Malaysian Young Scientist Assembly 2011

Friday, October 16, 2009

Bengkel Penulisan Artikel Saintifik

Semalam, 15 Oktober, saya mengikuti bengkel penulisan artikel bagi tujuan penerbitan dalam jurnal antarabangsa. Seawal jam 8.15 pagi, saya bersama rakan-rakan lain yang turut melakukan penyelidikan di dalam makmal yang sama bergerak menuju ke Dewan Budaya USM. Bengkel ini sebenarnya saban tahun dianjurkan oleh Institut Pengajian Siswazah USM tetapi buat julung kalinya tahun ini, Pusat Pengajian Sains Kajihayat berjaya menjadi penganjur.

John F. Leslie bukanlah seorang yang asing dalam bidang patologi tumbuhan khususnya. Bagi mereka yang melakukan penyelidikan dalam bidang ini dan juga mengenai Fusarium pasti menjadikan salah satu artikelnya sebagai bahan rujukan. Profesor dan Ketua Jabatan Patologi Tumbuhan di Universiti Kansas State, AS ini telah menulis lebih 150 artikel dan telah diterbitkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau juga berpengalaman menjadi 'reviewer' di beberapa jurnal ISI. Oleh itu, sudah pastilah peluang sehari berbengkel dan menuntut ilmu penulisan bersama beliau tidak akan disia-siakan.

Satu demi satu langkah format penulisan saintifik diterangkan kepada kami semua. Selain itu, beliau turut menyelitkan kaedah pengurusan masa menulis, kepentingan penulisan saintifik dalam dunia penyelidikan serta 'do' dan 'don't' yang perlu diikuti. Pada sesi petang pula kami diminta menyemak abstrak seorang penyelidik dan menanda bahagian yang didapati salah. Hasilnya, walaupun abstrak yang sama telah digunakan dalam bengkel penulisan beliau sebelum ini, saya masih gagal menyenaraikan semua kesalahan yang terdapat pada penulisan tersebut. Ini baru abstrak, belum lagi keseluruhan artikel diberi untuk disemak.

Apabila melihat kesalahan orang lain, saya cuba membandingkannya dengan hasil penulisan yang terdahulu. Banyak benar aspek penulisan khususnya penulisan artikel saintifik yang perlu diperbaiki. Teringat pula pesan penyelia kajian saya, pastikan draf artikel yang ditulis telah disemak berkali-kali hingga muak!

Bengkel sebegini sangat memberi manfaat terutamanya bagi pelajar dan penyelidik. Selain penceramah yang bukan sembarangan orang, ilmu penulisan yang diajarkan juga sangat releven dengan keperluan sesebuah penyelidikan dilakukan iaitu untuk berkongsi hasilnya dengan orang lain. Banyak yang boleh dikongsi dari bengkel ini. InsyaAllah, saya akan cuba masukkan sedikit demi sedikit dalam 'posting' yang akan datang.



Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.



Thursday, October 8, 2009


Selama hampir 2 tahun terlibat dalam dunia penyelidikan, terus-terang saya katakan saya menyukainya dan jika berpeluang menyambung lagi pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), saya memilih untuk melakukan kajian terhadap mikotoksin. Sehari dua ini perkara ini yang berlegar-legar di fikiran saya. Mungkin impak 'posting' yang sebelum ini. Ditambah pula kadang-kadang saya leka melihat kawan-kawan di makmal melakukan proses pengektrakan mikotoksin daripada beras yang telah dieramkan (incubate) dengan Fusarium.


'Mycotoxin profile of Aspergillus isolated from beans in Malaysia'. Mungkinkah ini tajuk penyelidikan saya nanti? Objektif kajian? Keperluan kajian? Banyak perkara yang perlu difikir ldan dipertimbangkan.


Wardah bt Abdul Rahman
merancang di sudut makmal..


Monday, October 5, 2009

Mikotoksin, Pembunuh Senyap dalam Makanan


Aduh, baru sahaja saya buka penutup plastik roti/bun sosej ini, sejenis bau menerpa ke hidung. Ini bukan sesi berkongsi resepi ya. Roti ini memang sedap, baunya enak, dibeli di pasaraya Nobita (bukan nama pasaraya yang sebenar) pada malam Ahad yang lalu. Pada penutupnya tertulis tarikh luput 7 Oktober. “Boleh la ni, nampak sedap, macam baru dibakar. Boleh dibuat makanan sahur.” Ini fikiran pertama saya tatkala membelek bungkusan roti ini.

