Menurut kajian yang dilaporkan oleh ScienceDaily hari ini, golongan muda sekarang sebenarnya semakin kurang mengambil makanan berunsurkan kalsium dan tenusu terutamanya apabila menginjak ke usia 20-an. Fakta penting yang ditekankan ialah keperluan untuk mengekalkan pengambilan unsur nutrien tersebut kerana masa puncak bagi pembesaran tulang seseorang hanya tercapai apabila usia mencapai 30-an. Proses pertumbuhan tulang sudah bermula sejak kita masih bayi dan perkembangannya perlu dikekalkan untuk mengelakkan beberapa penyakit kronik berkaitan tulang terutamanya osteoporosis. Tulang turut berfungsi untuk menyangga tubuh dan melindungi organ-organ dalaman yang penting seperti jantung dan paru-paru.
Osteoporosis adalah penyakit yang hanya dapat dirawat melalui pencegahan awal. Caranya, pastikan kalsium, protein dan vitamin D yang terdapat dalam produk tenusu diambil secara konsisten dari umur yang muda seperti sekarang. Menurut laporan kesihatan pada tahun 2008, rakyat Malaysia puratanya hanya mengambil kalsium sebanyak 300-500 mg sehari sedangkan kadar asal yang diperlukan ialah 800-1000mg sehari.
Susu adalah sumber kalsium yang terbaik dan segelas susu segar mengandungi 500mg kalsium. Jadi, 2 gelas susu sudah cukup untuk melegkapkan keperluan kalsium dalam sehari. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak gemarkan susu? Berikut ialah beberapa makanan alternatif lain, saiz hidangan (g) serta kandungan kalsium(mg) (sumber dari web Kementerian Kesihatan Malaysia).
Kacang kering - 177g - 50mg
Brokoli - 71g - 35mg
Kobis - 85g - 79mg
Kailan - 65g - 47mg
Bayam - 90g - 122mg
Tauhu/soya - 126g - 258mg
Ayuh, perhatikan kandungan makanan kita seharian. Cukupkah kandungan kalsium yang diperlukan badan? Kalau dahulu kita tidak pernah memikirkan tentang kandungan makanan kita, sekarang adalah masa untuk memulakannya. Jangan memandang enteng pada nilai kesihatan. Diri hanya pinjaman, amanah buat manusia, bersama kita jagainya.
Pesan Imam Hassan al-Banna kepada petugas Islam, ‘Segeralah membuat pemeriksaan kesihatan umum, segera mengambil rawatan apa jua penyakit yang kamu hidapi. Mengambil berat terhadap faktor kekuatan diri, penjagaan jasmani, dan menjauhi segala apa yang boleh melemahkan badan.'
Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment