Saya masih ingat, hari pertama menghadiri kelas Biokimia (tahun 2004) saya dan rakan sekelas yang lain terus diberi tugasan yang perlu disiapkan dalam masa 10 minit sebelum pengajaran bermula. Sehelai kertas dikoyak dari ‘writing pad’ dan saya mula merangka apa yang perlu ditulis. Kesannya, saya mulai sedar bahawa saya belum menguasai topik ini sepenuhnya dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
Apa yang berlaku sebenarnya ialah kami diminta menulis pendapat atau hujah masing-masing tentang teori Darwin-bersetuju atau tidak. Dr. K. Sudesh, pensyarah kelas kami tidak memberi apa-apa penjelasan sebelum dan selepas sesi tersebut.
Ayat pertama saya menolak dengan jelas teori tersebut. Sebabnya, teori evolusi adalah bercanggah dengan teori penciptaan (creation). Isi penting yang saya tulis selepasnya berkisar tentang dalil al-Quran yang menerangkan proses kejadian manusia serta penciptaan Nabi Adam a.s. Sebab penolakan yang kedua adalah tidak ada bukti wujudnya fasa peralihan pada makhluk yang dikatakan mengalami evolusi tersebut. Keseluruhan fikiran saya pada masa itu hanya tertumpu pada gambarajah perubahan manusia daripada seekor beruk sedangkan Charles Darwin dalam bukunya ‘Origin of Species’ (1859) banyak lagi mengemukakan pendapat yang keliru dan boleh disanggah.
Untuk memahami teori evolusi, sesi ‘bedah buku’ perlu dilakukan ke atas buku Darwin. Tahun lepas saya berjaya mendapatkan satu salinan buku tersebut dari perpustakaan USM. Saya belum habis membacanya tetapi hanya melihat isi kandungan buku tersebut sepintas lalu. Mujur juga silibus pembelajaran saya pada tahun pertama di USM turut melibatkan subjek Genetik. Dari kelas ini, saya mula memahami Hukum Genetik Mendel yang melawan arus pemikiran Darwin.
Wardah bt Abdul Rahman
Kamunting, Perak
No comments:
Post a Comment