Suatu usaha ke arah memartabatkan para intelegensia sains muslim agar bersama menjunjung tradisi keilmuan Islam tinggalan para ulama' silam.
Sunday, January 11, 2009
Monday, January 5, 2009
Aspergillus dan 2009
MORPHOLOGICAL, MOLECULAR AND GENETICS DIVERSITY OF Aspergillus SPECIES ISOLATED FROM INDOOR BUILDINGS IN MALAYSIA’ atau ‘Kepelbagaian morfologi, molekular dan genetik spesies Aspergillus yang dipencilkan dari dalam bangunan di Malaysia’. Inilah tajuk asal penyelidikan yang dicadangkan. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab teknikal, skop kawasan persampelan dikecilkan kepada kawasan di Pulau Pinang sahaja.
Secara umumnya, kajian ini melibatkan proses pengenalpastian (identification) kulat dari spesies Aspergillus, melalui beberapa teknik yang berbeza iaitu morfologi (ciri-ciri Aspergillus diperhatikan melalui mata kasar dan melalui mikroskop), molekular (kajian ke atas DNA Aspergillus) dan genetik (kajian ke atas ciri genetik Aspergillus). Kulat bawaan udara ini banyak dilaporkan bertindak sebagai patogen yang menyerang sistem pernafasan manusia dan haiwan kerana sifatnya yang berupaya hidup dalam keadaan persekitaran yang berbeza dan pelbagai. Di samping itu, Aspergillus juga mampu menghasilkan metabolit sekunder iaitu toksin yang bersifat toksik kepada hidupan apabila dicernakan atau alergenik apabila disedut. Radang paru-paru dan beberapa masalah kesihatan seperti gatal-gatal, batuk, mata berair adalah kesan daripada kehadiran kulat ini di persekitaran kita.
Saya pernah ditanya dalam satu sesi temuduga di Putrajaya pada tahun lalu, apakah impak yang boleh diperolehi serta kerelevenan kajian ini? Tegas saya, kajian fundamental adalah teras kepada kajian seterusnya yang bakal meliputi skop lebih luas pada masa akan datang seperti kaedah membasmi atau mengawal penularan kulat ini di dalam satu-satu bangunan, penciptaan fungisid yang boleh membantutkan pembiakan kulat malah tidak mustahil jika dapatan kajian ini boleh menyebabkan kerajaan menggubal undang-undang Kualiti Udara dalam Bangunan yang baru! Di negara-negara maju yang lain, akta berkaitan Kualiti Udara (Indoor Air Quality) mereka lebih berkembang berbanding Malaysia. Kesihatan penghuni di dalam bangunan amat dititikberatkan.
Mungkin ada yang memandang remeh pada kepentingan kajian fundamental yang pada luarannya kurang menampakkan adanya produk atau output yang baru tetapi saya tetap positif dengan penyelidikan yang saya dan rakan-rakan lain lakukan di makmal.
Kini, kajian yang dilakukan memasuki fasa kedua iaitu bahagian molekular di samping penulisan tesis yang akan bermula serentak. Aspergillus bukanlah spesies kulat yang ‘mendominasi’ kajian di dalam makmal saya sekarang. Sebaliknya, rakan-rakan semakmal yang lain kecuali saya dan seorang pelajar Cina, mengkaji spesies kulat Fusarium yang banyak menyerang tanaman pertanian. Ini adalah antara cabaran yang saya hadapi. Pensyarah juga telah mengingatkan saya bahawa saya ‘keseorangan’ di dalam kajian ini. Walau bagaimanapun, atas dasar ini jugalah, saya masih kekal pada kajian yang asal. Ilmu mengenal Pencipta alam itu amat luas. Semakin kita tahu tentang sesuatu, semakin banyak sebenarnya yang belum kita tahu. Kaji dan terus mengkaji. Tekad saya masih teguh untuk melakukan yang terbaik dalam mengkaji spesies kulat ini yang masih tiada pakar di kawasan Asia Tenggara (cabaran berupa motivasi yang penyelia saya, Prof Baharuddin Salleh, ingatkan berulang-kali).
Pukul 11 pagi esok, temujanji saya dengan penyelia kedua untuk berbincang mengenai kajian molekular yang bakal saya mulakan. Draf ataupun rancangan kasar telah siap siang tadi dan telah dirujuk pada ‘senior’ yang lebih mahir dan berpengalaman.
Pesanan dan dorongan dari ibu bapa, penyelia serta individu di sekeliling saya perlu sebagai sokongan buat diri. Doa saya, moga Allah sentiasa bersama dan memudahkan jalan penyelidikan ini kerana saya yakin, medan yang ditempuh ini juga jihad keranaNya, untuk agama.
~Wardah bt Abdul Rahman
12.31 pagi, 5 Januari 2009
Bukit Gambir, Pulau Pinang