Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Friday, July 18, 2008

Pembelaan terhadap situasi zaman Nabi-Nabi silam. (Part 1)


A bertanya, “Bagaimana pakaian Nabi Adam agaknya?Adakah seperti ‘kurang kain’ yang selalu dilihat pada orang-orang purba yang pernah tinggal di dalam gua dahulu?”

Seorang lagi berkata, “Kesian kan, zaman dahulu bila panas, tak ada kipas yang boleh dipasang. Rumah pun belum tentu selesa macam kita sekarang.”

“Tapi, umat terdahulu hidup lama, bukan seperti kita. Purata umur kita hanya 60 hingga 70 tahun sedangkan hayat umur manusia dahulu panjang. Nabi Nuh sendiri berdakwa
h kepada kaumnya selama 950 tahun,” celah si C.

Ada yang berseloroh berkata, alangkah malangnya umat dahulu kerana tidak pernah makan Pizza!

Pernahkah kita terfikir soalan-soalan di atas? Ataupun ada lagi persoalan lain yang masih berlegar-legar di minda, bertanyakan perihal umat zaman dahulu?

Apa yang sedang saya lakukan sekarang ialah membina model inkuiri yang merangkumi beberapa proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau masalah yang dikemukakan. Antara aspek persoalan berkenaan umat zaman dahulu yang dikaji adalah:
1) ciri biologi manusia (saiz badan, hayat umur)
2) interaksi dan komunikasi
3) nilai dan etika masyarakat
4) keperluan pada zaman tersebut dan lain-lain


Melalui kajian ini, diharapkan situasi zaman Nabi-Nabi terdahulu akan terbela dan saya yakin bagaimana percaturan Allah s.w.t. itu adil kepada semua umat manusia tanpa mengira zaman akan terbukti.

Kupasan selanjutnya dalam siri akan datang..nantikan.


Wardah bt Abdul Rahman
USM

Sunnah Ulama’ Sains Silam

Sunnah Ulama’ Sains Silam

Saya pernah ditanya bagaimana mahasiswa atau pelajar-pelajar IPT di Malaysia boleh menguasai ilmu-ilmu hebat seperti ulama’ silam? Ulama’ pada zaman silam era Abbasiyyah, era Kesultanan Umayyah Andalus, Era Uthmaniyyah dan Kesultanan Delhi bukan sekadar alim dalam ilmu teras Islam iaitu tafsir dan Hadis malahan menguasai hampir keseluruhan isi kandungan manusiawi seperti antropologi, sejarah, politik dan pembangunan, sains dan teknologi, perubatan, astronomi-fiqh (falak) serta bahasa.

Saya pernah terdiam. Akan tetapi jawapannya hanya muncul apabila saya sendiri cuba melalui kesusahan dan kepayahan membaca dan mengkaji pelbagai ilmu diluar jurusan saya di UM dahulu.

Sistem pembelajaran ala barat telah lama bersifat sekular dan menjurus kepada revolusi perindustrian mereka. Revolusi mereka benar-benar mentransformasikan (memugar) nilai dan norma hidup manusia hingga berkiblatkan kepada INDUSTRI dan PEKERJAAN. Lantaran itu kita melihat praktikal pembelajaran di kampus dikenali sebagai Latihan Industri bukannya Latihan Praktikal Akademik.

Cukup takut mahasiswa sains untuk mendekati kuliah-kuliah agama yang agak berat dan serius di kampus. Agak janggal budak engine rasanya ingin menatap buku-buku sosiologi dan sejarah. Cukup terpisah kita dengan hakikat keilmuan sehingga kita cukup takut dengan perkara yang disebut sebagai ‘mentelaah’. Kita hanya dibiasakan dengan istilah assignment (tugasan) kuliah sahaja.

Pernah ada kuliah yang menggunakan istilah arab sedikit sebanyak kerana si pengkuliah ingin menghurai ilmu tafsir Al Quran. Yang menyedihkan apabila ada juga rungutan daripada mahasiswa bekas SMKA atau SMA! Bagi mereka, mereka kini jurusan bukan agama, maka agama bukan lagi yang penting bagi mereka. Jika penting hanya sekadar cukup untuk mengetahui isu Islam secara mendatar sahaja.

