Senjata Biologi; Pemusnah nilai Kemanusiaan
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Engineering (Material) UM
Wardah Abdul Rahman
MSc (Biology) USM
Perang adalah satu aktiviti kejam yang dilakukan oleh manusia sejak zaman berzaman. Malah matlamat mematikan musuh dan memusnahkan populasi lawan adalah satu sasaran yang dikejar serta menatijahkan sindom mechiavelli yang cukup dahsyat. Senjata biologi adalah antara metod perang yang dicipta manusia selari dengan penemuan dan peningkatan ilmu biologi dan mikroorganisma. Lantaran ianya senyap, berkesan serta mampu memusnahkan musuh dalam jumlah dan skala yang amat besar, ia dipilih sebagai salah satu kaedah negara tertentu untuk merealisasikan impian masing-masing.
Sejak serangan WTC pada 11 September 2001, kesedaran terhadap kemungkinan berlakunya ancaman senjata biologi dan kimia mulai diperkatakan semula. Jangkaan blok AS-NATO yang mendakwa pihak pengganas kini kian bijak mencipta dan bertindak mempelbagaikan teknik serangan mereka semakin menebal selepas beberapa siri serangan antraks di Amerika berlaku rentetan selepas 9/11.
Wabak influenza A (H1N1) tidak terkecuali daripada menjadi perbincangan saintis tentang kesahihan ianya sebagai salah satu metod perang biologi. Virus yang mencipta gelombang pertama pada April tahun lalu dan kembali menyerang semula awal 2010 ini dikatakan sengaja dicipta oleh kuasa besar untuk mengalih perhatian masyarakat dunia dari polemik antarabangsa lain yang lebih penting. Malah, tidak kurang pula yang mendakwa kewujudan virus ini adalah untuk mengagung-agungkan negara yang berjaya mencipta vaksin untuknya walaupun pada masa yang sama, besar kemungkinan negara tersebut juga yang mencipta virus tersebut. Namun begitu kesahihan isu ini masih belum dibuktikan dan masih dalam tahap spekulasi.
Secara umumnya, senjata biologi (biological weapon) adalah teknik persenjataan yang menggunakan mikroorganisma seperti bakteria, virus dan kulat yang dapat bertindak sebagai patogen kepada manusia mahupun hidupan yang lain. Selain contoh organisma seni ini, toksin iaitu sebatian beracun yang boleh dihasilkan oleh sesetengah organism juga turut dikategorikan dalam kumpulan senjata biologi.
Persamaan yang jelas antara toksin yang diletakkan dalam kumpulan senjata biologi dan senjata kimia adalah kedua-duanya terikat dengan keperluan Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin (Biological and Toxin Weapons Convention) dan Konvensyen Senjata Kimia (Chemical Weapons Convention). Persenjataan biologi (biological warfare) atau persenjataan kuman (germ warfare) pula adalah istilah penting yang digunapakai bagi menggambarkan teknik perang yang menggunakan senjata biologi.
Misalnya negara Israel yang kian mengganas hari ini juga tidak menandatangani Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin (Biological and Toxin Weapons Convention- BWC). Menurut laman sesawang Wikipedia, terdapat spekulasi bahawa program senjata biologi Israel mungkin terdapat di Institut Penyelidikan Biologi Israel (Israel Institute of Biological Research-IIBR) di Ness Ziona.
Secara realitinya masyarakat antarabangsa telah melaksanakan beberapa aturan kawalan eksport senjata, seperti Konvensyen Senjata Kimia (CWC), Konvensyen Biologi dan Toksin (BWC) dan Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata (NPT). Perjanjian ini mendapat sokongan meluas. Namun, seperti yang kita lihat sendiri, perjanjian tersebut tidak berupaya menghalang penularan keganasan melalui senjata WMD mahupun senjata biologi.
Penggunaan agen biologi sebagai senjata memusnahkan musuh bukanlah sesuatu yang baru. Menelusuri sejarah, percubaan untuk menggunakan senjata biologi telah bermula sejak 300 SM dahulu lagi apabila karya sastera Parsi, Greek dan Roman pernah merekodkan tentang bangkai haiwan yang dimasukkan ke dalam sumber air musuh mereka.