Tengah hari ini saya pulang untuk solat Zohor dan makan di bilik. Hajat di hati ingin menghabiskan roti yang baru diusik sedikit. Malang sekali, Aspergillus sudah menyerang lebih awal!

Mungkin tidak ramai di antara kita akan meneliti kembali makanan yang sudah tercemar atau rosak. Saya cuba mengambil pendekatan yang berbeza. Sambil menutup hidung (langkah berjaga-jaga). Saya membelek dan mencari sudut yang sesuai untuk melihat dengan lebih dekat kulat tersebut. Hidung perlu ditutup bagi mengelakkan spora kulat yang sangat ringan dan mudah tersebar melalui angin memasuki r
uang pernafasan. Ada akibat buruknya jika tidak ditutup.

Melalui pengamatan dan berbekalkan pengetahuan saya tentang morfologi beberapa jenis kulat terutamanya dari genus Aspergillus, dapatlah saya katakan kulat ini sudah merampas makanan saya. Tiada rezeki, kata orang.



Beberapa genus kulat seperti Aspergillus, Penicillium dan Fusarium berupaya menghasilkan toksin sebagai metabolit sekunder apabila tumbuh pada sesuatu jenis makanan. Toksin ini dikenali sebagai mikotoksin (miko=kulat). Selain makanan yang sudah dimasak, mikotoksin juga mudah dijumpai pada tumbuhan kekacang, jagung, tumbuhan berumbisi dan sebagainya.

Utusan Pengguna yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah menyiarkan hasil kajian mereka berkenaan jumlah aflatoksin(sejenis mikotoksin yang dihasilkan oleh Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus) yang terkandung dalam mentega kacang, kacang dan produk kacang dalam keluaran Mac-April 2007 yang lalu. Kajian menunjukkan bahawa paras aflatoksin yang berada dalam beberapa jenama mentega kacang terkenal di pasaran melebihi paras yang dibenarkan di bawah Peraturan Makanan Malaysia 1985. Begitu juga dengan produk berasaskan kacang yang lain.

Radang paru-paru (aspergillosis), kekurangan imun dan kanser hati adalah antara penyakit kronik yang boleh disabitkan dengan kehadiran toksin khususnya toksin yang dihasilkan oleh genus kulat Aspergillus di dalam organ manusia. Proses kemasukan spora kulat ini boleh melalui rongga pernafasan manusia secara langsung (sebab utama saya menutup hidung tadi) atau melalui makanan yang sudah tercemar dengan toksin yang dihasilkannya.

Bagaimana pula makanan yang telah dimasak? Bukankah semua mikroorganisma telah dimatikan melalui proses ini? Sebenarnya, tidak semua mikroorganisma berjaya dibunuh. Toksin misalnya stabil pada suhu yang tinggi dan tidak boleh dimusnahkan melalui masakan biasa. Jika tidak, masakan Peraturan Makanan Malaysia 1985: Jadual Kelima Belas (Peraturan 39) Jadual II menggariskan bahawa paras aflatoksin maksimum yang dibenarkan ialah 15 bahagian per bilion (bpb) bagi kacang mentah dan 5 bpb bagi produl makanan yang lain.

Di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, ramai saintis mereka bekerja dalam bidang kajian pertanian yang memerlukan pakar untuk mengenalpasti mikotoksin yang dihasilkan oleh kulat yang menjangkiti tanaman di negara mereka. Selain itu, mereka juga berpeluang mengkaji langkah kawalan dan racun kulat yang sesuai diaplikasikan di samping memastikan bekalan makanan seperti jagung, soya, bijiran tersebut tidak terjejas.

Bengkel (workshop) mahupun persidangan (conference) berkenaan kaedah pengenalpastian kulat dan mikotoksin pasti menjadi tumpuan pengkaji-pengkaji dalam bidang ini. 'International Fusarium Laboratoty Workshop' yang pernah saya hadiri penghujung bulan Jun tahun lalu telah menghimpunkan hampir separuh peserta yang latar belakang mereka adalah dari pusat penyelidikan dan pusat pengajian agrikultur negara masing-masing di Korea, Sudan, Australia, Indonesia dan Amerika Syarikat. Dijangka pada bulan November 2010 pula, USM akan menjadi tuan rumah yang kedua untuk 'International Mycotoxin Conference'. Prof Baharuddin Salleh, penyelia saya yang menjadi orang penting untuk persidangan ini menganggarkan lebih 300 peserta akan turut serta. Mudah-mudahan saya dapat menjadi salah seorang daripada mereka.