Bila kita melihat begitu banyak isu-isu kritikal dan sensitif berkaitan sains dan teknologi, kita tersekat kerana kekangan tidak menguasai ilmu tafsir, bahasa Arab dan hadis secara kukuh. Lantaran itu kita kebanyakannya tidak akan reaktif dengan tindakan untuk membela Islam melalui perspektif sains-Islam. Bagi mahasiswa berlatar belakang agama pula mereka pula tidak memiliki asas didikan sains yang kuat juga. Aliran sains dipandang susah dan sememangnya dogmatik ini yang diterapkan sejak zaman persekolahan.

Alangkah indahnya jika kita diajar seperti ulama’ silam diajar di universiti-universiti silam. Saya berpendapat ia boleh dicipta sendiri!

Caranya adalah kita cipta dunia intelek kita sendiri. Mahasiswa sains perlu tekun dan sabar membaca. Mengkaji benda diluar bilik kuliah mereka.

Dalam tulisan akan datang mungkin saya boleh mengupas peri pentingnya mahasiswa sains menvariasikan pengetahuan mereka disamping merasai pengalaman belajar imu yang di luar kepompong jurusan mereka.

Muhammad Nuruddin Bashah
Sekolah Al Itqan P.P

Thursday, July 17, 2008

Wujudkah hidupan di Marikh?


Reuters pada 16 Julai 2008 melaporkan sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat telah menjumpai bukti yang memungkinkan adanya hidupan di planet Marikh. Antara bukti tersebut ialah:
> mineral di dalam tanah Marikh yang menunjukkan ia pernah diliputi oleh tasik, sungai ataupun kandungan air yang lain.
> ais pada permukaan Marikh dikatakan tinggalan masa lalu yang zamannya lebih panas.
> adanya tanah liat yang biasanya terbentuk pada suhu yang rendah.

Jangkaan yang dibuat oleh para saintis ini ialah planet Marikh yang terletak 35 juta batu dari bumi ini pernah melalui suatu masa ataupun zaman yang suhunya panas dan lembap serta amat sesuai untuk hidupan!

Persoalannya di sini ialah apakah jenis hidupan yang dimaksudkan?
Manusia ataupun hidupan lain yang seiras dengan manusia?

Barat menganggarkan dinasour pertama muncul di bumu kira-kira 230 hingga 220 billion yang lalu iaitu lebih dari 3.5 billion tahun selepas bumi terbentuk. Melalui analisis DNA pula, manusia (homo sapiens) dipercayai hidup sejak 60 000 tahun dahulu di Afrika. Manusia adalah hidupan yang paling sempurna dan kompleks dapat hidup di bumi kerana persekitaran yang Allah s.w.t. ciptakan sememangnya sesuai untuk manusia hidup. Kandungan gas seperti oksigen, air, sumber makanan manusia yang sentiasa berada dalam keseimbangan di bumi membolehkan manusia terus bermandiri hingga ke hari ini.

“lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian, dan anggur dan sayur-sayuran, dan zaiton dan pohon kurma, dan kebun-kebun rendang, dan buah-buahan dan rerumpunan, (semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakmu.” [‘Abasa:27-32]




Adakah Marikh juga berkeadaan sama dengan bumi? Sedangkan ada di antara saintis mendapati Marikh mempunyai lapisan atmosfera yang nipis, berdebu dan udaranya tepu dengan karbon dioksida!

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“…..dan setiap umat mempunyai seorang pemberi peringatan.”
[Al-Fathir:24]

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat(yang menyeru)sembahlah Allah dan jauhilah tahgut….”
[An-Nahl:36]

“Dan tidaklah kami mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa mereka agar ia dapat memberi penjelasan yang terang kepada mereka.”
[Ibrahim:4]

Jelas daripada 3 ayat al-Quran di atas bahawa pada setiap zaman manusia pasti akan diutuskan Rasul untuk membawa risalah aqidah yang mentauhidkan Allah s.w.t. Andai manusia juga wujud di planet Marikh, siapakah Rasul mereka dan bilakah rasul tersebut diutuskan?