Semasa Perang Perancis dan British pada kurun ke 18, tentera British di bawah pimpinan Jeffrey Amherst pula telah mengedar selimut yang telah dicemari dengan virus cacar (smallpox) kepada penduduk asli Amerika dalam usaha British menakluk kawasan Amerika Utara yang asalnya diduduki kaum Red Indian. Amat malang sekali apabila pemberian ini bukanlah suatu nikmat sebaliknya bala besar buat kaum asli di Amerika ini.
‘The Black Death’ berlaku antara tahun 1347 hingga 1350 telah menyebabkan kematian lebih satu pertiga penduduk Eropah. Puncanya adalah penularan penyakit berjangkit dari mayat yang telah membusuk yang digunakan oleh tentera Mongolia untuk mengusir pedagang bangsa Genoa di Laut Hitam dalam tempoh tersebut.
Perang Dunia Pertama dan Kedua menjadi medan untuk negara-negara yang terlibat menunjukkan kehandalan mereka mencipta dan mengaplikasikan senjata biologi secara berleluasa. Lebih buruk lagi apabila diyakini bahawa bilangan tentera yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua banyaknya yang berpunca daripada penyakit berbanding luka akibat perang. Jika diamati dengan teliti, beberapa filem luar negara yang berunsurkan kisah perang banyak menyelitkan teknik-teknik persenjataan biologi yang digunakan pihak tentera.
Dalam Perang Dunia Pertama, tentera Jerman menjangkitkan haiwan-haiwan ternakan yang diimport oleh tentera bersekutu dengan bakteria antraks.
Era Perang Dunia Kedua pula telah menyaksikan ‘kegilaan‘ para saintis dari negara matahari terbit melakukan pelbagai ujikaji ke atas manusia secara hidup-hidup. Beberapa pusat kajian yang dikenali sebagai unit diwujudkan secara rahsia dan berselindung dengan nama lain untuk mengaburi mata masyarakat setempat. Unit 731 yang terletak di wilayah Harbin, Manchuria misalnya adalah pusat penyelidikan senjata biologi Jepun yang paling terkenal hinggakan Jeneral Shiiro Ishii yang bertanggungjawab ke atas unit ini turut diangkat sebagai ‘Bapa Senjata Biologi’.
Di sini, lebih 3000 mangsa sengaja didedahkan kepada sumber jangkitan penyakit seperti sifilis, antraks dan beberapa agen biologi lain. Tindakan tidak berasas ini tidak terhenti di sini kerana autopsi atau pemeriksaan lanjutan seperti pembedahan secara hidup ke atas mangsa ujikaji juga dijalankan. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk mengetahui kesan langsung yang berlaku pada organ dalaman mangsa seterusnya ‘menambahbaik’ ujian mereka agar boleh digunakan ke atas musuh perang. Ujikaji ini akan diulang beberapa kali sehingga mencapai tahap kepuasan yang diinginkan.
Pada tahun 1942, Amerika Syarikat menubuhkan Unit Penyelidikan Perang yang mana antraks dan toksin botulinum dikaji sebagai agen yang berpotensi digunakan sebagai senjata perang. Hasilnya, pada Jun 1944, kedua-dua bahan ini dikumpulkan dalam kuantiti yang secukupnya sebagai persiapan balas sekiranya pihak tentera Jerman mula menggunakan agen biologi dalam peperangan menentang Amerika Syarikat. Pulau Gruinard yang terletak di negara Scotland dalam tahun 1942 dan 1943 telah menjadi tempat untuk ujian bom antraks.
Amerika Syarikat meneruskan lagi kajian mereka antara tahun 1950 hingga 1960. Kelemahan dan kurangnya kesedaran tindak balas warga Amerika Syarikat terhadap serangan agen biologi ditunjukkan apabila antara tahun 1951 hingga 1954, beberapa jenis organisma kurang merbahaya sengaja dibebaskan di kedua-dua pesisiran pantai Amerika Syarikat. Pada tahun 1966, kelemahan ini diuji sekali lagi apabila bahan ujian dilepaskan di dalam terowong perhubungan awam di bandar New York.
