Suatu usaha ke arah memartabatkan para intelegensia sains muslim agar bersama menjunjung tradisi keilmuan Islam tinggalan para ulama' silam.
Tuesday, March 30, 2010
Wednesday, March 24, 2010
Said an-Nursi Badiúzzaman; Ulama yang Menggunakan Ilmu Sains untuk Membela Islam
Said Nursi merupakan pemikir dan ulama yang hidup di zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Gelaran Badiúzzaman (Keagungan Zaman) yang diterima beliau amat bertepatan dengan pengabdian seluruh hidupnya untuk mendaulat dan mempertahankan Islam pada masa-masa Turki mula diserang anasir sekularisme.
Said Nursi dilahirkan pada 1876M bersamaan 1293H di sebuah perkampungan kecil bernama ‘Nurs’ di wilayah Bitlis, tenggara Negara Turki. Beliau lahir dalam keluarga yang menitik-beratkan amalan beragama. Nama Said diberikan oleh ibu bapa beliau yang membawa maksud bahagia, dengan harapan Said Nursi benar-benar menjadi seorang manusia yang membahagiakan agamanya.
Bermula umur 9 tahun, Said Nursi sudah mula merantau dan menuntut ilmu ke seluruh pusat pengajian di Turki sehinggalah umurnya 14 tahun. Kelebihan yang dianugerahkan Allah kepadanya iaitu daya ingatan dan hafalan yang kuat menjadikan beliau terkenal dan diberi gelaran Badiúzzaman oleh gurunya, Syeikh Fathullah. Pada tahun 1897, Said Nursi berhijrah ke bandar Van. Di sini, Said Nursi mengambil peluang mentelaah kitab-kitab yang terdapat di perpustakaan dan membuat kajian terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya Kaum Kurdi terhadap Islam.
Pada masa tersebut, kemajuan yang pesat sedang berlaku dalam bidang sains. Malangnya, ilmu-ilmu sains telah dijadikan mekanisme penolakan terhadap agama lalu menimbulkan keraguan akan kebenaran agama. Melihat dampak buruk dari situasi ini, Said Nursi membuat keputusan bahawa beliau wajib mempelajari ilmu-ilmu sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Beliau turut mengusahakan agar ilmu sains ini diajar seiring dengan ilmu agama. Akhirnya, dengan iltizam dan keazamannya, Said Nursi dapat menguasai bukan sahaja ilmu sains tetapi ilmu-ilmu moden yang lain seperti sejarah, geografi, matematik, falsafah serta geologi.
Di zamannya pernah tersiar di akhbar ucapan kontroversi William Ewart Gladstone (Menteri Tanah Jajahan British) ketika satu perhimpunan rasmi British. Gladstone berkata sambil memegang al-Quran, “Selagi al-Quran ini berada di tangan-tangan orang Islam, selagi itulah kita tidak akan mampu menguasai mereka. Oleh itu, kita perlu jauhkan al-Quran daripada mereka.”
Said Nursi amat terkesan dengan peristiwa ini. Dalam usaha menghadapi ancaman Barat ini, Said Nursi telah menubuhkan sebuah universiti di Timur Turki yang dinamakan Madrasah al-Zahra. Pusat ilmuan ini dibina dengan tujuan menggagungkan ilmu-ilmu agama dan sains moden. Ideanya dalam bidang pendidikan untuk menyatukan kedua-dua ilmu ini adalah untuk memperkuatkan keyakian beragama. Walau bagaimanapun, pembinaan universiti tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.
Berpandukan pengetahuan saintifiknya, Said Nursi menegaskan bahawa tiada pertentangan antara ilmu sains dan kebenaran agama, malah al-Quran membuka jalan ke arah ilmu-ilmu alam semesta. Pandangan beliau diluahkan dalam karya agungnya, Rasail an-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah. Karya agung beliau turut mempengaruhi penulis Turki, Harun Yahya yang kini telah menghasilkan beratus buku yang menghuraikan sains moden dari perspektif al-Quran.
Said Nursi menghembuskan nafas terahir pada 25 Ramadhan 1379 bersamaan 23 Mac 1960 di Urfa. Sepanjang hayatnya, Said Nursi telah berusaha memecahkan tradisi pengajian ilmu agama. Selain itu, beliau turut mendorong ke arah penguasaan bersama ilmu agama dan sains dalam memahami hakikat iman.
Sumber :
1. Kertas kerja Ust Hasrizal b. Abd Jamil, Sumbangan Ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah diambang Keruntuhan Khilafah Othmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah.
2. Koleksi pemantauan berita peribadi, Fikrah Figur Harakah, Said Nursi Abadikan Hidup Untuk Islam.
Wardah bt Abdul Rahman
Kamunting, Perak
Sunday, March 14, 2010
Video Aspergillus yang mengagumkan!
Buat mereka yang berada di luar penyelidikan dalam bidang ini, tontonlah 2-3 kali. Umumnya, video ini memperlihatkan struktur kulat Aspergillus dan pertumbuhannya. Struktur yang seakan-akan pohon bergoyang itu adalah 'conidiophore' atau 'stipe' yang tumbuh menegak dari 'foot cell' dan menghasilkan 'conidial head' di atasnya. Dari 'conidial head' yang mempunyai 'vesicle' berbentuk bulat ini pula, struktur 'sterigma' terbentuk (lihat pembentukannya pada 00:21). Saya teringat bentuknya seperti ais pop Siam yang dijual di kedai Kam Seng. Dari atas sterigma, muncul pula 'conidia' iaitu struktur spora bagi kulat dari genus Aspergillus. Pada 00:29, spora kulat ini ditunjukkan dengan bentuknya yang bulat kasar dan berduri.
