
PULAU PINANG, 1 Dis – Tahap kesedaran masyarakat di negara ini berhubung bahaya pencemaran mikotoksin (racun kulat) dalam makanan dianggap masih rendah dan membimbangkan.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Baharuddin Salleh berkata, mikotoksin adalah sejenis racun atau toksin yang terhasil daripada kulat yang tumbuh pada makanan dan hasil pertanian yang tidak dijaga atau disimpan dengan baik.
Katanya, kehadiran mikotoxin dalam makanan boleh mengakibatkan pelbagai implikasi buruk terhadap kesihatan manusia dalam jangka masa panjang, termasuk risiko diserang kanser, kegagalan buah pinggang, barah hati dan paling buruk boleh membawa maut.
``Justeru, satu langkah proaktif perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran semua pihak untuk lebih mengambil berat berhubung isu penjagaan makanan dengan selamat bagi mengelak pembiakan kulat bertoksin,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Antarabangsa Mikotoksin 2010 yang julung kalinya diadakan dia Asia dan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Asma Ismail.
Baharuddin turut berkata, perkara yang lebih membimbangkan berkenaan mikotoksin adalah sifatnya yang mudah membiak di negara-negara yang berpersekitaran panas dan lembap seperti di negara ini.