Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Tuesday, December 28, 2010

Kejayaan Kursus Latihan Mikotoksin di Malaysia


Kejayaan Kursus Latihan Mikotoksin di Malaysia

Program interaktif iaitu kursus latihan mikotoksin (Mikotoksin Training Course) yang julung kali diadakan di Malaysia serta dianjurkan secara bersama antara Universiti Sains Malaysia, MycoRed dan MoniQA pada 6 hingga 10 Disember 2010 baru-baru ini bertujuan menerapkan kesedaran dan pendidikan secara langsung dalam diri peserta. Sekalung tahniah buat USM khususnya Prof. Baharuddin Salleh selaku orang kuat yang telah berjaya menghimpunkan sejumlah 12 orang pakar dalam bidang penyelidikan keselamatan makanan dan persekitaran, toksin dan pestisid, pengurusan agrikultur dan pembangunan ekonomi, mikologi dan pastinya mikotoksin.

Saya adalah antara mereka yang berpeluang menjadi antara 27 orang peserta dan duduk berbincang dengan golongan pakar yang didatangkan khas dari benua Eropah ini. Mengapa pakar dan saintis dari institut penyelidikan serta universiti dari United Kingdom, Netherlands, Austria, Belgium dan Italy ini dijemput? Realitinya, Eropah adalah benua yang amat menekankan aspek keselamatan dan pengawalan makanan khususnya dari dicemari oleh toksin bawaan kulat.

Suruhanjaya Eropah (Europe Commision) dan Kesatuan Eropah (European Union) mempunyai saluran yang terperinci sebelum sesuatu piawaian atau kadar maksimum mikotoksin dalam makanan boleh dikuatkuasakan. Mereka amat mementingkan penyelidikan awal berkaitan kaedah terbaik penghasilan, penyimpanan dan pengangkutan produk makanan. Malah, data dan maklumat hasil penyelidikan ini turut digunakan bersama sebagai rujukan untuk menetapkan peraturan pemakanan mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah bahawa kini negara Eropah sudah mempunyai lebih daripada 15 undang-undang atau peraturan yang merangkumi had mikotoksin dalam pelbagai jenis makanan, keperluan analisis dan ujian makmal, kaedah persampelan serta langkah kawalan import dan eksport makanan. Selain itu, mereka mempunyai sistem RASFF (Rapid Alert System for Food and Feed) yang sejak 30 tahun lalu telus memberi maklumat dan risiko kesihatan yang mungkin dihadapi oleh pengguna berkenaan keselamatan makanan yang dipasarkan. Maka, pemilihan golongan pakar dari benua Eropah amat bertepatan dengan keperluan kursus.

Sepanjang kursus ini berlangsung, tiga aspek utama telah disentuh iaitu agrikultur, peraturan dan analisis makmal. Rantaian makanan (food chain) diterangkan dengan jelas supaya peserta dapat melihat keperluan pencegahan pencemaran mikotoksin dilakukan dalam setiap peringkat. Pengalaman dan latar belakang setiap pakar yang berbeza membuatkan sesi perbincangan menjadi lebih menarik dan berkesan.

Selain mengikuti kuliah, peserta juga dibawa melawat kilang memproses makanan haiwan dan sos soya di Butterworth. Kilang memproses makanan haiwan ini dipercayai satu-satunya kilang yang mengamalkan pemeriksaan kualiti dan pengawalan mikotoksin menyeluruh bermula dari ladang tanaman hingga pengedaran produk kepada pembeli. Lawatan ke Jabatan Kimia Malaysia pula memberi pendedahan kepada kami berkenaan analisis mikotoksin yang dilakukan ke atas sampel yang dihantar oleh Jabatan Kesihatan Malaysia dan orang perseorangan. Secara tidak langsung, sesi kuliah yang baru diikuti sebenarnya telah diterjemahkan secara praktikal di lapangan sebenar walaupun dalam aspek tertentu sahaja.

Kursus latihan ini adalah lanjutan daripada persidangan antarabangsa mikotoksin (International Mycotoxin Conference) yang telah diadakan pada 1-4 Disember 2010 di Pulau Pinang. Persidangan yang pertama kali diadakan di Asia ini telah menghimpunkan lebih daripada 150 peserta dari seluruh pelusuk dunia yang datang membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikan mereka.

Kejayaan penganjuran persidangan dan kursus latihan seperti ini di negara kita seharusnya dipuji dan dibanggakan. Walau bagaimanapun, tujuan penganjurannya harus diutamakan. Platform yang mengumpul golongan saintis dan profesional ini diharapkan dapat membuka mata semua pihak yang terlibat untuk mengambil berat soal keselamatan makanan sehari-hari dan mencari kaedah penyelesaian terbaik. Seperti mana artikel yang pernah disiarkan oleh DK beberapa keluaran lalu, mikotoksin adalah toksin semulajadi yang dihasilkan oleh kulat, ia hanya boleh dikawal dan tidak boleh dihapuskan.


Wardah bt Abdul Rahman

USM, Pulau Pinang.

No comments: