Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Sunday, August 31, 2008

Positifnya Bencana dan Perubahan Alam

Sepanjang 3 hari ini(28-30 Ogos), saya menghadiri Seminar berkenaan bidang kajian saya, Biologi secara umumnya. ‘The Sixth Regional IMT-GT UNINET Conference 2008’ dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, selepas kali pertama berlangsung di Langkawi seterusnya di Thailand dan Indonesia. Saya hanya menghantar poster untuk pameran memandangkan ini adalah penyertaan pertama saya dalam seminar berkaitan.

Hari pertama berlangsung dengan baik. Selepas acara pembukaan dan perasmian seminar, semua peserta mendengar syarahan umum yang disampaikan oleh tiga orang pensyarah terpilih, masing-masing dari negara IMT(Indonesia, Malaysia dan Indonesia). Setiap syarahan mempunyai nilai dan maklumat tertentu yang cuba disampaikan kepada para peserta.
Cuba fikirkan, berapa ramai antara kita yang boleh melihat dari segi positif setiap bencana alam yang berlaku di dunia kini? Istilah ‘bencana’ itu sendiri telah menunjukkan adanya elemen-elemen negatif dan membawa keburukan kepada bumi dan penghuninya. Pada pendapat saya, apa yang berlaku adalah kejadian alam yang mempunyai hikmah tersendiri dan perlu dikaji. Bukankah itu janji Allah?

Tsunami yang melanda negara pada tahun 2002 telah membawa pelbagai kemusnahan yang bukan hanya melibatkan kehilangan nyawa tetapi hampir keseluruhan bandar seperti Acheh musnah kerananya. Tsunami diibaratkan bencana besar yaang berlaku di abad ini. Tanpa disedari, sebenarnya satu perkara baik yang dapat dilihat selepas kejadian alam ini terjadi ialah munculnya bidang ilmu kajian yang baru ataupun kajian ilmu yang sedia ada dipergiatkan.

Prof Anchana Prathep dari Universiti Songkla dalam syarahannya (SeagrassNet Monitoring Initiative in the Sourthern Andaman Sea, Thailand) menceritakan bahawa sebelum tsunami berlaku, data berkenaan kehidupan marin tidak begitu dititikberatkan. Malah ada juga kajian yang tidak pernah dilakukan ke atas spesies hidupan marin tertentu sedangkan kajian umum yang dijalankan selepas tsunami berlaku menunjukkan kejadian alam ini mendatangkan kesan kepada ekosistem mahupun hidupan tertentu. Masih ingat perihal gamat yang pernah muncul dengan banyaknya secara tiba-tiba di perairan negara?

Bagaimana pula dengan kajian tentang perubahan bentuk muka bumi yang kita diami ini? Prof Zulfigar Yasin dari USM memberikan syarahan tentang Kajian dan Peluang Bidang Biologi dalam Kawasan IMT-GT. Antara isi syarahan yang menarik perhatian saya ialah penjelasan berkenaan fenomena aras air laut yang lebih cetek kira-kira 21 000 tahun dahulu berbanding zaman sekarang. Pasti ramai yang tahu bahawa kebanyakan negara sebenarnya bercantum suatu masa dahulu. Peningkatan aras air laut telah menceraikan negara-negara ini. Kesan terhadap biodiversiti pula, berlakulah pembentukan sistem sungai yang saling menghubungkan habitat, penyebaran spesies tumbuhan dan haiwan serta wujudlah keadaan pemencilan spesies hidupan tertentu di kawasan tertentu sahaja. Tidak hairanlah orang utan hanya boleh dijumpai di Kepulauan Borneo sahaja!

Kita sebenarnya beruntung kerana IMT adalah antara kawasan yang dibuktikan kaya dengan biodiversiti yang pelbagai. Pupusnya spesies flora atau fauna di kawasan ini akan mendatangkan kesan kepada biodiversiti dunia! Fakta yang saya baru peroleh ialah 56.6% dari 29 375 tumbuhan bervaskular di Indonesia sebenarnya tidak boleh diperoleh di bahagian lain dunia.

Ketika ini, saya melihat banyak peluang dan ruang yang boleh digunakan oleh saintis Muslim. Bidang kajian ilmu sains serta ilmu lain sangat pelbagai. Semakin banyak kajian dilakukan, kita akan bertemu dengan lebih banyak ilmu yang belum kita tahu apatah lagi kuasai.

Teringat saya akan sesi pembentangan yang dilakukan seorang pelajar Muslim ketika membentangkan hasil kajian tahun akhirnya di USM tahun lalu. Kelihatan pada awal pembentangan, dia kurang yakin hingga tersasul menyebut ‘good morning’ sedangkan masa ketika itu telah melepasi jam 12 tengah hari. Mungkin teknik hafalannya kurang membantu apabila melibatkan masa. Di pertengahan pembentangan, keyakinan mula nampak walaupun seringkali juga tergagap-gagap dan terhenti, cuba berfikir perkataan bahasa Inggeris yang sesuai agaknya. Di akhir sesi, pada slaid pembentangan terakhir, tertera terjemahan ayat al-Quran iaitu ayat 49 dari surah al-Qamar;

Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

Dia hanya menayangkan slaid tersebut, persis meminta penonton membaca dan memahaminya sendiri.

Terfikir sejenak, mampukah saya melakukan perkara yang sama di hadapan semua penonton khususnya ketika menyertai seminar sebesar Seminar IMT-GT? Perasaan gugup, gemuruh mampu hilang atau berkurang tetapi kekuatan untuk berdakwah secara langsung di hadapan kira-kira 200 orang ahli sains yang berbilang agama bagaimana? Adakah saya akan mengucapkan syukur kepada Yang Maha Memberi Ilmu di hadapan semua peserta yang rata-ratanya bukan Muslim? Persoalan terbesar adalah, siapa saya jikalau masih diberi nikmat umur, 10 tahun akan datang? Bagaimana saya membawa Islam bersama-sama saya, seiring dengan kajian, seiring dengan nikmat umur saya? Saya gelisah dalam tanda-tanya, persoalan, yang perlukan tindakan..



Wardah bt Abdul Rahman
Taman Bukit Gambir

No comments: