Senjata Biologi; Pemusnah nilai Kemanusiaan
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Engineering (Material) UM
Wardah Abdul Rahman
MSc (Biology) USM
Perang adalah satu aktiviti kejam yang dilakukan oleh manusia sejak zaman berzaman. Malah matlamat mematikan musuh dan memusnahkan populasi lawan adalah satu sasaran yang dikejar serta menatijahkan sindom mechiavelli yang cukup dahsyat. Senjata biologi adalah antara metod perang yang dicipta manusia selari dengan penemuan dan peningkatan ilmu biologi dan mikroorganisma. Lantaran ianya senyap, berkesan serta mampu memusnahkan musuh dalam jumlah dan skala yang amat besar, ia dipilih sebagai salah satu kaedah negara tertentu untuk merealisasikan impian masing-masing.
Sejak serangan WTC pada 11 September 2001, kesedaran terhadap kemungkinan berlakunya ancaman senjata biologi dan kimia mulai diperkatakan semula. Jangkaan blok AS-NATO yang mendakwa pihak pengganas kini kian bijak mencipta dan bertindak mempelbagaikan teknik serangan mereka semakin menebal selepas beberapa siri serangan antraks di Amerika berlaku rentetan selepas 9/11.
Wabak influenza A (H1N1) tidak terkecuali daripada menjadi perbincangan saintis tentang kesahihan ianya sebagai salah satu metod perang biologi. Virus yang mencipta gelombang pertama pada April tahun lalu dan kembali menyerang semula awal 2010 ini dikatakan sengaja dicipta oleh kuasa besar untuk mengalih perhatian masyarakat dunia dari polemik antarabangsa lain yang lebih penting. Malah, tidak kurang pula yang mendakwa kewujudan virus ini adalah untuk mengagung-agungkan negara yang berjaya mencipta vaksin untuknya walaupun pada masa yang sama, besar kemungkinan negara tersebut juga yang mencipta virus tersebut. Namun begitu kesahihan isu ini masih belum dibuktikan dan masih dalam tahap spekulasi.