Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Sunday, August 31, 2008

Positifnya Bencana dan Perubahan Alam

Sepanjang 3 hari ini(28-30 Ogos), saya menghadiri Seminar berkenaan bidang kajian saya, Biologi secara umumnya. ‘The Sixth Regional IMT-GT UNINET Conference 2008’ dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, selepas kali pertama berlangsung di Langkawi seterusnya di Thailand dan Indonesia. Saya hanya menghantar poster untuk pameran memandangkan ini adalah penyertaan pertama saya dalam seminar berkaitan.

Hari pertama berlangsung dengan baik. Selepas acara pembukaan dan perasmian seminar, semua peserta mendengar syarahan umum yang disampaikan oleh tiga orang pensyarah terpilih, masing-masing dari negara IMT(Indonesia, Malaysia dan Indonesia). Setiap syarahan mempunyai nilai dan maklumat tertentu yang cuba disampaikan kepada para peserta.
Cuba fikirkan, berapa ramai antara kita yang boleh melihat dari segi positif setiap bencana alam yang berlaku di dunia kini? Istilah ‘bencana’ itu sendiri telah menunjukkan adanya elemen-elemen negatif dan membawa keburukan kepada bumi dan penghuninya. Pada pendapat saya, apa yang berlaku adalah kejadian alam yang mempunyai hikmah tersendiri dan perlu dikaji. Bukankah itu janji Allah?

Tsunami yang melanda negara pada tahun 2002 telah membawa pelbagai kemusnahan yang bukan hanya melibatkan kehilangan nyawa tetapi hampir keseluruhan bandar seperti Acheh musnah kerananya. Tsunami diibaratkan bencana besar yaang berlaku di abad ini. Tanpa disedari, sebenarnya satu perkara baik yang dapat dilihat selepas kejadian alam ini terjadi ialah munculnya bidang ilmu kajian yang baru ataupun kajian ilmu yang sedia ada dipergiatkan.

Prof Anchana Prathep dari Universiti Songkla dalam syarahannya (SeagrassNet Monitoring Initiative in the Sourthern Andaman Sea, Thailand) menceritakan bahawa sebelum tsunami berlaku, data berkenaan kehidupan marin tidak begitu dititikberatkan. Malah ada juga kajian yang tidak pernah dilakukan ke atas spesies hidupan marin tertentu sedangkan kajian umum yang dijalankan selepas tsunami berlaku menunjukkan kejadian alam ini mendatangkan kesan kepada ekosistem mahupun hidupan tertentu. Masih ingat perihal gamat yang pernah muncul dengan banyaknya secara tiba-tiba di perairan negara?

Bagaimana pula dengan kajian tentang perubahan bentuk muka bumi yang kita diami ini? Prof Zulfigar Yasin dari USM memberikan syarahan tentang Kajian dan Peluang Bidang Biologi dalam Kawasan IMT-GT. Antara isi syarahan yang menarik perhatian saya ialah penjelasan berkenaan fenomena aras air laut yang lebih cetek kira-kira 21 000 tahun dahulu berbanding zaman sekarang. Pasti ramai yang tahu bahawa kebanyakan negara sebenarnya bercantum suatu masa dahulu. Peningkatan aras air laut telah menceraikan negara-negara ini. Kesan terhadap biodiversiti pula, berlakulah pembentukan sistem sungai yang saling menghubungkan habitat, penyebaran spesies tumbuhan dan haiwan serta wujudlah keadaan pemencilan spesies hidupan tertentu di kawasan tertentu sahaja. Tidak hairanlah orang utan hanya boleh dijumpai di Kepulauan Borneo sahaja!

Kita sebenarnya beruntung kerana IMT adalah antara kawasan yang dibuktikan kaya dengan biodiversiti yang pelbagai. Pupusnya spesies flora atau fauna di kawasan ini akan mendatangkan kesan kepada biodiversiti dunia! Fakta yang saya baru peroleh ialah 56.6% dari 29 375 tumbuhan bervaskular di Indonesia sebenarnya tidak boleh diperoleh di bahagian lain dunia.

Ketika ini, saya melihat banyak peluang dan ruang yang boleh digunakan oleh saintis Muslim. Bidang kajian ilmu sains serta ilmu lain sangat pelbagai. Semakin banyak kajian dilakukan, kita akan bertemu dengan lebih banyak ilmu yang belum kita tahu apatah lagi kuasai.