Jika betulpun ada hidupan di sana, pastinya bukan manusia yang berakal seperti kita ataupun hidupan lain yang kononnya lebih baik dan maju dari segi pemikiran mahupun teknologi mereka. Mikroorganisma adalah kebarangkalian hidupan terdekat yang mungkin hidup di sana. Barat sebenarnya sering menggembar-gemburkan kewujudan makhluk asing, datang dengan kapal angkasa di dalam filem-filem keluaran mereka sedangkan telah Allah s.w.t. tegaskan dalam surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah Kami jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Pesan saya, janganlah disebabkan tulisan ini kajian berkenaan penciptaan alam ini terhenti sebaliknya jadikan penemuan baru oleh saintis Barat ini sebagai perangsang untuk kita lebih maju dan berdaya saing untuk melakukan pengkajian yang lebih mendalam. Tulisan ini hanya menegaskan bahawa kepercayaan adanya makhluk selain manusia di angkasa lepas adalah bercanggah dengan prinsip usuluddin Islam.

Saya ada saranan bacaan lanjut. Sila klik:
http://munawwarah.blogdrive.com/archive/136.html

Wardah Abd Rahman
Minden, Pulau Pinang.

Thursday, July 3, 2008

Sains Milik Siapa?


Sains itu milik orang Islam?
Saya tertarik dengan persoalan yang diutarakan oleh seorang ahli panel di akhir Forum Hal Ehwal Islam malam tadi. Sekian lama kita hanya mendengar topik Islam dan sains diperkatakan tetapi kali ini siapa yang ‘berhak’ ke atas ilmu sains menjadi persoalan.

Jika diteliti, buktinya jelas terdapat di dalam Al-Quran ,Surah al-Mukminun (ayat 13 & 14). Di dalam ayat-ayat tersebut, proses kejadian manusia telah diterangkan dengan jelas dan terperinci. Selain itu, 1001 ilmu sains lain jika diselongkar pasti dapat kita jumpai di dalam kitab agung umat Islam ini. Secara tidak langsung, persoalan bagaimana tamadun kegemilangan Islam dapat dicapai akan terungkai. Sarjana-sarjana Islam terdahulu menguasai ilmu sains yang terdapat di dalam agama mereka!

Penguasaan ilmu Islam dan ilmu sains berkait rapat antara satu sama lain. Dalam Surah al-Ghasyiah, ayat 17 hingga 20 Allah s.w.t menyatakan,
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?”.

Sains sebenarnya adalah ilmu untuk mengurus alam dan daripada ilmu inilah timbul konsep hamba dan khalifah yang menjawab persoalan fungsi manusia dijadikan di muka bumi ini. Walau bagaimanapun, ilmu sains perlu dipandu oleh ilmu wahyu ataupun ilmu agama kerana jika tidak, lahirlah teori-teori yang kurang jelas dan tak masuk dek akal seperti teori evolusi oleh Charles Darwin yang akhirnya turut sama meragui teori yang diciptanya!

Sebagai pengkaji ilmu sains atau saintis, setiap kajian yang dilakukan adalah ibadah kerana kita sebenarnya dalam sedar atau tidak sedang menghayati konsep tugas sebagai hamba dan khalifah. Kajian yang dilakukan adalah untuk mengagungkan penciptanya serta memakmurkan bumi dan sememangnya rahmat alam dijadikan adalah bagi melahirkan ilmu sains untuk dikaji oleh manusia. Allah s.w.t mencabar akal manusia untuk meneliti setiap kejadian alam di sekeliling mereka kerana hasil kajian/penelitian tersebut, akan lahir pula ilmu astronomi, ilmu pelayaran, ilmu kosmologi, malah ribuan jenis ilmu-ilmu lain. Walau bagaimanapun, akal manusia tetap terhad kerana tiba di satu tahap, kita tidak akan mampu mengkaji lagi perihal ilmu seperti kewujudan syurga dan neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Perlu juga diingatkan bahawa golongan pengkaji dimuliakan Allah s.w.t. dan digelar sebagai ulul albab. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Imran, ayat 190-191 :
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”