Sporanya sangat 'fragile' dan ringan, sebab itulah anda akan lihat spora ini bertebaran apabila 'conidiophore' saling bersentuhan. Bayangkan ini hanya 2 'conidiophore' yang 'berlaga', belum lagi dikira yang ada di dalam piring petri dengan diameter 7 cm di makmal! Sedikit gerakan yang berlaku pada piring petri, alamatnya tersebarlah berjuta-juta spora kulat ini merata-rata! (nasib baik dalam piring petri yang ditutup, itupun masih belum 100% terjamin spora ini tidak tersebar ke luar).
Ingat lagi 5 struktur pembiakan aseks yang kita belajar di sekolah dulu? Spora kan untuk kulat =] Betapa seninya ciptaan Tuhan kan.
Masih ada yang kurang faham? Kemukakan soalan, saya akan cuba menjawabnya. Nak lihat sendiri kulat ini dengan mata anda? Datanglah ke makmal saya. Dengan senang hati saya akan tunjukkannya.
Wardah bt Abdul Rahman
Kamunting, Perak.
Friday, March 12, 2010
"Grab the chance to be an expert!"
Pertambahan bilangan sampel kulat yang perlu dikaji memberi saya satu peluang baru. Sesetengah penyelidik mungkin menganggap perkara ini adalah bebanan kerja pada mereka (berdasarkan perbualan saya dengan kawan-kawan di makmal). Ada juga yang berkata, “Cukuplah dengan sampel yang sedia ada. Tak larat dah nak handle banyak sangat “. Tidak kurang juga yang berkata, “Tambah sampel maksudnya makin lama la kita kat sini. Tambah masa dan tenaga.”
Pada saya, pendapat mereka betul dan saya tidak menidakkan kebenaran tersebut. Penyelidikan berasaskan kajian fundamental bukanlah suatu perkara yang mudah. Penyelia saya juga mengakui akan hal ini. Dalam dunia serba moden serta teknologi yang semakin ke hadapan, tidak ramai penyelidik yang berkecimpung dalam bidang mengkaji kulat khususnya pengenalpastian spesies melalui kajian morfologi.
Mengapa situasi ini berlaku? Kajian morfologi sebenarnya adalah asas kepada pengkelasan suatu spesies kulat. Perkara yang perlu diperhatikan adalah :
1. Karakter mikroskopik (Microscopic characterization/micromorphology) yang melibatkan pengamatan melalui mikroskop cahaya dan penyediaan slaid.
2. Karakter makroskopik (Macroscopic characterization/macromorphology) yang melibatkan pengamatan melalui mikroskop pembedahan atau mata kasar. Antara karakter yang diperhatikan ialah :
- Pigmentasi dan struktur koloni (pigmentation and colony structure)
- Diameter koloni
- Kehadiran eksudat (exudates)
- Kehadiran struktur rehat seperti sclerotia/cleistothecia/clamidospore
Ciri-ciri ini hanyalah senarai umum struktur morfologi yang perlu diperhatikan dan direkod sebagai data bagi spesies kulat tertentu. Spesies kulat yang berbeza pasti mempunyai ciri atau struktur tersendiri untuk membezakannya dengan spesies mahupun genus kulat yang lain.
Bayangkan saja manusia, walaupun dari tergolong dalam kategori Homo sapiens, setiap dari kita ada sifat tersendiri. Kalau tidak, masakan ada yang mencirikan, ‘’Ala, Din, lelaki yang bertahi lalat manis tu.” Ataupun, “ Tu, perempuan berambut kerinting macam meggi tu.” Tahi lalat dan rambut kerinting bolehlah dianalogikan sebagai ciri morfologi individu tersebut.
Pengamatan morfologi kulat sebenarnya melibatkan masa dan kemahiran. Berbanding pengaplikasian teknik molecular (molecular technique), kaedah ini lebih mendapat tempat dalam penyelidikan sains kerana keputusan dapat diperoleh dalam masa yang singkat. Kos nya agak tinggi sekiranya melibatkan penggunaan mesin berteknologi terkini dan diimport dari luar negara tetapi perkara ini ada-kalanya bukanlah menjadi keutamaan.
Melalui teknik molekular, hanya DNA kulat yang ingin dikenalpasti perlu diekstrak (kaedah pemencilan asid nukleik). Seterusnya, melalui kaedah pengekspresan gene atau ‘gene fingerprinting‘ dan penghantaran sampel ini ke pusat analisis gene, dalam masa sesingkat 24 jam, keputusan spesies kulat tersebut boleh terus diperolehi. Mudah dan pantas.
Mengapa pula saya berkata pertambahan sampel memberi satu peluang yang baru?
Penyelia saya, Prof Baharuddin Salleh pernah berkata, “ We have to go back to the basic and the basic of identifying a fungal species is through morphology. We have to learn a lot, know the species by heart. Even though it is time consuming, that’s the way to be an expert in this area. So, grab the chance to be an expert!”
Inilah antara sebabnya, saya kini belajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dahulu dan mengurus masa dengan lebih baik (dahulu semasa mengurus sampel yang awal saya agak terkial-kial mencari metod, menyesuaikan diri dengan ‘perangai’ kulat ni serta mengatur masa melakukan penyelidikan). Saya juga akan ingat kata-kata penyelia saya sepanjang saya berada dalam lapangan penyelidikan ini.
Wardah bt Abdul Rahman Kamunting, Perak.
# Seperti dalam FB saya, i luv Aspergillus, i luv my work n i luy my life! Syukur, segala puji hanya bagi Allah =]