Teringat saya akan sesi pembentangan yang dilakukan seorang pelajar Muslim ketika membentangkan hasil kajian tahun akhirnya di USM tahun lalu. Kelihatan pada awal pembentangan, dia kurang yakin hingga tersasul menyebut ‘good morning’ sedangkan masa ketika itu telah melepasi jam 12 tengah hari. Mungkin teknik hafalannya kurang membantu apabila melibatkan masa. Di pertengahan pembentangan, keyakinan mula nampak walaupun seringkali juga tergagap-gagap dan terhenti, cuba berfikir perkataan bahasa Inggeris yang sesuai agaknya. Di akhir sesi, pada slaid pembentangan terakhir, tertera terjemahan ayat al-Quran iaitu ayat 49 dari surah al-Qamar;

Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

Dia hanya menayangkan slaid tersebut, persis meminta penonton membaca dan memahaminya sendiri.

Terfikir sejenak, mampukah saya melakukan perkara yang sama di hadapan semua penonton khususnya ketika menyertai seminar sebesar Seminar IMT-GT? Perasaan gugup, gemuruh mampu hilang atau berkurang tetapi kekuatan untuk berdakwah secara langsung di hadapan kira-kira 200 orang ahli sains yang berbilang agama bagaimana? Adakah saya akan mengucapkan syukur kepada Yang Maha Memberi Ilmu di hadapan semua peserta yang rata-ratanya bukan Muslim? Persoalan terbesar adalah, siapa saya jikalau masih diberi nikmat umur, 10 tahun akan datang? Bagaimana saya membawa Islam bersama-sama saya, seiring dengan kajian, seiring dengan nikmat umur saya? Saya gelisah dalam tanda-tanya, persoalan, yang perlukan tindakan..



Wardah bt Abdul Rahman
Taman Bukit Gambir

Thursday, August 28, 2008

Benarkah Ferdinand Magellan manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia?


Mengikut sejarah Barat, Magellan, Christopher Columbus, Vasco da Gama, Alexander de al Buquerqu adalah beberapa nama yang diangkat menjadi tokoh pelayaran dunia Barat serta mubaligh ajaran Kristian yang tersohor. Mereka juga yang mengangkat Ferdinand Magellan menjadi manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Benarkah fakta ini?

Jika anda menonton dokumentari ataupun kisah pelayaran orang-orang Barat, pasti anda akan disogok dengan beberapa peristiwa yang mengundang rasa kagum dan simpati kita pada mereka. Antaranya ialah kesusahan serta keperitan mereka ketika belayar, tekanan dan dilema yang dihadapi oleh anak-anak kapal yang letih belayar, sikap tidak putus asa mencari jalan untuk pulang ketika tersesat di lautan yang luas, kapten kapal yang obses dengan sejarah pelayaran terdahulu dan bermacam-macam lagi. Hal inilah yang turut saya rasakan ketika menonton kisah pelayaran Magellan pada tahun 1520 yang disiarkan di TV1 lewat malam semalam.

Jangan kita larut dengan propaganda Barat ini kera
na umat Islam lebih awal melakukan aktiviti pelayaran berbanding Barat! Buktinya, rekod pelayaran Ibnu Batutah yang dicatatkan dari tahun 1325 hingga 1354 masih lagi wujud dan digunapakai hingga ke hari ini. Pengembaraan Abu Abdullah Muhammad b. Abdullah Al-Lawati Al-Tanji ini bukan sahaja melibatkan pelayaran di laut tetapi turut melibatkan perjalannya di darat yang merangkumi kira-kira 75 000 batu perjalanan.


Ibnu Batutah juga merupakan tokoh Islam yang berjaya membuktikan bumi ini bulat dan bukannya berbentuk empat segi seperti yang didakwa oleh seorang lagi tokoh pelayaran Barat, Ptolemy
. Peta pelayaran lengkap Ibnu Batutah gagal diperoleh oleh orang Barat. Oleh itu, tidak hairanlah Magellan tersesat beberapa kali di lautan serta terpaksa mengikut nalurinya sendiri ketika belayar kerana menggunakan peta dunia yang dilukis oleh Ptolemy. Peta tersebut juga diakui tidak mengikut skala saiz bumi yang asal(diameter bumi kurang 28%). Akhirnya, mereka mencipta pelayaran sendiri dan di akhir pelayaran Magellan, baru dibuktikan bumi itu bulat!

