Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Sunday, December 5, 2010

Masyarakat Malaysia kurang kesedaran akan bahaya mikotoksin


PULAU PINANG, 1 Dis – Tahap kesedaran masyarakat di negara ini berhubung bahaya pencemaran mikotoksin (racun kulat) dalam makanan dianggap masih rendah dan membimbangkan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Baharuddin Salleh berkata, mikotoksin adalah sejenis racun atau toksin yang terhasil daripada kulat yang tumbuh pada makanan dan hasil pertanian yang tidak dijaga atau disimpan dengan baik.

Katanya, kehadiran mikotoxin dalam makanan boleh mengakibatkan pelbagai implikasi buruk terhadap kesihatan manusia dalam jangka masa panjang, termasuk risiko diserang kanser, kegagalan buah pinggang, barah hati dan paling buruk boleh membawa maut.

``Justeru, satu langkah proaktif perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran semua pihak untuk lebih mengambil berat berhubung isu penjagaan makanan dengan selamat bagi mengelak pembiakan kulat bertoksin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Antarabangsa Mikotoksin 2010 yang julung kalinya diadakan dia Asia dan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Asma Ismail.

Baharuddin turut berkata, perkara yang lebih membimbangkan berkenaan mikotoksin adalah sifatnya yang mudah membiak di negara-negara yang berpersekitaran panas dan lembap seperti di negara ini.

``Mikotoksin ini tahan kepada suhu panas dan bersifat akumulatif, iaitu tidak akan musnah dan apabila mula melekat pada organ manusia, ia akan membiak dari masa ke masa hingga mengakibatkan kerosakan pada organ tersebut,’’ jelasnya.

Antara makanan yang berisiko dan paling kerap dicemari mikotoksin termasuk makanan dalam tin, nasi, roti, daging siap diproses, susu bayi, makanan haiwan dan sebagainya. Baharuddin yang turut berperanan sebagai pengerusi bersama persidangan, penyakit yang paling kerap dikaitkan dengan mikotoksin adalah barah hati dan kegagalan buah pinggang.

Beliau berkata, persidangan ini adalah paltform terbaik untuk saintis dan profesional berbincang dan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini dari terus membelenggu manusia khususnya bagi masyarakat yang berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar,’’ jelasnya.

Sementara itu, persidangan yang berlangsung dari 1-4 Disember itu disertai oleh lebih 200 peserta dari seluruh dunia, termasuk pakar-pakar seperti Pengarah, Nutrition and Consumer Protection Division, FAO, Italy, Ezzedin Boutrif, Ko-ordinator MycoRed, Etienne Duveiller dan Presiden ISM, Deepak Bhatnagar.

Persidangan ini anjuran bersama EU MycoRed, International Society of Mycotoxicolgy, International Maize And Wheat Improvement Center (CIMMYT) Mexico, Food and Agricultural Organization of the United Nations (FAO) dan Institute of Sciences of Food Production of the National Research Council (ISPA-CNR) Italy.


Sumber : http://www.usm.my/index.php/en/about-usm/news-archive/66-news-highlight/7353-masyarakat-kurang-sedar-bahaya-mikotoksin.html
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramaitidaksedarbahayamakananyangdisimpanlama/Article/

No comments: