleh difahami jika aspek sainstifik dibedah siasat.

Ramai yang mulai suka cara begini malah ada yang selalu masuk ke makmal saya untuk bertanyakan teori atau teknik sebenar secara sainstifik yang mendalam.

Sebagai contoh, pihak pengurusan tetapkan jabatan furnace (dapur) untuk melebur 'low alloy steel' sebanyak 6500kg (anggaran kasar). Pihak supervisor jabatan ini akan sediakan skrap besi sebanyak 7000kg selalunya untuk menghindar 'melting loss' akibat pelbagai pembolehubah(variables) dan faktor.

Akibat ketidakseragaman suhu (kelalaian pekerja atau masalah teknikal elektrod), maka keterlarutan carbon dalam larutan pepejal besi lebur tidak berlaku secara homogen. Carbon lebih cenderung menjadi mendakan grafit berbanding bertindak menghurai FeO (ferum oxide) menjadi Fe 100% manakala Carbon dan oksigen menjadi CO2.

Disebabkan kurangnya tindakan endotermik berkenaan (penurunan/reduction of FeO) maka kuranglah Fe dalam besi lebur tersebut kerana FeO bukan besi lagi, ianya oksida yang akan meresap ke dalam slag. Slag pula akan dibuang. Jadi kuranglah unsur besi. Kurang unsur besi menyebabkan kuranglah besi lebur yang akan dituang. Inilah faktornya. Apabila diterang, bukan semua faham. Salah menyalah akan berlaku. Saya terus buat kerja saya tanpa menghiraukan sikap mereka.

Bukan mudah ingin mensaintifikkan orang. Malah teori kadangkala diabaikan. Budaya anarki kadang-kadang berlaku dalam sektor pekerjaan teknikal. Akan tetapi sesebuah kilang sememangnya perlu mempunyai kumpulan pengkaji dan saya diambil bekerja kerana kemampuan saya untuk mengkaji dan belajar. Itu yang saya janjikan kepada mereka semasa temuduga. Pelanggan selalu meninjau sejauh mana 'research' di sesuatu kilang sebelum mereka menempah 'casting' yang mahal-mahal.

Mujur ada ramai berminat. Malah saya selalu mengajar pekerja dan supervisor saya termasuk pengurus saya yang 'mat saleh' mengenai aspek kimia dan sifat-sifat bahan dalam aktiviti perleburan besi dan rawatan haba.

Setiap hari akan ada SMS fakta baru atau perkara yang mereka tidak ketahui. Apabila mereka merujuk saya, barulah saya akan membuka sesi 'syarahan' saya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Metallurgis

No comments: