Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Monday, November 2, 2009

Mikotoksin dalam keluaran DK terbaru


Tengah hari tadi saya baru membeli Dewan Kosmik edisi November di Kedai Buku USM. Antara tajuk utama dalam edisi kali ini ialah bahaya aflatoksin yang ditulis oleh seorang pegawai sains di Pusat Racun Negara, USM. Kebetulan pula 2 minggu lalu saya baru menulis e-mel memberi sedikit maklumbalas berkenaan artikel toksin yang dikeluarkan dalam keluaran September. Buat sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan mikotoksin dalam makanan, sila dapatkan Dewan Kosmik yang terbaru.

Berikut adalah surat pembaca yang saya hantar melalui e-mel kepada editor DK.

Surat Pembaca

Mikotoksin dalam Makanan

Toksin dalam makanan boleh juga berlaku dengan kehadiran kulat. Sebagaimana yang pernah dikupas dalam DK keluaran September 09, kehadiran toksin sememangnya sukar dikesan berdasarkan penglihatan mata kasar sahaja. Mikotoksin (miko=kulat) adalah metabolit sekunder yang berupaya dihasilkan oleh spesies kulat tertentu yang tumbuh atau berada dalam sesuatu jenis makanan.

Aflatoksin dan okratoksin misalnya, dihasilkan oleh kulat dari genus yang sama tetapi spesies yang berbeza iaitu Aspergillus flavus dan Aspergillus ochraceus. Makanan seperti bijirin, kekacang dan rempah ratus adalah beberapa jenis makanan yang sering dilaporkan tercemar dengan aflatoksin. Kerajaan Malaysia sendiri turut memperkenalkan akta makanan khas bagi tujuan mengawal kandungan toksin ini dalam makanan iaitu di bawah Peraturan 39, Peraturan-Peraturan Makanan 1983.

Genus kulat Fusarium pula berupaya menghasilkan mikotoksin seperti fumonisin, zearelenon dan deoksinivalenol. Fumonisin senang dijumpai pada makanan bijirin seperti jagung, gandum, barli dan soya. Buktinya, beberapa artikel yang dikeluarkan dalam jurnal antarabangsa banyak merekodkan penemuan berkaitan mikotoksin ini.

Sungguhpun langkah kawalan telah diambil oleh kerajaan, mungkin ramai yang belum menyedari bahawa masih terdapat beberapa produk makanan dikenalpasti mengandungi paras toksin melebihi paras yang dibenarkan. Contohnya makanan bersumberkan kekacang seperti mentega kacang dan kacang bungkus. Faktor kesukaran mengenalpasti kehadiran mikotoksin di peringkat awal turut menyumbang kepada kes keracunan makanan malah ada di antaranya yang boleh mencapai ke tahap penyakit berbahaya seperti penyakit barah hati dan barah paru-paru.

Di sinilah terletaknya kepentingan kajian-kajian semasa berkenaan teknologi terkini bagi mengesan serta mengawal kehadiran mikotoksin perlu dilakukan oleh penyelidik yang berkecimpung dalam bidang teknologi pemakanan. Kajian fundamental oleh penyelidik dalam bidang mikrobiologi juga tidak harus dipandang ringan kerana melalui pengenalpastian miktoksin secara terperincilah bakal memudahkan kajian lanjut berkenaan pengawalannya.


Wardah bt Abdul Rahman

USM, Pulau Pinang.


No comments: