Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Friday, July 18, 2008

Pembelaan terhadap situasi zaman Nabi-Nabi silam. (Part 1)


A bertanya, “Bagaimana pakaian Nabi Adam agaknya?Adakah seperti ‘kurang kain’ yang selalu dilihat pada orang-orang purba yang pernah tinggal di dalam gua dahulu?”

Seorang lagi berkata, “Kesian kan, zaman dahulu bila panas, tak ada kipas yang boleh dipasang. Rumah pun belum tentu selesa macam kita sekarang.”

“Tapi, umat terdahulu hidup lama, bukan seperti kita. Purata umur kita hanya 60 hingga 70 tahun sedangkan hayat umur manusia dahulu panjang. Nabi Nuh sendiri berdakwa
h kepada kaumnya selama 950 tahun,” celah si C.

Ada yang berseloroh berkata, alangkah malangnya umat dahulu kerana tidak pernah makan Pizza!

Pernahkah kita terfikir soalan-soalan di atas? Ataupun ada lagi persoalan lain yang masih berlegar-legar di minda, bertanyakan perihal umat zaman dahulu?

Apa yang sedang saya lakukan sekarang ialah membina model inkuiri yang merangkumi beberapa proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau masalah yang dikemukakan. Antara aspek persoalan berkenaan umat zaman dahulu yang dikaji adalah:
1) ciri biologi manusia (saiz badan, hayat umur)
2) interaksi dan komunikasi
3) nilai dan etika masyarakat
4) keperluan pada zaman tersebut dan lain-lain


Melalui kajian ini, diharapkan situasi zaman Nabi-Nabi terdahulu akan terbela dan saya yakin bagaimana percaturan Allah s.w.t. itu adil kepada semua umat manusia tanpa mengira zaman akan terbukti.

Kupasan selanjutnya dalam siri akan datang..nantikan.


Wardah bt Abdul Rahman
USM

Sunnah Ulama’ Sains Silam

Sunnah Ulama’ Sains Silam

Saya pernah ditanya bagaimana mahasiswa atau pelajar-pelajar IPT di Malaysia boleh menguasai ilmu-ilmu hebat seperti ulama’ silam? Ulama’ pada zaman silam era Abbasiyyah, era Kesultanan Umayyah Andalus, Era Uthmaniyyah dan Kesultanan Delhi bukan sekadar alim dalam ilmu teras Islam iaitu tafsir dan Hadis malahan menguasai hampir keseluruhan isi kandungan manusiawi seperti antropologi, sejarah, politik dan pembangunan, sains dan teknologi, perubatan, astronomi-fiqh (falak) serta bahasa.

Saya pernah terdiam. Akan tetapi jawapannya hanya muncul apabila saya sendiri cuba melalui kesusahan dan kepayahan membaca dan mengkaji pelbagai ilmu diluar jurusan saya di UM dahulu.

Sistem pembelajaran ala barat telah lama bersifat sekular dan menjurus kepada revolusi perindustrian mereka. Revolusi mereka benar-benar mentransformasikan (memugar) nilai dan norma hidup manusia hingga berkiblatkan kepada INDUSTRI dan PEKERJAAN. Lantaran itu kita melihat praktikal pembelajaran di kampus dikenali sebagai Latihan Industri bukannya Latihan Praktikal Akademik.

Cukup takut mahasiswa sains untuk mendekati kuliah-kuliah agama yang agak berat dan serius di kampus. Agak janggal budak engine rasanya ingin menatap buku-buku sosiologi dan sejarah. Cukup terpisah kita dengan hakikat keilmuan sehingga kita cukup takut dengan perkara yang disebut sebagai ‘mentelaah’. Kita hanya dibiasakan dengan istilah assignment (tugasan) kuliah sahaja.

Pernah ada kuliah yang menggunakan istilah arab sedikit sebanyak kerana si pengkuliah ingin menghurai ilmu tafsir Al Quran. Yang menyedihkan apabila ada juga rungutan daripada mahasiswa bekas SMKA atau SMA! Bagi mereka, mereka kini jurusan bukan agama, maka agama bukan lagi yang penting bagi mereka. Jika penting hanya sekadar cukup untuk mengetahui isu Islam secara mendatar sahaja.

Bila kita melihat begitu banyak isu-isu kritikal dan sensitif berkaitan sains dan teknologi, kita tersekat kerana kekangan tidak menguasai ilmu tafsir, bahasa Arab dan hadis secara kukuh. Lantaran itu kita kebanyakannya tidak akan reaktif dengan tindakan untuk membela Islam melalui perspektif sains-Islam. Bagi mahasiswa berlatar belakang agama pula mereka pula tidak memiliki asas didikan sains yang kuat juga. Aliran sains dipandang susah dan sememangnya dogmatik ini yang diterapkan sejak zaman persekolahan.

Alangkah indahnya jika kita diajar seperti ulama’ silam diajar di universiti-universiti silam. Saya berpendapat ia boleh dicipta sendiri!