Ketika Perang Vietnam, gerila Viet Cong menggunakan bilah buluh yang direndam di dalam najis untuk menimbulkan jangkitan yang lebih teruk pada luka tentera musuh yang terkena tikaman buluh tersebut. Pada tahun 1979 pula, secara tidak sengaja bakteria antraks terlepas dari pusat senjata di Sverdlovsk, Rusia. Dalam tragedi ini, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh. Walau bagaimanapun, kerajaan Rusia mendakwa semua kematian ini berpunca daripada daging yang tercemar sehinggalah pada tahun 1992, Presiden Rusia pada masa tersebut, Boris Yeltsin membuka mulut mengenai punca sebenar yang berlaku.
Kaedah penghasilan yang senang, mudah disembunyikan serta tempoh masa pengeraman yang boleh dijangka adalah antara sebab utama senjata biologi menjadi pilihan untuk menghapuskan musuh di dalam perang. Kewujudan mikroorganisma penyebar penyakit yang sukar dikenalpasti melalui mata kasar memudahkan lagi proses perpindahan penyakit sesama manusia.
Agen biologi bukan sekadar diaplikasikan untuk menghapuskan manusia secara terpencil (isolated assassination) tetapi turut terlibat sebagai agen utama yang dapat membunuh dalam skala yang lebih besar hingga mencecah ribuan kematian dalam satu tempoh masa yang singkat. Situasi ini terjadi apabila agen biologi yang digunakan turut mencemarkan persekitaran tempat tinggal menyebabkan kontaminasi berlaku dalam jangka masa panjang dan memberi ancaman kepada populasi manusia yang tinggal di kawasan tersebut.
Menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC-USA), terdapat tiga pengkelasan senjata biologi, bergantung kepada keseriusan penyebaran penyakit dan tahap kematian yang terlibat. Agen dalam kategori A adalah yang paling merbahaya kepada orang awam dan keselamatan negara manakala kategori C merangkumi agen yang berpotensi untuk dibiakkan secara meluas pada masa akan datang.
Kategori A (antraks, toksin botulinum dan cacar) dicirikan dengan sifat yang mudah tersebar atau dipindahkan dari manusia ke manusia yang lain, mampu menimbulkan kepanikan dalam masyarakat dan boleh mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi. Agen biologi yang tergolong dalam kategori B ialah risin, mikotoksin (toksin yang dihasilkan oleh kulat) dan bakteria Staphylococcus yang mempunyai tahap penyebaran sederhana dan mampu mengakibatkan kadar kematian yang rendah. Ketegori C mudah didapati serta berpotensi memberi impak kesihatan atau kematian yang major.
Protokol Geneva 1925 telah ditandatangi oleh 108 buah negara. Perjanjian ini adalah yang pertama melibatkan banyak negara dalam usaha mengekang penggunaan agen biologi dan agen kimia secara berleluasa. Walau bagaimanapun, piawaian perjanjian ini tidak diterangkan dengan jelas menyebabkan negara terlibat kurang mengambil berat tentangnya.
2 comments:
bagus isinya
tp patut dimasukkan juga fakta ini-, 'Amerika dan Israel merupakan penjenayah antarabangsa yg patut digelar Paksi Kejahatan, kerana Amerika sering melakukan kemusnahan besar diseluruh dunia melalui kempen peperangan, manakala Israel merupakan pengancam keselamatan dunia melalui pembangunan senjata pemusnah secara tidak terkawal dan bebas dari sekatan badan pemantau PBB'
Sepatutnya fakta ini disebarkan ke seluruh dunia dan ditanamkan dalam minda generasi muda (Islam dan bukan Islam) supaya mereka tahu siapa sebenarnya watak jahat dlm dunia moden masakini.
Fakta yang menarik .
Post a Comment