Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Tuesday, June 16, 2009

Pesan buat petugas Islam


Kita selalu berfikir jenis makanan yang kita hendak makan. Pernah fikir tentang kandungan makanan yang kita makan?

Menurut kajian yang dilaporkan oleh ScienceDaily hari ini, golongan muda sekarang sebenarnya semakin kurang mengambil makanan berunsurkan kalsium dan tenusu terutamanya apabila menginjak ke usia 20-an. Fakta penting yang ditekankan ialah keperluan untuk mengekalkan pengambilan unsur nutrien tersebut kerana masa puncak bagi pembesaran tulang seseorang hanya tercapai apabila usia mencapai 30-an. Proses pertumbuhan tulang sudah bermula sejak kita masih bayi dan perkembangannya perlu dikekalkan untuk mengelakkan beberapa penyakit kronik berkaitan tulang terutamanya osteoporosis. Tulang turut berfungsi untuk menyangga tubuh dan melindungi organ-organ dalaman yang penting seperti jantung dan paru-paru.

Osteoporosis adalah penyakit yang hanya dapat dirawat melalui pencegahan awal. Caranya, pastikan kalsium, protein dan vitamin D yang terdapat dalam produk tenusu diambil secara konsisten dari umur yang muda seperti sekarang. Menurut laporan kesihatan pada tahun 2008, rakyat Malaysia puratanya hanya mengambil kalsium sebanyak 300-500 mg sehari sedangkan kadar asal yang diperlukan ialah 800-1000mg sehari.


Susu adalah sumber kalsium yang terbaik dan segelas susu segar mengandungi 500mg kalsium. Jadi, 2 gelas susu sudah cukup untuk melegkapkan keperluan kalsium dalam sehari. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak gemarkan susu? Berikut ialah beberapa makanan alternatif lain, saiz hidangan (g) serta kandungan kalsium(mg) (sumber dari web Kementerian Kesihatan Malaysia).

Kacang kering - 177g - 50mg

Brokoli - 71g - 35mg
Kobis - 85g - 79mg
Kailan - 65g - 47mg
Bayam - 90g - 122mg
Tauhu/soya - 126g - 258mg


Ayuh, perhatikan kandungan makanan kita seharian. Cukupkah kandungan kalsium yang diperlukan badan? Kalau dahulu kita tidak pernah memikirkan tentang kandungan makanan kita, sekarang adalah masa untuk memulakannya. Jangan memandang enteng pada nilai kesihatan. Diri hanya pinjaman, amanah buat manusia, bersama kita jagainya.


Pesan Imam Hassan al-Banna kepada petugas Islam, Segeralah membuat pemeriksaan kesihatan umum, segera mengambil rawatan apa jua penyakit yang kamu hidapi. Mengambil berat terhadap faktor kekuatan diri, penjagaan jasmani, dan menjauhi segala apa yang boleh melemahkan badan.'


Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.

Friday, June 12, 2009

Sains dan Kerasionalan di dalam Quran

Asas kepada pemikiran saintifik adalah rasa ingin tahu tentang alam semesta, kehidupan serta penciptaannya. Lihat video di bawah, bagaimana Allah memberi petunjuk kepada manusia untuk mengkaji ilmu-ilmu sains.



~Wardah bt Abdul Rahman

Minden, Pulau Pinang

Friday, June 5, 2009

Hujan Oh Hujan


Akhirnya, petang tadi berjaya juga pos melalui mel udara, sampel air hujan yang dikumpul pagi Rabu yang lepas. Bukan sebarang air hujan. Syaratnya air hujan ni mesti diambil dari batang pokok ketika hujan! 5 haru jugalah menunggu hujan turun di Pulau ni. Pagi Rabu, sekitar 6.45 pagi, hujan turun..lebat dan lama. Alhamdulillah.

Bergegas saya keluar dari bilik menuju makmal. Centrifuge tube ada di makmal, menunggu dari hari Jumaat minggu lepas, minta diisi. Ada 4 tiub, setiap satu sudah terisi 2 ml FAA (50% etanol + 5% asid asetik + 10% formaldehyde). Hanya perlu ditambah 7 ml air hujan.

Sebenarnya, saya diminta oleh penyelia mengumpul sampel air hujan untuk dihantar ke Hungary. Ada seorang pensyarah di sana, Dr Donat Maygar dari National Institute of Environmental Health sedang membuat kajian mengenai air hujan tersebut. Melihat nama jabatan yang tertulis pada alamatnya, Dept. Aerobiological Monitoring, mungkin kajian pensyarah ini adalah berkenaan partikel organik di dalam udara khususnya mikroorganisma seperti bakteria, kulat mahupun virus di udara yang berada di dalam air hujan. Aerobiology (aero-udara, bios-kehidupan) Mengapa perlu melalui perantara pokok? Saya sendiri kurang pasti. Mungkin keputusan kajian akan mengambil kira faktor tindak balas pokok yang berbeza dengan air hujan yang turun mencurah menimpanya.


Walaupun kaedah persampelan yang diberi hanya berpandukan 3 helai kertas dan tujuannya tidak diterangkan, saya tetap gembira dan rasa bertuah diminta melakukan persampelan ini. Keadaan cuaca mengajar pengkaji supaya bersabar, keadaan senggang masa mengajar pengkaji terus bersemangat menunggu waktu yang sesuai. Keadaan ini juga mengingatkan saya bahawa penyelidikan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak usaha dan masa perlu dikorbankan. Pastinya hasil setiap penyelidikan untuk dimanfaatkan bersama.
Pada hujan ada rahmat, dalam air hujan ada macam-macam!

* Terharu bila ada sahabat sms ingatkan hujan sedang turun!


Wardah bt Abdul Rahman
International House, USM,
Pulau Pinang.