Caranya adalah kita cipta dunia intelek kita sendiri. Mahasiswa sains perlu tekun dan sabar membaca. Mengkaji benda diluar bilik kuliah mereka.

Dalam tulisan akan datang mungkin saya boleh mengupas peri pentingnya mahasiswa sains menvariasikan pengetahuan mereka disamping merasai pengalaman belajar imu yang di luar kepompong jurusan mereka.

Muhammad Nuruddin Bashah
Sekolah Al Itqan P.P

Thursday, July 17, 2008

Wujudkah hidupan di Marikh?


Reuters pada 16 Julai 2008 melaporkan sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat telah menjumpai bukti yang memungkinkan adanya hidupan di planet Marikh. Antara bukti tersebut ialah:
> mineral di dalam tanah Marikh yang menunjukkan ia pernah diliputi oleh tasik, sungai ataupun kandungan air yang lain.
> ais pada permukaan Marikh dikatakan tinggalan masa lalu yang zamannya lebih panas.
> adanya tanah liat yang biasanya terbentuk pada suhu yang rendah.

Jangkaan yang dibuat oleh para saintis ini ialah planet Marikh yang terletak 35 juta batu dari bumi ini pernah melalui suatu masa ataupun zaman yang suhunya panas dan lembap serta amat sesuai untuk hidupan!

Persoalannya di sini ialah apakah jenis hidupan yang dimaksudkan?
Manusia ataupun hidupan lain yang seiras dengan manusia?

Barat menganggarkan dinasour pertama muncul di bumu kira-kira 230 hingga 220 billion yang lalu iaitu lebih dari 3.5 billion tahun selepas bumi terbentuk. Melalui analisis DNA pula, manusia (homo sapiens) dipercayai hidup sejak 60 000 tahun dahulu di Afrika. Manusia adalah hidupan yang paling sempurna dan kompleks dapat hidup di bumi kerana persekitaran yang Allah s.w.t. ciptakan sememangnya sesuai untuk manusia hidup. Kandungan gas seperti oksigen, air, sumber makanan manusia yang sentiasa berada dalam keseimbangan di bumi membolehkan manusia terus bermandiri hingga ke hari ini.

lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian, dan anggur dan sayur-sayuran, dan zaiton dan pohon kurma, dan kebun-kebun rendang, dan buah-buahan dan rerumpunan, (semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakmu.” [‘Abasa:27-32]




Adakah Marikh juga berkeadaan sama dengan bumi? Sedangkan ada di antara saintis mendapati Marikh mempunyai lapisan atmosfera yang nipis, berdebu dan udaranya tepu dengan karbon dioksida!

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“…..dan setiap umat mempunyai seorang pemberi peringatan.”
[Al-Fathir:24]

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat(yang menyeru)sembahlah Allah dan jauhilah tahgut….”
[An-Nahl:36]

Dan tidaklah kami mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa mereka agar ia dapat memberi penjelasan yang terang kepada mereka.”
[Ibrahim:4]

Jelas daripada 3 ayat al-Quran di atas bahawa pada setiap zaman manusia pasti akan diutuskan Rasul untuk membawa risalah aqidah yang mentauhidkan Allah s.w.t. Andai manusia juga wujud di planet Marikh, siapakah Rasul mereka dan bilakah rasul tersebut diutuskan?

Jika betulpun ada hidupan di sana, pastinya bukan manusia yang berakal seperti kita ataupun hidupan lain yang kononnya lebih baik dan maju dari segi pemikiran mahupun teknologi mereka. Mikroorganisma adalah kebarangkalian hidupan terdekat yang mungkin hidup di sana. Barat sebenarnya sering menggembar-gemburkan kewujudan makhluk asing, datang dengan kapal angkasa di dalam filem-filem keluaran mereka sedangkan telah Allah s.w.t. tegaskan dalam surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud:

Sesungguhnya telah Kami jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Pesan saya, janganlah disebabkan tulisan ini kajian berkenaan penciptaan alam ini terhenti sebaliknya jadikan penemuan baru oleh saintis Barat ini sebagai perangsang untuk kita lebih maju dan berdaya saing untuk melakukan pengkajian yang lebih mendalam. Tulisan ini hanya menegaskan bahawa kepercayaan adanya makhluk selain manusia di angkasa lepas adalah bercanggah dengan prinsip usuluddin Islam.

Saya ada saranan bacaan lanjut. Sila klik:
http://munawwarah.blogdrive.com/archive/136.html

Wardah Abd Rahman
Minden, Pulau Pinang.

Thursday, July 3, 2008

Sains Milik Siapa?


Sains itu milik orang Islam?
Saya tertarik dengan persoalan yang diutarakan oleh seorang ahli panel di akhir Forum Hal Ehwal Islam malam tadi. Sekian lama kita hanya mendengar topik Islam dan sains diperkatakan tetapi kali ini siapa yang ‘berhak’ ke atas ilmu sains menjadi persoalan.

