Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Sunday, July 11, 2010

Barat dan Fenomena Penolakan Dogmatik Darwinisme

Disiarkan dalam Dewan Kosmik Julai 2010 dengan tajuk 'Penolakan Dogmatik Darwinisme'.

Barat dan Fenomena penolakan dogmatik darwinisme

Muhammad Nuruddin Bashah

Bc Hons Engineering (Material) UM

Wardah Abdul Rahman

MSc (Microbiology) USM

Bersempena dengan Sambutan 100 Tahun penubuhan, Institut Muzium Smithsonian, Amerika Syarikat baru-baru ini telah menganjurkan pameran fosil dan artifak berkaitan prasejarah manusia sejak 6 juta tahun dahulu. Sebuah dewan asal-usul manusia yang menelan belanja RM 69.2 juta didirikan untuk tatapan peminat sejarah. Paling menarik apabila turut diadakan pertunjukan video seekor udang yang bermain-main berdekatan kamera bawah tanah yang terletak di bawah sebuah lembar ais besar di Antartik.

Sebelum itu ramai saintis percaya bahawa hanya beberapa mikroorganisma sahaja yang mampu hidup di kawasan tersebut dalam keadaan tanpa cahaya matahari serta kedalaman 182 meter di bawah paras ais.

Terdapat juga pameran dua tengkorak yang telah ditemui seabad lalu yang merupakan tengkorak zaman batu dan Cro-Magnon. Rick Potts yang menjadi jurucakap kepada pengunjung muzium berkenaan menyatakan bahawa susur galur evolusi manusia yang dikatakan berasal dari haiwan adalah tidak benar. Tamadun manusia dinyatakan sebagai sebahagian daripada pelbagai spesis yang wujud sejak jutaan tahun dahulu.

Terlalu banyak web dan kelompok pemikir barat yang menolak teori Darwin malah berusaha mencabutnya daripada korpus khazanah pendidikan sains dunia masa kini. Kelompok yang menggelar mereka sebagai golongan ‘pencipta’ atau ‘creationist’ ini adalah penganut Kristian yang kuat serta mempromosi kepercayaan kepada kehebatan ciptaan Allah di mana kepercayaan ini bercanggah dengan sekularism Darwin.

Di Belgium pada hari ini, kebanyakan tenaga pendidik dan ahli akademik biologi mula menolak untuk mengajar atau menghebahkan teori evolusi lagi.

Menurut laman sesawang (http://defeatofdarwinism.com), Barat kini mulai menjulang teori creationist, malah beberapa pemimpin Eropah seperti Sarkozy (Presiden Perancis) mulai memberi perhatian kepada perlunya kembali kepada teori asas ciptaan manusia menurut agama. Malah edaran buku ‘The Atlas of Creation’ amat menggalakkan dan ada usaha untuk memberikan buku tersebut secara percuma.

Ulama terkenal Harun Yahya pernah berkata, “Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus? Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai 'orang gua primitif' memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden? Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai 'manusia beruk', juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal? Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mempu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini”.

Celal Sengor pernah menyuarakan pendapatnya berkenaan kesusahan menjadi seorang manusia dalam kolum majalah Cumhuriyet Bilim pada 26 Jun 2009. Menerusi tulisannya, Sengor mengatakan ‘penipuan’ adalah titik mula bagi penemuan dan penciptaan baru yang hebat. Manakala hasil saintifik yang penting pula sebenarnya dicipta sebagai satu keputusan kepada ‘penipuan’ tersebut. Akhir tulisannya, Sengor merumuskan bahawa seorang manusia pasti mengiyakan sesuatu yang salah sebagai betul dan memberi ekspresi kepada pegangan tersebut. Malah, tegasnya lagi, adalah mustahil untuk menjadi seorang manusia tanpa 2 sikap dogmatik tersebut.

Walaupun Sengor pada asalnya adalah pengikut falsafah logik yang salah, satu pendapatnya yang betul dan boleh diterima ialah apabila beliau merujuk kepada fahaman Darwinism sebagai bukti rumusannya tentang sikap manusia. Menurut Sengor lagi, teori Darwin adalah suatu penipuan atau pengembaraan intelektual yang dilakukan dalam abad ke-19, satu abad yang diketahui penuh dengan sikap ‘menurut membabi buta’ serta tidak mengambil berat pada sesuatu teori baru yang dikemukakan. Tiada usaha pengabsahan ilmu dilakukan secara aktif terutama di kalangan negara yang terjajah termasuk dunia Islam. Tidak mustahil juga pada masa tersebut, kajian susulan atau tindakan mencari bukti kepada teori tidak langsung dilakukan sepertimana zaman sekarang.

Menurut laman sesawang Darwinism-Watch, semasa Darwin mengutarakan bahawa beliau menjumpai satu teori biologi yang saintifik, dalam masa yang sama saintis pada zaman itu masih belum berupaya meneliti bentuk sel dengan jelas. Ini menjelaskan bahawa teknologi masih rendah pada zamannya untuk mengesahkan sebarang bantahan terhadap teori evolusi darwin sehinggakan ada ahli akademik barat menyatakan apa yang berlaku sebenarnya hanyalah beliau sekadar berlayar dengan menaiki kapal besar, bersuka ria dan minum bersama kelasi kapalnya serta hanya mengutip sampel serangga di pulau yang sempat beliau lawati secara suka-suka tanpa tujuan.