Bercerita tentang kajian dalam ilmu sains, saya ingin berkongsi di sini tentang bengkel Fusarium yang telah saya hadiri pada 22 hingga 27 Jun baru-baru ini. Bengkel peringkat antarabangsa ini keseluruhannya memberi pengetahuan kepada para peserta tentang ciri-ciri serta kaedah/metod untuk mengenali Fusarium (salah satu genus kulat utama yang menyerang tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan dan akan mengakibatkan penyakit tanaman seperti reput pada buah dan batang,serta layu vaskular pada batang tumbuhan).

Benarlah Allah s.w.t. juga berbicara melalui ayat-ayatNya yang terdapat di alam semesta. Terasa luasnya ilmu yang boleh dikaji apabila mengikuti bengkel ini. Fusarium hanyalah salah satu kulat yang mendatangkan masalah kepada para petani sedangkan berapa banyak lagi kulat-kulat lain ataupun mikroorganisma lain yang turut sama menyerang tanaman yang sama. Di dalam genus
[1] Fusarium pula terdapat kira-kira 80 spesies yang telah dikenalpasti setakat ini dan semuanya memerlukan kajian yang mendalam untuk membezakan antara satu spesies dengan yang lain. Antara teknik kajian yang digunakan ialah melalui kaedah morfologi[2] dan molekular[3]. Data yang dikumpul akan dianalisis dan hasilnya, spesies kulat dapat dikenalpasti. Saya pernah terlibat dengan kajian Fusarium ketika melakukan projek tahun akhir dahulu. Bukan mudah sebenarnya untuk mengenalpasti spesies kulat ini kerana kepelbagaiannya terlalu tinggi hinggakan pakar pengkelasan kulat ini turut mengakui bahawa hingga kini sistem pengkelasannya sangat rumit dan bercelaru!

Subhanallah…




Wardah bt Abdul Rahman
Bukit Gambir




[1] Susunan pengkelasan biologi bagi kulat (AFIKOFAGS)-alam-filum-kelas-order-famili-genus-spesies
[2] Data yang direkodkan ialah pigmentasi(warna) yang ditunjukkan oleh koloni kulat, kadar pertumbuhan koloni dan kehadiran struktur-struktur kulat yang diperhatikan di bawah mikroskop cahaya.
[3] Kajian ke atas DNA kulat

Sunday, June 8, 2008

2 Tokoh Perubatan Islam dinasti Ayyubi.


Tokoh : As‘ad b. Ilyas b. al-Matran

Tempat lahir : Damsyik

Sejarah hidup :

Ibn Matran berasal dari rangkaian ahli perubatan yang mahir dalam ilmu perubatan Yunani di samping ilmu-ilmu perubatan Islam. Dari usia awal beliau menunjukkan minat dalam ilmu-ilmu perubatan sebahagiannya disebabkan oleh bapanya seorang ahli perubatan terkenal yang telah mendidik secara senyap anak-anaknya dengan ilmu perubatan.

Para sejarawan hanya menukilkan sedikit sahaja tentang kehidupan Ibn al-Matran; hanya sedikit yang diketahui tentang kehidupan awal beliau, dan kita dimaklumkan bahawa beliau pernah diasuh oleh ahli perubatan tersohor Ibn al-Tilmidh.

Kerjaya beliau mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan Sultan Salah al-Din, apabila beliau berkhidmat sebagai tabib diraja. Hubungannya dengan Sultan tidak terhad sebagai doktor peribadi semata-mata bahkan juga sebagai teman rapat dan orang kepercayaan Sultan.