Jika diteliti, buktinya jelas terdapat di dalam Al-Quran ,Surah al-Mukminun (ayat 13 & 14). Di dalam ayat-ayat tersebut, proses kejadian manusia telah diterangkan dengan jelas dan terperinci. Selain itu, 1001 ilmu sains lain jika diselongkar pasti dapat kita jumpai di dalam kitab agung umat Islam ini. Secara tidak langsung, persoalan bagaimana tamadun kegemilangan Islam dapat dicapai akan terungkai. Sarjana-sarjana Islam terdahulu menguasai ilmu sains yang terdapat di dalam agama mereka!

Penguasaan ilmu Islam dan ilmu sains berkait rapat antara satu sama lain. Dalam Surah al-Ghasyiah, ayat 17 hingga 20 Allah s.w.t menyatakan,
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?”.

Sains sebenarnya adalah ilmu untuk mengurus alam dan daripada ilmu inilah timbul konsep hamba dan khalifah yang menjawab persoalan fungsi manusia dijadikan di muka bumi ini. Walau bagaimanapun, ilmu sains perlu dipandu oleh ilmu wahyu ataupun ilmu agama kerana jika tidak, lahirlah teori-teori yang kurang jelas dan tak masuk dek akal seperti teori evolusi oleh Charles Darwin yang akhirnya turut sama meragui teori yang diciptanya!

Sebagai pengkaji ilmu sains atau saintis, setiap kajian yang dilakukan adalah ibadah kerana kita sebenarnya dalam sedar atau tidak sedang menghayati konsep tugas sebagai hamba dan khalifah. Kajian yang dilakukan adalah untuk mengagungkan penciptanya serta memakmurkan bumi dan sememangnya rahmat alam dijadikan adalah bagi melahirkan ilmu sains untuk dikaji oleh manusia. Allah s.w.t mencabar akal manusia untuk meneliti setiap kejadian alam di sekeliling mereka kerana hasil kajian/penelitian tersebut, akan lahir pula ilmu astronomi, ilmu pelayaran, ilmu kosmologi, malah ribuan jenis ilmu-ilmu lain. Walau bagaimanapun, akal manusia tetap terhad kerana tiba di satu tahap, kita tidak akan mampu mengkaji lagi perihal ilmu seperti kewujudan syurga dan neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Perlu juga diingatkan bahawa golongan pengkaji dimuliakan Allah s.w.t. dan digelar sebagai ulul albab. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Imran, ayat 190-191 :
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”




Bercerita tentang kajian dalam ilmu sains, saya ingin berkongsi di sini tentang bengkel Fusarium yang telah saya hadiri pada 22 hingga 27 Jun baru-baru ini. Bengkel peringkat antarabangsa ini keseluruhannya memberi pengetahuan kepada para peserta tentang ciri-ciri serta kaedah/metod untuk mengenali Fusarium (salah satu genus kulat utama yang menyerang tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan dan akan mengakibatkan penyakit tanaman seperti reput pada buah dan batang,serta layu vaskular pada batang tumbuhan).

Benarlah Allah s.w.t. juga berbicara melalui ayat-ayatNya yang terdapat di alam semesta. Terasa luasnya ilmu yang boleh dikaji apabila mengikuti bengkel ini. Fusarium hanyalah salah satu kulat yang mendatangkan masalah kepada para petani sedangkan berapa banyak lagi kulat-kulat lain ataupun mikroorganisma lain yang turut sama menyerang tanaman yang sama. Di dalam genus
[1] Fusarium pula terdapat kira-kira 80 spesies yang telah dikenalpasti setakat ini dan semuanya memerlukan kajian yang mendalam untuk membezakan antara satu spesies dengan yang lain. Antara teknik kajian yang digunakan ialah melalui kaedah morfologi[2] dan molekular[3]. Data yang dikumpul akan dianalisis dan hasilnya, spesies kulat dapat dikenalpasti. Saya pernah terlibat dengan kajian Fusarium ketika melakukan projek tahun akhir dahulu. Bukan mudah sebenarnya untuk mengenalpasti spesies kulat ini kerana kepelbagaiannya terlalu tinggi hinggakan pakar pengkelasan kulat ini turut mengakui bahawa hingga kini sistem pengkelasannya sangat rumit dan bercelaru!

Subhanallah…




Wardah bt Abdul Rahman
Bukit Gambir




[1] Susunan pengkelasan biologi bagi kulat (AFIKOFAGS)-alam-filum-kelas-order-famili-genus-spesies
[2] Data yang direkodkan ialah pigmentasi(warna) yang ditunjukkan oleh koloni kulat, kadar pertumbuhan koloni dan kehadiran struktur-struktur kulat yang diperhatikan di bawah mikroskop cahaya.
[3] Kajian ke atas DNA kulat