Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Tuesday, January 5, 2010

Surat Pembaca-Mikotoksin dalam Makanan

Terbaru, komen saya tersiar buat kali kedua dalam ruangan surat pembaca Dewan Kosmik keluaran Januari 2010. Kebetulan suami saya mendapat majalah ini percuma setelah artikel beliau bertajuk 'Misteri Metalurgi dalam Malapetaka Titanic' tersiar dalam keluaran yang sama.


Mikotoksin dalam Makanan

Toksin dalam makanan boleh juga berlaku dengan kehadiran kulat, seperti yang dibicarakan dalam Dewan Kosmik(DK) keluaran September 2009. Kehadiran toksin sememangnya sukar dikesan melalui penglihatan mata kasar. Mikotoksin adalah metabolit sekunder yang berupaya dihasilkan oleh spesies kulat tertentu yang tumbuh atau berada dalam sesuatu jenis makanan.

Aflatoksin dan okratoksin misalnya, dihasilkan oleh kulat daripada genus yang sama tetapi spesies yang berbeza, iaitu Aspergillus flavus dan Aspergillus ochraceus. Makanan seperti bijirin, kekacang dan rempah ratus adalah antara makanan yang sering dilaporkan tercemar dengan aflatoksin. Kerajaan Malaysia sendiri turut memperkenalkan akta makanan khas bagi tujuan mengawal kandungan toksin dalam makanan dalam Peraturan 39, Peraturan-Peraturan Makanan 1983.

Genus kulat Fusarium pula berupaya menghasilkan mikotoksin seperti fumonisin, zearelenon dan deoksinivalenol. Fumonisin mudah dijumpai dalam makanan bijirin seperti jagung, gandum, barli dan soya. Buktinya, beberapa artikel yang dikeluarkan dalam jurnal antarabangsa banyak merekodkan penemuan berkaitan mikotoksin ini.

Di sinilah terletaknya kepentingan kajian semasa berkenaan teknologi terkini bagi mengesan serta mengawal kehadiran mikotoksin yang perlu dilakukan oleh penyelidik dalam bidang teknologi pemakanan. Kajian fuundamental oleh penyelidik dalam bidang mikrobiologi juga tidak harus dipandang ringan kerana melalui pengenalpastian mikotoksin secara terperincilah bakal memudahkan kajian lanjut bekenaan pengawalannya.


Wardah Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.

Saturday, January 2, 2010

Saya dan Dia



Alhamdulillah. Syukur pada Allah, tanggal 11,12 dan 19 Disember yang lalu, dua hati sudah bersatu, tali silaturrahim dua keluarga berjaya dihubungkan dan majlis berlangsung dengan lancar. Saya kini bergelar seorang isteri =] dan hari demi hari saya belajar bahawa status itu datang dengan amanahnya yang tersendiri.

Sabtu baru-baru ini saya bersama suami pulang ke Pulau Pinang. Agenda kami di dalam Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) di sana perlu diteruskan. Kajian Sarjana saya juga perlu dikemaskini. Bak kata seorang sahabat, 'quality time' perlu pandai dicari, selari dengan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Hari ini saya pulang lagi ke Pulau Pinang. Selepas bermesyuarat bersama sahabat Nisa' Bayan Baru, saya kembali menyudahkan tugasan yang diberi oleh penyelia yang bakal dibentang esok pagi. Petang, saya akan berjumpa dengan adik-adik yang akan melakukan tinjauan dan mengumpul maklumat pelarian Rohingya di Pulau Pinang pada hujung minggu ini.

Doa saya, semoga Allah memberkati setiap saat hidup yang beranjak pergi dan akan datang. Semoga segala perancangan berjalan lancar dan semua urusan berlalu dengan baik. Aminn..



Wardah bt Abdul Rahman
International House USM
1.23 pagi, 6 Disember 09