Ibn al-Matran adalah pengumpul buku dan catatan para bijak pandai dan ahli perubatan, dan dikatakan telah membina sebuah perpustakaan yang agak besar mengandungi berbagai jenis buku. Bimaristan al-Nuri terhutang budi kepada Ibn al-Matran di atas sumbangan dan tunjuk ajarnya; tidak jelas sama ada dia pernah berkhidmat di situ sebagai tabib atau tidak, bagaimanapun bolehlah dianggap bahawa dia telah memberikan banyak tunjuk ajar kepada ramai orang, antaranya Ibn al-Dakhwar.

Karya :

(a) Bustan al-Atibba’ wa Rawdat al-Alba’, yang mengandungi perbahasan Ibn al-Matran dengan sahabat sahabat dan guru-guru beliau. Ia merupakan suatu bacaan yang menarik yang mengandungi pandangan-pandangan Ibn Matran terhadap pencapaian- pencapaian dan masalah-masalah pada zaman itu. Turut dimasukkan ialah perbincangan tentang asal-usul perubatan menurut pandangannya, yang dimasukkan sebagai mukadimah kepada karya Ibn Abi Usaybi‘ah, Uyun al-Anba’;

(b) al-Maqalah al-Najmiyyah, suatu risalah khusus berkenaan kebersihan, penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit. Buku-buku sedemikian amat popular di dunia Arab sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan terhadap penyakit.


Tokoh : Abu al-Makarim Hibatallah Nathana b. Ifra‘im b. Jumay’ al-Isra‘ili.

Tempat lahir : Fustat, bahagian lama Kaherah.

Sejarah hidup :

Beliau belajar ilmu perubatan di bawah pengawasan Abu Nasr al-Ayn al-Zarbi. Tidak lama selepas itu, pengetahuannya tentang berbagai jenis dadah dan rawatan penyakit, di samping kemahirannya dalam bahasa Arab mula menonjolkan dirinya. Menurut Ibn Abi Usaybi‘ah sebab yang memungkinkan Ibn Jumay’ mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan dan penyembuhan ialah pengajiannya di bawah Ibn al-Ayn al-Zarbi.


Karya :

(a) Kitab al-Irshad li Masalih al-Anfus wa ‘l-Ajsad: dalam mukadimahnya dia memuji al-Qadi al-Fadil Abd al-Rahman, wazir kepada Sultan Salah al-Din, dan menujukan kitab itu kepadanya. Tibb al-Adyan wa Tibb al-Abdan adalah rangka utama karya ini, dan ia dibahagikan kepada empat risalah: pertama, pengetahuan umum tentang perubatan; kedua, berkenaan material medical; ketiga, berkenaan terapi dan penjagaan kesihatan; keempat, berkenaan dadah dan campurannya.

(b) Al-Maqalah al-Salihiyyah: mengandungi pandangannya berkenaan kemerosotan kerjaya perubatan dan cita-citanya bagi memperbaiki keadaan itu.

(c) Al-Tasrih: suatu syarah dan tafsiran terhadap Qanun fi al-Tibb Ibn Sina. Ibn jumay’ cuba memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan kehidupan dan amalan perubatan yang diterimapakai pada zaman itu.



*goodluck buat 'team molecular'...fusarium workshop, 13 hari lagi... =]
http://www.usm.my/bio/bioschool/Fusarium08/Fusarium08.html

Sunday, May 18, 2008

PERMATA HITAM MULA DIGENGGAM AL-MASUDI

Saya mengambil peluang menemani ayah ke kedai menjual buku terpakai di Chowrasta, Georgetown pada pagi Sabtu yang lalu. Sebenarnya ini satu peluang yang baik memandangkan saya boleh ‘tumpang sekaki’ membeli majalah Dewan Kosmik terpakai yang mula mendapat tempat di hati saya selepas diperkenalkan oleh Cikgu Nuruddin kira-kira dua bulan yang lepas. Sasaran saya tercapai akhirnya apabila ayah membayar RM10 untuk 10 majalah yang saya pilih berdasarkan tajuk utama yang menjadi fokus keluaran tersebut. Untung rasanya boleh memiliki majalah yang harga asalnya RM4.50. Belum lagi termasuk lambakan ilmu pengetahuan sains dan teknologi di dalamnya yang pasti tak ternilai!