Seperti yang Darwin sendiri nyatakan dalam biografi karyanya The Origin of Species (1859), beliau langsung tidak berminat terhadap serangga yang dikumpulnya bahkan sekadar bukti bahawa beliau pernah mengunjungi banyak pulau dan tempat indah serata dunia.

Dalam surat yang ditulis Darwin, beliau kerap kali mengatakan pernyataan teorinya dilakukan hanya kerana semangat pengembaraan (spirit of that adventure), bukan sesuatu yang rasional dan beliau hampir bertindak membunuh diri disebabkan pernyataan tersebut. Darwin langsung tidak peka tentang ciri sebenar sel serta Hukum Genetik. Ketika Darwin masih berteka-teki tentang kaedah pewarisan (heredity) ciri dari induk kepada anak, Gregor Mendel, seorang ahli biologi dan paderi Austria pula sudah mula membuat kajian terperinci dengan hanya menggunakan pokok kacang selama 8 tahun (1857-1865). Darwin hanya mampu menyoal dirinya, bagaimana sesetengah ciri boleh diwariskan tetapi sesetengah yang lain tidak boleh serta bagaimana ciri-ciri pada kedua induk boleh hadir serentak dalam anak, adakah ciri tersebut bersaing atau bergabung?. Beliau tiada inisiatif langsung untuk mengkaji malah tidak sedar akan kejayaan kajian Mendel yang sedang membuktikan kepalsuan pernyataannya dalam bahagian pemilihan semula jadi (natural selection). Mendel yang sabar bekerja dengan hampir 30 000 pokok kacang Pisum sativum dan melebihi 8 generasi pokok akhinya berjaya menemui kata kunci kepada permasalahan Darwin iaitu ‘gen‘ walaupun terminologi ini sebenarnya hanya diperkenalkan 16 tahun selepas kematian paderi tersebut.

Hukum Genetik yang dipelopori oleh eksperimen Mendel telah membuktikan bahawa;

  1. Pewarisan ditentukan oleh ‘unit‘ atau ‘faktor‘ yang diperturunkan dari generasi ke generasi tanpa berlaku apa-apa perubahan (unit ini kini dikenali sebagai gen).
  2. Seorang individu mewarisi satu unit dari setiap induk bagi setiap kumpulan ciri.
  3. Sesuatu ciri boleh juga tidak ditonjolkan pada anak tetapi masih diperturunkan kepada generasi anak tersebut.

Sel pada pandangan Darwin adalah seperti sebiji belon yang penuh dengan air. Hasilnya, tanpa rasa serba salah, Darwin dengan yakin mengatakan sel terjadi dengan sendirinya dan ciri-ciri pada kedua induk boleh dicampuradukkan dan diperturunkan kepada generasi-generasi seterusnya. Beliau lupa bagaimana pula ciri mutasi pada induk boleh kekal pada anak seandainya tanggapan percampuran ciri induk boleh berlaku. Sepatutnya mengikut pendapat Darwin, ciri mutasi tersebut akan tenggelam bersama ciri-ciri yang lain. Berdasarkan pendapat yang salah ini, Darwin seterusnya membuat satu penipuan bahawa hidupan bertukar dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain tanpa wujudnya fosil yang boleh menunjukkan adanya suatu transisi antara keadaan tersebut.

Teori Darwin bukan sahaja mencengkam disiplin kajian sains malah ia juga merupakan satu ideologi manusia malah ideologi ini pernah beraksi dalam Perang Dunia ke-2. Stalin dan Hitler juga percayakan teori persaingan kelas sebagai asas pengurusan dunia. Malah Darwinism satu penipuan atheis pengecualian dalam politik untuk mengutamakan matlamat berbanding cara serta menjadi dasar kepada golongan Konservatif Amerika. (http://atheism.about.com).

Persoalannya, mengapa dunia menelan bulat-bulat teori ini tanpa dipersoalkan? Adakah ada suatu kuasa politik atau diktator yang menaungi ideologi ini atau ia menjadi paranoid kepada golongan cendiakawan asia yang masih inferior dengan peradaban barat yang penuh dengan pendustaan ini. Menurut W. Daniel Hillis (1995) seorang saintis komputer, terdapat satu sekolah pemikiran di kalangan saintis dunia untuk tidak membincangkan kepincangan teori evolusi secara terbuka.

Mengutip dari kata pengantar Darwin di On The Origin of Species,

After five years’ work I allowed myself to speculate on the subject, and drew up some short notes; these I enlarged in 1844 into a sketch of the conclusions, which then seemed to me probable: from that period to the present day I have steadily pursued the same object

Jadi, kerana sifatnya yang bersifat spekulasi, Darwin sendiri merasa bahawa teorinya masih jauh dari sempurna. Oleh karena itu dia menyertakan Bab VI di bukunya, yang diberi subjudul Difficulties on Theory (Kesukaran dan rintangan dalam teori). Ia sendiri mengakui bahwa terdapat kesulitan yang menghambat Teori Evolusi rancangannya dari “menggambarkan keadaan alam yang sebenarnya”.


No comments: