Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Friday, August 14, 2009

Bioaerosol dan Kontaminasi Dalam Bangunan

Bioaerosol dan Kontaminasi Dalam Bangunan
oleh
Wardah bt Abdul Rahman
MSc (Microbiology) USM


Kualiti udara dalaman atau ‘Indoor Air Quality’ (IAQ) adalah keadaan persekitaran dalaman sesuatu bangunan yang boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti suhu, kelembapan dan pencahayaan. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, kualiti udara dalam bangunan amat dititikberatkan. Cari sahaja maklumat berkenaan topik ini, pasti hasil kajian dari negara ini mendahului.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Percaya atau tidak, kita hanya mempunyai satu ‘Code of Practise’ yang merangkumi perkara berkaitan kualiti udara dalaman di dalamnya. Tidak ramai yang menyedari kepentingan diwujudkan akta atau undang-undang yang lebih tegas dan khusus dalam bidang kualiti udara dalaman ini memandangkan secara lazimnya, akta dan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kementerian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Department of Occupational Safety and Health) lebih banyak dikaitkan dengan tanggungjawab pemaju menyediakan persekitaran yang selamat untuk penghuni, tanggungjawab majikan kepada pekerja dan sebagainya.

Secara umumnya, permasalahan kualiti udara dalaman di Malaysia dibahagikan kepada dua punca iaitu pencemar udara dalaman dan pengudaraan dalaman yang tidak mencukupi. Pencemar udara dalaman pula banyak menekankan sumber pencemaran udara dalaman yang terdiri daripada asap tembakau, bahan kimia, pemeruapan bahan organik, penggunaan pelarut serta ozon yang terpancar dari penggunaan mesin pencetak berlaser
[1].

Di negara lain, kualiti udara dalaman turut berkait rapat dengan kadar kehadiran campuran kompleks bioaerosol (kulat, bakteria dan alergen) dan partikel bukan biologi (habuk, asap tembakau, partikel yang dihasilkan akibat memasak, asap kenderaan dan partikel dari kilang penjana terma)
[2]. Malah, bahaya kehadiran bahan-bahan ini kepada kesihatan manusia turut diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia di dalam buku panduan yang dikeluarkan pada tahun 2002.
Paras pencemaran udara boleh dikaitkan dengan pengurangan fungsi paru-paru, peningkatan simptom pernafasan seperti batuk, sesak nafas, nafas yang termengah-mengah, serangan athma, penyakit kardiovaskular dan kanser paru-paru.’
[3]

Rakyat Malaysia masih kurang kesedaran dalam isu ini dan tidak ramai yang begitu prihatin atau mengetahui bahawa kewujudan partikel-partikel seni atau mikroorganisma di dalam bangunan boleh membawa kepada kemudaratan ke atas kesihatan manusia. Fenomena ini mungkin disebabkan oleh negara kita kekurangan pakar dan pengkaji dalam bidang ini atau belum ada lagi kes kematian yang benar-benar dapat disahkan berpunca daripada hidupan seni ini.

Kontaminasi atau pencemaran udara dalam bangunan boleh berlaku apabila terdapat sumber-sumber serta bahan yang merangsang pertumbuhan partikel bioaerosol. Bahan-bahan berasaskan kayuan atau mengandungi substrat seperti selulosa dan karbohidrat amat sesuai bagi pertumbuhan kulat. Tidak hairanlah di dalam bangunan yang telah terkontaminsai, permukaan almari, siling, permaidani, bahkan langsir juga boleh dijumpai struktur pembiakan kulat iaitu spora melekat padanya. Bangunan pejabat yang mempunyai kubikal-kubikal kecil dan menggunakan pembahagi papan lembut juga turut menjadi faktor berlakunya pertumbuhan kulat. Bahan-bahan ini mengandungi sumber nutrien bagi kulat iaitu gula ringkas ataupun gula kompleks (dapat dihadam oleh kulat melalui pembebasan enzim yang tersendiri).

Sekarang, mungkin persoalan-persoalan ini yang berlegar di dalam minda.
1.Bagaimana untuk mengetahui kehadiran partikel bioaerosol di dalam sesuatu bangunan?
2.Apakah cara untuk mengukur tahap kehadiran dan keseriusan partikel bioaerosol tersebut?

Persampelan udara menggunakan alat perangkap udara adalah antara kaedah umum yang biasa dilakukan. Udara di diperangkap dan dipamkan ke atas piring petri yang mengandungi media agar khas. Selepas 2-3 hari, bilangan spora dan serpihan miselium yang hidup dan membentuk satu koloni di atas media diambil kira bagi menghitung unit pembentuk koloni per meter padu udara (cfu/m3). Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Antarabangsa telah menetapkan kadar cfu/m3 yang maksimum ialah 1000. Pada tahun 1987, ACGIH (American Conference of Governmental Industrial Hygienists) juga menetapkan 1000 cfu/m3 dengan jumlah bakteria yang dikulturkan tidak melebihi 500 cfu/m3
[4].