Dewan Kosmik keluaran Oktober 2005 memfokuskan eksploitasi beberapa sumber tenaga lain yang boleh digunakan bagi menggantikan penggunaan petroleum yang semakin meningkat harganya di dalam negara mahupun di peringkat dunia. Bekalan petroleum amat diperlukan bagi tujuan pembangunan industri sesebuah negara hingga pernah dikatakan negara yang menguasai minyak turut akan menguasai dunia. Oleh sebab itu tidak hairanlah jika negara besar seperti Amerika Syarikat sekarang begitu rakus cuba menguasai negara-negara yang kaya dengan minyak dan siapa boleh menjangka bahawa orang pertama yang menjumpai permata hitam yang amat bernilai ini adalah orang Islam bergelar Al-Masudi!

Al-Masudi menggunakan istilah ‘atam’ untuk menerangkan tentang telaga terbakar atau telaga minyak yang ditemuinya di Sicily, Oman, Hadralmaut di Yaman, Iraq, Parsi, Turki, Tashkent, India dan Kepulauan Sumatera. Salah satu tempat yang terkenal dengan pengeluaran minyak petroleum ini pada zamannya ialah Baku. Jumlah minyak yang dihasilkan di sini cukup menakjubkan Al-Masudi sehingga beliau menggelarkan wilayah itu sebagai ‘bilad al naffata’ yang bermaksud tanah yang memancutkan minyak. Minyak Baku seperti yang dijelaskan oleh Al-Masudi dalam catatannya adalah amat luar biasa dan beliau menyifatkannya seperti ‘api yang abadi’. Penjelasannya itu secara tidak langsung telah menarik perhatian banyak ahli geografi Arab untuk mengkajinya. Mereka telah melantik Al-Masudi sendiri mengetuai penyelidikan itu disebabkan tiada sesiapa pun yang sezaman dengannya menulis mengenai petroleum melebihi daripada apa yang Al-Masudi catatkan.


Pada masa yang sama, Al-Masudi telah menghabiskan banyak masa untuk menjelajah dan juga mengukur Laut Caspian di samping mengkaji masyarakat yang tinggal di pesisiran pantai berkenaan. Beliau ada mencatatkan beberapa perihal mengenai Baku seperti berikut;


“Pancutan nafta di Negara Shirwan berhadapan Golden Hordes merupakan punca daripada mana nafta putih diperoleh. Di sana juga terdapat telaga api yang mana api muncul daripada tanah. Di seberang pancutan nafta di Baku, terdapat pula sebuah pulau yang mengandungi telaga terbakar. Ia boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam pada jarak tertentu.”


Menurut Al-Masudi lagi, pada pertengahan abad ke sepuluh, Baku telah berkembang maju dan mempunyai bilangan penduduk mencecah antara 10 000 hingga 15 000 orang. Kebanyakan mereka menjana ekonomi dalam kehidupan daripada industri penghasilan minyak atau minyak syal selain perkhidmatan pengangkutan kapal atau kereta sorong unta. Disebabkan kegemilangan pelabuhan ini, Baku telah muncul sebagai pengeksport utama bagi dua jenis minyak iaitu minyak biasa dan minyak syal daripada Asia Tengah ke pasaran Parsi dan Timur Tengah. Dengan melalui Sungai Volva, beberapa bahagian Eropah turut mengimport minyak daripada Baku.


Berikut adalah ringkasan biografi Al-Masudi :

Nama sebenar : Abul Hasan Ali Ibnu Husain Ibnu Ali

Keturunan : Abdullah Ibnu Mas’ud (salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w.)

Asal : Golongan Arab Muktazilah

Gelaran : Hero Arab (Herodotus of the Arab), Ibn Khaldun menerangkan Al- Masudi sebagai ‘imam’ (ketua atau contoh) untuk ahli sejarah.