Kitab pelayaran Ibnu Batutah iaitu Tuhfah Al-Nuzzar fi Ghara’ib Al-Amsar wa Ajaib Al Asfar(Persembahan Seorang Pengamat Tentang Kota-Kota Asing dan Perjalana
n Yang Mengkagumkan) telah ditulis oleh Ibnu Jauzi, seorang juru tulis Sultan Morocco dan karya agung tersebut telah diterjemah ke beberapa bahasa lain. Karya ini juga menjadi rujukan utama untuk armada laut kerajaan Abbasiyah dan Uthmaniyyah ketika melakukan pel
ayaran dan penjelajahan menakluk negara-negara di bahagian dunia yang lain. Secara tidak langsung, proses dakwah agama Islam telah awal lagi dilaksanakan oleh kerajaan Khilafah Islam berbanding orang Kristian Barat. Hasilnya, wujudlah beberapa kerajaan Islam seperti Kerajaan Islam Delhi di India.

Bidang
kejuruteraan maritim Islam berkembang mudah kerana galakan pemerintah Islam. Kerajaan Abbasiyah ketika zaman pemerintahan Khalifah Mutawakil (220H/884M) amat menggalakkan ekspedisi-ekspedisi pelayaran dilakukan. Dinasti Fatimiyyah(350H/9
15M) pula telah memonopoli angkatan laut di Afrika Utara dengan pembinaan dermaga-dermaga kapal bersama penciptaan kapal dan alat pelayaran yang lebih maju. Pembinaan kapal oleh Barat turut dipengaruhi oleh seni bina asal yang dipelopori Islam. Selain itu, faktor geografi negara Arab yang strategik (antara Timur dan Barat) memudahkan siri pelayaran dan penjelajahan dilakukan berulang kali.

Agenda asal pelayaran oleh orang Barat sebenarnya bertujuan untuk meneruskan siri Perang Salib. Mereka melakukan pelayaran untuk sampai ke kawasan-kawasan yang dikatakan telah berlaku perkembangan agama Islam dan cuba mengkristiankan masyarakat Islam di sa
na. Jelas bahawa tujuan mereka adalah kerana agama(lihat layar kapal Victoria yang digunakan Magellan-bertanda salib) di samping cuba meluaskan pengaruh kuasa negara asal mereka ke negara-negara luar. Orang Barat sebenarnya hanya mampu mengambil alih fahaman pagan dan animisme, bukannya agama Islam kerana aqidah masyarakat Islam lebih kuat dan Islam lebih awal sampai dari yang mereka jangkakan. Masyarakat Islam di Filipina misalnya, melarikan diri ke negara lain yang terdekat iaitu Ambon dan Mindanao apabila kawasan mereka dimasuki oleh pendakyah Kristian dari Sepanyol ini.

Walaupun agama menjadi matlamat utama pelayaran mereka, sistem yang diam
alkan oleh Sepanyol tetap zalim berbanding penjajah Barat yang lain. Mereka mengamalkan sistem buruh paksa ke atas rakyat tempatan sedangkan penjajah British mengajar rakyat jajahannya menjadi pegawai. Beza sekali sistem yang diamalkan oleh kedua negara penjajah ini.

Ingin saya tekankan di sini bahawa kebangkitan penjajah Barat dalam bidang pelayaran adalah lewat jika dibandingkan dengan Islam kerana proses pengkolonisasian mereka hanya bermula selepas kejatuhan empayar Andalus yang diikuti dengan siri peperangan Perang Salib. Tidak mustahil jika dikatakan sekiranya empayar Andalus berjaya dipertahankan hingga kini, era kegemilangan Islam akan berterusan dan negara Barat tidak akan berjaya menguasai dunia mahupun mewujudkan sejarah pelayaran yang kononnya dimulakan oleh mereka.

Negara Barat sebenarnya hanya mengambil peluang apabila Kerajaan Abbasiyah bangkit! Ketika Abbasiyah mula cenderung ke arah timur dan mengurangkan tekanan kepada kawasan Mediterranean, Barat mula mengumpul kekuatan untuk bangkit di p
enghujung pemerintahan kerajaan Islam ini. Sekurang-kurangnya Abbasiyyah tidak bergabung tenaga dengan kekuasaan saki-baki Umayyah di Andalus untuk meluaskan kuasa ke dunia barat. Pada masa yang sama, negara Barat turut membawa bersama ilmu-ilmu hebat milik Islam dan mengatakan ia milik mereka!

Islam terlebih dahulu melakukan eksplorasi dunia yang membawa kepada penemuan bidang ilmu lain seperti ilmu buruj, ilmu kejuruteraan maritim serta ilmu perdagangan. Satu kenyataan yang perlu diingat-tamadun Islam adalah tamadun yang paling awal(660-1924) dan paling lama, kira-kira 1300 tahun, berbanding tamadun Barat yang baru berusia 600 tahun(1400-2008)!