Malaysia hingga kini belum mempunyai kadar yang piawai berkenaan cfu/m3 dan kita perlu merujuk kepada kadar piawai yang ditetapkan oleh akta atau peraturan yang dikeluarkan oleh negara-negara luar. Jelaslah, kes ‘serangan kulat’ di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang berlaku pada tahun 2005 yang lalu belum menjadi pengajaran yang berharga dan berupaya ‘membuka mata’ pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan agar lebih serius dalam menangani serangan organisma seni ini.

Persekitaran dalaman sebuah bangunan lebih-lebih lagi hospital seharusnya menjadi tempat yang paling steril dan 1000 cfu/m3 bukanlah nilai yang perlu diambil sebagai perbandingan. Bagaimana pula dengan kualiti udara dalaman di bangunan-bangunan lain seperti pejabat, kelas, dewan kuliah malah rumah kita sendiri?

Berikut adalah beberapa saranan dan cadangan yang penulis rasakan boleh diteliti bersama.
1. Masyarakat sebaiknya dididik dengan pengetahuan tentang bahaya dan kesan buruk yang dibawa oleh partikel bioaerosol di persekitaran mereka melalui edaran risalah ataupun kempen dan pameran bergerak. Mereka perlu disedarkan bahawa masalah kesihatan iaitu simptom seakan-akan demam yang kerap dialami oleh penghuni dalam sesuatu bangunan seperti batuk, mata berair, sakit tekak dan pening kepala boleh juga berlaku disebabkan oleh kehadiran partikel bioaerosol dalam kuantiti yang tidak terkawal.
2. Ciri-ciri persekitaran dalam bangunan yang baik, kaedah serta langkah kawalan bagi mengelakkan kontaminasi dalam bangunan berlaku pada skala serius juga perlu diterangkan dengan jelas. Penggunaan cat anti-kulat dan pemasangan sistem pengudaraan yang baik adalah antara langkah awal yang patut disarankan.
3. Terdapat kajian yang menunjukkan manusia kebanyakannya menghabiskan 80-90% masa mereka di dalam bangunan dan menyedut 35 gelen udara setiap hari iaitu hampir 20 000 sedutan udara. Oleh itu, kesedaran tentang kualiti udara dalaman seharusnya ditingkatkan dengan menggubal akta atau undang-undang yang terlibat agar lebih khusus dalam penetapan kadar kualiti udara yang sepatutnya dipatuhi oleh pemaju.
4. Kadar piawai bagi unit pembentuk koloni per meter padu udara (cfu/m3) ditetapkan berdasarkan keputusan kajian yang menyeluruh dan terperinci. Hal ini kerana faktor iklim Malaysia yang tidak sama sperti negara empat musim yang lain mungkin sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kadar piawai yang sepatutnya.
5. Kajian-kajian fundamental mengenai partikel bioaerosol khususnya pengenalpastian spesies kulat mahupun bakteria yang diperangkap dari dalam bangunan serta berpotensi menyumbang kepada masalah kesihatan manusia perlu diperbanyakkan. Maklumat kajian ini pasti berguna terutamanya dalam kajian lanjutan melibatkan langkah mengawal atau merawat persekitaran yang mengalami masalah kontaminasi tersebut.
6. Kementerian Sains dan Teknologi boleh memberi galakan dan insentif yang lebih kepada para pengkaji yang melakukan penyelidikan fundamental khususnya berkaitan taksonomi dan pengkelasan mikroorganisma yang termasuk dalam kumpulan bioaerosol. Sungguhpun kajian fundamental adalah sukar tetapi keputusannya amat penting memandangkan ia sebenarnya adalah antara teras atau bahagian penting kepada permulaan penyelidikan yang lain.


[1] Code of Practice on Indoor Air Quality, Jabatan Kementerian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia, 2005
[2] N. Kalogarakis, D. Paschali, V. Lekaditis, A. Pantidou, K. Eleftheriadis dan M. Lazaridis (2005). Indoor Air Quality-bioaerosol measurements in domestic and office premises. Jurnal Aerosol Science. 751-761.
[3] World Health Organisation. (2002). Guidelines for concentration and exposure-response measurements of fine and ultra fine particulate matter for use in epidemiological studies. Geneva : World Health Organization.
[4] C. S. Cox and C. M. Wathes (1995). Bioaerosols handbook. New York:Lewis Publishers.

1 comment:

Blogger said...

question...is this a published journal or just another post on blog?