Lahir : 895, Banghdad

Bidang yang dikuasai : Sejarah, geografi,falsafah, sains.

Penemuan :

  • Petroleum yang dinamakan ‘atam’.
  • Pengarang pertama yang menceritakan tentang kincir angin, yang dicipta oleh seorang saintis Islam di Sijistan.
  • Salah seorang saintis terawal yang berani mengutarakan beberapa aspek takrif evolusi, daripada mineral kepada tumbuh-tumbuhan dan daripada tumbuh-tumbuhan kepada haiwan sebelum berakhir dengan manusia. Kajian dan pandangannya secara intensif banyak dipengaruhi oleh historiografi, geografi dan sains bumi bagi beberapa negara yang dilawatinya.

Buku yang ditulis:

i) Muruj adh-dhahab wa ma'adin al-jawahir (The Meadows of Gold and Mines of Gems)

-mengisahkan pengalamannya menjelajah banyak negara dan mengenali pelbagai bangsa selain mengalami perubahan iklim.

-turut dilaporkan ialah hubungan peribadinya dengan orang Yahudi, Iran, India dan Kristian.

-versi bahasa Perancis telah diterbitkan antara tahun 1861 dan 1877.

-17 bab pertama mula diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Aloys Sprenger yang kini diterbitkan oleh Antioch Gate.

ii) Muruj Al Zaman (The History of Time)

– ditulis di Kaherah, mengandungi 30 bab.

- menceritakan sejarah politik, geografi dan keadaan masyarakat negara yang dilawati dan dunia secara umumnya.

- dipercayai hanya 1 daripada 30 jilid masih disimpan di Vienna.

iii) Kitab al-Ausat

- dikatakan sebagai tambahan kepada kitab Muruj Al Zaman.

- mengandungi kronologi peristiwa sejarah dan kitab ini berjaya disiapkan pada tahun kematiannya.

- dipercayai masih disimpan di Perpustakaan Bodleian, Oxford (England).

iv) Kitab Al Tanbih wa al Ishraf (Book of the Middle)

- ditulis sebelum kematiannya.

- sebagai rumusan kepada buku terawalnya sebagai ralat kepada sebelumnya.

- mengandungi kajian sistematik tentang sejarah yang bersandarkan ilmu geografi, sosiologi, antropologi dan ekologi.

Meninggal dunia : 957, Kaherah



Wardah bt Abdul Rahman

Bukit Gambir, Penang.


* Bagi yang belum pernah ke kedai buku di Chowrasta, rajin-rajinlah panjangkan langkah anda ke sana, syurga buku, macam-macam ada..!


Sunday, May 11, 2008

Keilmuan sains Islam adalah ciplak?

Sejarah peradaban sains Islam dikatakan suatu ciplakan daripada Tamadun Sumeria. Apakah jawapan anda jika diajukan kenyataan tersebut? Benarkan tiada ketamadunan Sains yang asli daripada Islam? Bagaimanapula keautentikan (ketulenan) Al Quran sebagai sumber keilmuan sains Islam di sini? Pada saya semua tamadun adalah kesinambungan setiap tamadun yang tenggelam. Setiap kebangkitan tamadun sains baru, proses peralihan keilmuan dan peminjaman perbendaharaan ilmu juga perlu dan wajib berlaku kerana kemanusiaan adalah suatu perjalanan sejak zaman Nabi Adam a.S. saya berasa sedih apabila membuka laman web Mysteries Of Science (http://www.world-mysteries.com/sci_13.htm) . Mereka hanya menceritakan perjalanan keilmuan sains sejak Tamadun Indus, Inca dan Sumeria. Peliknya tiada kesinambungan dengan tamadun Islam ! hanya terus kepada sains moden. Inilah prejudis yang wujud dalam dunia sains tajaan barat.







Dibawah pula adalah jawapan kepada klip tuduhan tersebut. (yang dikatakan disadur daripada Tamadun Sumeria)




Pesanan penaja: PASTIKAN PC ANDA BOLEH MEMBUKA YOUTUBE

Wardah Abdul Rahman (comel)