Wardah bt Abdul Rahman

Makmal Patologi Tumbuhan,USM

Monday, August 18, 2008

Pembelaan Terhadap Situasi Zaman Nabi-nabi Silam (Part 2)

Dalam penulisan yang lalu, saya ada menyentuh beberapa persoalan yang dikemukakan oleh mereka yang kurang faham berkenaan situasi dan persekitaran Nabi-Nabi terdahulu. Dalam tulisan kali ini, saya akan cuba menjawab kekeliruan berkaitan bagaimanakah keadaan umat zaman dahulu serta keperluan mereka pada kemudahan-kemudahan yang ada sekarang seperti penyaman udara, kipas dan sebagainya. Mudah-mudahan fakta yang dihuraikan mampu mengajak kita menganalisa dan membandingkan situasi setiap zaman yang pastinya berbeza.

Bumi kini kian panas

Sedarkah kita bumi ini kian panas akibat tindakan manusia sendiri? Bagaimana yang dimaksudkan dengan aktiviti manusia? Aktiviti pembalakan, pembersihan hutan, pembakaran terbuka, perindustrian dan pengangkutan merupakan antara punca berlakunya pemanasan global yang menjadi satu amaran bahawa tenatnya bumi kita ini.

Kajian yang dilakukan oleh Intergovenmental Panet on Climate Change (IPCC), iaitu sebuah badan yang dipertanggungjawabkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan penilaian berkala terhadap keadaan iklim dan perubahannya telah membuktikan bahawa pemanasan global yang dikaitkan dengan peningkatan suhu bumi adalah disebabkan oleh aktiviti manusia. Analisis terbaru badan ini turut mendapati sejak 1850, terdapat 8 tahun direkodkan sebagai tahun panas dengan tahun 2005 sebagai tahun terpanas dan peningkatan purata suhu global akan berlaku dalam lingkungan 1.40C dan 5.80C pada abad ke -21.

Dapatkah anda anggarkan berapakah suhu bumi dahulu? Sebenarnya, suhu bumi juga berkait rapat dengan nisbah kandungan gas di atmosfera bumi. Lapisan atmosfera di permukaan bumi mengandungi kira-kira 77% nitrogen, 21% oksigen dan 1% karbon dioksida. Kandungan oksigen yang berlebihan boleh mengundang kemusnahan sel dalam badan manakala pengurangan gas ini boleh menyukarkan pernafasan manusia. Karbon dioksida pula membantu mengekalkan suhu bumi pada tahap stabil dan mengelakkan haba hilang terutamanya di waktu malam. Sekiranya kandungan karbon dioksida berlebihan daripada yang sepatutnya, suhu bumi akan naik mendadak dan menyebabkan ketidaksatabilan cuaca berlaku. Fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan rumah hijau’.

Suhu bumi dahulu

Saya yakin bumi dahulu tidaklah sepanas sekarang. Manusia zaman dahulu juga melakukan aktiviti harian tetapi tidaklah hingga mendatangkan impak yang besar pada kandungan gas di udara bumi atau ketebalan lapisan ozon bumi. Hasilnya, percaya atau tidak, kajian turut mendapati jika kesan rumah hijau tidak berlaku, purata suhu global bumi hanya mencecah kira-kira 20C.
Jelaslah keperluan setiap zaman pastinya berbeza. Allah s.w.t. juga Maha Adil mencipta nikmat di bumi sesuai dengan keperluan hamba-hambaNya. Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah ayat 22 :

Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; Karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu Mengetahui.”

Manusia secara semulajadinya mempunyai keupayaan untuk bermandiri dalam kumpulan dan persekitaran mereka yang tersendiri. Penemuan manusia yang masih hidup secara primitif membuktikan bahawa manusia mampu bergantung kepada alam persekitaran untuk hidup. Segala aktiviti harian disesuaikan dengan keperluan untuk hidup dan sumber-sumber alam yang sedia ada. Mereka juga tiada keperluan lain yang mendesak seperti manusia sekarang. Manusia dahulu tidak perlukan kemudahan seperti kipas mahupun penyaman udara kerana mereka tidak memerlukannya! Suhu bumi dahulu tidak seperti sekarang dan pasti keadaannya berbeza.

InsyaAllah, masih banyak bukti serta fakta yang akan dihuraikan nanti.

Wallahu’alam.


Wardah bt Abdul Rahman
Pulau Pinang