Permulaan tulisan saya ini hanya untuk menceritakan Aspergillus pada roti saya yang telah tercemar. Sekarang panjang pula jadinya. Ingatan dari saya, berhati-hatilah dengan makanan yang kita makan sehari-hari. Secara nyata atau tidak, mikotoksin dalam makanan mampu mengganggu kesihatan kita.


Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.


Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi di Padang

Belum pun reda bantuan yang dipohon dan dihulurkan untuk mangsa gempa bumi di Padang, berita yang terbaru, gempa bumi yang lebih kuat mungkin akan menyusul (lihat posting sebelum). Patutlah K. Darnetty masih risau, bisik hati saya. K.Darnetty ialah salah seorang pelajar PhD di makmal saya yang sering berulang alik dari Padang, Indonesia ke Malaysia bagi menyiapkan kajiannya berkenaan mikotoksin kulat Fusarium.

Minggu lepas saya bertanyakan berita tentang K. Darnetty selepas mengetahui kawasan tempat tinggalnya terlibat dengan bencana alam ini. Alhamdulillah, jawapan yang positif diterima melalui K. Bintra, seorang lagi kawan semakmal yang tinggal di Acheh. Menurut K.Bintra lagi, itupun selepas 3 hari dia bertanya baru beroleh jawapan kerana sistem komunikasi terganggu ketika itu.

Sebenarnya sukar juga membayangkan keadaan sebenar ketika gempa bumi berlaku. Bayangkan sebelum gempa bumi berlaku , beberapa talian komunikasi telah terganggu.
Kepulauan Indonesia khususnya Padang yang terletak di Sumatera sememangnya pernah dilanda gempa bumi yang kecil sebelum ini. Struktur bangunannya yang asalnya dibina kukuh semakin tidak terjamin kestabilannya. Sebab itulah banyak bangunan yang runtuh malah ada yang ranap sama sekali menyembah bumi sebaik sahaja gempa bumi Rabu lalu berlaku. Mungkin juga mangsa yang terperangkap sebenarnya dalam usaha untuk keluar dari bangunan tetapi disebabkan lewat beberapa saat, mereka terperangkap dan hingga kini belum tentu telah dijumpai atau belum.

Syukur, tanah kita berada kini tidak diancam dengan bencana alam sedemikian. Walau bagaimanapun, bantuan tetap diperlukan dan dihulur semampu mungkin. Klik pada gambar Tabung Gempa Padang di bawah untuk mengetahui cara menghulurkan bantuan melalui organisasi kemanusiaan, Muslim Aid Malaysia
.


Wardah bt Abdul Rahman
Makmal Patologi Tumbuhan, USM

Gempa bumi di Padang mungkin belum berakhir

Sumber : Berita Harian online, Selasa, 5 Oktober 2009

Gempa bumi dahsyat masih ancam Padang

JAKARTA: Ketika Sumatera Barat masih berduka dilanda gempa bumi 7.6 skala Richter yang mengorbankan lebih 600 orang dan ratusan lain hilang setakat tengah hari ini, Indonesia dikejutkan dengan kemungkinan gempa lebih besar melebihi 8.0 akan berlaku.

Sambil mengakui tiada siapa atau teknologi yang dapat meramalkan dengan tepat tarikh gempa bumi besar itu, pakar berpendapat gempa bumi itu akan lebih dahsyat seperti yang menyebabkan tsunami pada Disember 2004 serta mengorbankan lebih 200,000 orang di beberapa negara.

Pakar geologi Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Danny Hilman Natawidjaja, berkata tekanan telah membentuk garis tekanan di sekitar wilayah Padang sejak beberapa tahun lalu.

"Gempa berukuran 7.6 pada 5.16 petang Rabu lalu yang menggoncang Padang bukan termasuk "skala besar". Itu bukan gempa yang sering kita perbincangkan bakal terjadi, yakni gempa dahsyat lebih dari 8.0 yang memicu tsunami," katanya dalam satu kenyataan.

Danny, dalam penyelidikannya di luar pantai Sumatera selama 12 tahun bersama rakan penyelidik, Prof Kerry Sieh, dari Nanyang Technology University (NTU, Singapura) yakin akumulasi tekanan dapat mengakibatkan gempa 8.8 dan kekuatan gempa itu adalah kira-kira 30 kali lebih besar berbanding gempa Rabu lalu.

"Secara ilmiah, saya boleh katakan gempa yang dahsyat itu mungkin berlaku esok, lusa, bulan depan, atau mungkin tahun depan. Paling tidak, itu akan terjadi dalam 10 tahun akan datang.

"Secara pribadi, saya khuatir jika gempa tersebut terjadi dalam beberapa bulan atau tahun akan datang. Tapi, sebagai ilmuwan, kami sering terkejut oleh fenomena alam," katanya.

Pada 2004, gempa berkekuatan 9.15 pada skala Richter yang berpusat sekitar 600 kilometer ke utara Padang memicu gelombang tsunami mengakibat lebih 200,000 orang terkorban di Acheh serta beberapa negara pesisir Lautan Hindi .

Danny berkata, gempa berkekuatan 8.8 akan mengakibatkan gelombang tsunami setinggi empat hingga 10 meter melanda Padang yang didiami kira-kira 4.4 juta penduduk. - Bernama

Saturday, October 3, 2009

DNA dalam hidupan


Tubuh manusia mengandungi lebih daripada 10 trilion sel. Dalam setiap sel terdapat nukleus yang menjadi pusat kawalan aktiviti sel. Dalam nukleus pula terdapat kromosom yang terdiri daripada molekul asid deoksiribonukleik (DNA) dan protein yang membawa maklumat genetik manusia. DNA akan bereplikasi ketika proses pembiakan berlaku dan hasilnya, sifat-sifat organisma induk (ibu dan bapa) akan diturunkan pula kepada progeni(anaknya).

'Ujian DNA' kini sudah mula memasuki ruang mahkamah. Keperluannya sebagai bahan bukti dalam siasatan tidak dapat disangkal. Molekul warisan ini juga membawa pengaruh yang besar hinggakan saya gemar bersaing dengan pasukan CSI Las Vegas mencari bukti DNA di tempat kejadian jenayah. Seringkali juga saya kalah kerana drama yang ditonton bukanlah permainan yang menyediakan siri pilihan jawapan!

Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya terubat juga sedikit-sebanyak cita-cita saya dahulu untuk menjadi pakar forensik bahagian siasatan jenayah. Sekarang pula saya banyak 'bermain' dengan DNA kulat. Haha, nasib la.


Ketika melayari internet tempoh hari, saya terjumpa beberapa web yang menyediakan animasi yang mudah difahami dan berkaitan dengan kajian saya sekarang. Sangat menarik! Ada juga yang menyediakan sesi tutorial.


Polimerase Chain Reaction (PCR) http://users.ugent.be/~avierstr/principles/pcrani.html

Gel electrophoresis http://learn.genetics.utah.edu/content/labs/gel/

DNA sequencing
http://www.dnai.org/b/index.html



Wardah bt Abdul Rahman
sering membayangkan molekul seni dan proses yang terlibat, kini tidak lagi.
kredit kepada drama CSI dan teknologi animasi..



Troubleshooting


Troubleshooting, adalah sebuah istilah dalam bahasa Inggris, yang merujuk kepada sebuah bentuk penyelesaian sebuah masalah. Troubleshooting merupakan pencarian sumber masalah secara sistematis sehingga masalah tersebut dapat diselesaikan. Troubleshooting, kadang-kadang merupakan proses penghilangan masalah, dan juga proses penghilangan penyebab potensial dari sebuah masalah. Troubleshooting, pada umumnya digunakan dalam berbagai bidang, seperti halnya dalam bidang komputer, administrasi sistem, dan juga bidang elektronika dan kelistrikan.

sumber : yahooanswers


Dalam kajian sains, troubleshooting adalah perkara biasa. Tindak balas rantai polimerase (Polymerase Chain Reaction/PCR) yang sedang saya lakukan sekarang menggunakan beberapa reagen khas dan troubleshoot dilakukan bagi mengenalpasti punca yang menyebabkan kegagalan mendapatkan keputusan yang baik. Ada risikonya yang tersendiri. Antaranya :
-reagen yang telah dikenaspasti sebagai punca masalah perlu dibeli yang baru dan masa yang lama mungkin diperlukan sebelum bahan tersebut dapat sampai
-kuantiti sampel DNA akan berkurang dengan cepat bergantung kepada kekerapan melakukan troubleshoot dan pengoptiman(optimization) reagen.

Saya kini dalam proses melakukan pengoptiman(optimization) reagen bagi mendapatkan kepekatan dan kuantiti sebenar agar tindak balas PCR lebih berkesan dan mendatangkan hasil yang terbaik melalui jalur DNA yang diperoleh selepas larian elektroforesis.



Wardah bt Abdul Rahman
cuba jaya hingga berjaya..